SETIAP wanita hamil ada pengalaman sendiri dengan keguguran. Biasanya selepas keguguran, prosedur D&C (Dilation and Curettage) atau cuci rahim akan dilakukan bagi mengeluarkan janin.

Mungkin ada yang mengalami masalah selepas proses tersebut dan ada juga yang tidak. Jadi apa kata kita ikuti perkongsian Dr Zubaidi Hamid di laman Facebooknya tentang prosedur D&C dan tanda-tanda yang memerlukan kita bertemu semula doktor.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


PENDARAHAN PANJANG SELEPAS D&C

Assalamualaikum Dr Zubaidi. Saya telah melakukan prosedur D&C pada 1 Ramadan. Banyak darah keluar pada hari pertama dan kedua selepas itu. Kemudian keluar sedikit-sedikit hingga dua minggu. Adakah normal? Terima kasih.

Wa’alaikumussalam.

Prosedur D&C bukan prosedur ringkas dan mudah. Ia bertujuan mengeluarkan janin yang sudah tidak bernyawa.

Oleh kerana dilakukan tanpa panduan seperti ultrabunyi (ultrasound), ia mungkin menyebabkan komplikasi (tetapi jarang berlaku).

Antara komplikasi yang biasa berlaku ialah:

  • Kecederaan besar pada permukaan dalam rahim hingga menyebabkan kebocoran.
  • Janin tidak habis dikeluarkan (ada masih tertinggal).
  • Mungkin ada jangkitan kuman ketika prosedur.

Saya mencadangkan puan melakukan pemeriksaan doktor semula. Paling baik berjumpa semula doktor yang merawat dan melakukan D&C tempoh hari.

Antara tanda lain yang bahaya dan memerlukan pemeriksaan doktor ialah:

1. Pening dan lemah badan.
2. Pendarahan yang berlangsung lebih 2 minggu.
3. Rasa kejang perut seperti senggugut berlangsung lebih 2 minggu.
4. Pendarahan yang banyak seperti terpaksa menukar pad setiap sejam.
5. Rasa sakit bahagian abdomen yang semakin kuat.
6. Rasa demam yang berpanjangan.
7. Menggigil akibat demam.
8. Keluar lendiran busuk akibat jangkitan kuman.

Dengan melakukan pemeriksaan semula, dapat mengetahui punca masalah yang berlaku.

Jika tiada masalah serius, saya mencadangkan puan mengambil vitamin C dan E untuk membantu proses penyembuhan pada luka dalam rahim.

Puan juga boleh mengambil ekstrak Kacip Fatimah dan Cucurmin (kunyit) bagi membantu mengecutkan semula saiz rahim puan ke saiz asal.

Semoga bermanfaat.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda