Shot of a speech therapist during a session with a little boy

“Anak faham semua apa yang saya cakap, tapi susah sangat nak sebut.”
“Anak pelat sangat.”
“Minta anak tiru, tapi tak boleh tiru.”
“Kita sebut lain, anak sebut lain.”
“Anak sebut kadang-kadang betul, kadang-kadang salah.”

PERNAH atau tidak anda mengalami situasi di atas? Jika pernah, mungkin anak anda mengalami masalah pertuturan dipanggil apraksia (apraxia).

Apakah apraksia, punca dan rawatannya? Artikel berikut akan menjelaskan mengenai masalah pertuturan yang boleh menimpa kanak-kanak. Semoga bermanfaat untuk semua.


APAKAH APRAKSIA?

Apraksia merujuk kepada masalah pertuturan kanak-kanak yang melibatkan masalah sistem saraf. Tetapi perlu diingat, masalah ini tidak dapat dilihat pakar neurologi atau melalui imbasan dan tidak boleh didiagnosis melalui imbasan.

APAKAH BEZA DENGAN MASALAH PERTUTURAN LAIN?

Kebanyakan kanak-kanak dengan masalah pertuturan biasanya sukar menyebut bunyi seperti /k/, /s/, dan /r/. Mereka biasanya menukarnya dengan bunyi lain.

Tetapi bagi kanak-kanak apraksia, mereka memang tahu apa mereka perlu sebut, tetapi otak menghantar mesej salah kepada otot-otot di mulut dan menyebabkan bunyi yang disebut juga salah.

Supaya lebih mudah faham: Bayangkan kita sedang memandu kereta. Kita nak ke kiri, kita pun menekan butang untuk signal kiri, tetapi sebab ada masalah pendawaian pendawaian kereta, lampu lain menyala. Padahal lampu signal kita OK. Macam itulah hal dengan masalah apraksia. Kanak-kanak memang tahu apa mereka sebut, tetapi lain yang keluar.

Kanak-kanak ini biasanya mempunyai organ artikulasi normal seperti lidah, rahang, gigi, bibir, otot mulut dan lain-lain.

Kanak-kanak apraksia memerlukan latihan yang konsisten dan kerap. Ini supaya mereka mendapat maklum balas sama ada menyebut bunyi dengan betul atau tidak. Maklum balas ini penting supaya otak boleh membetulkan semula bahagian bermasalah dan memberi signal betul kepada organ artikulator.

APA YANG MENYEBABKAN APRAKSIA?

  • Kecederaan otak
  • Kerosakan bahagian pada otak
  • Kecelaruan neurobehavior complex seperti ADHD dan Autism.

Tetapi dalam kebanyakan kes, puncanya masih tidak diketahui. Masalah ini hanya boleh dilihat melalui ciri-ciri ditunjukkan kanak-kanak. Penilaian perlu dilakukan terapis pertuturan-bahasa untuk mengesahkan masalah.


3 KRITERIA PENTING APRAXIA OF SPEECH

Terdapat banyak kriteria yang ditunjukkan kanak-kanak, tetapi 3 kriteria ini paling ketara dan penting untuk diagnosis:

1. KESALAHAN SEBUTAN YANG TIDAK KONSISTEN PADA BUNYI KONSONAN

Iaitu kanak-kanak menyebut 1 perkataan berulang kali tetapi bunyi berbeza setiap kali
Contoh: Perkataan: Bola
Sebutan kanak-kanak mungkin menjadi – boya, labo, biya, boa dan lain-lain.

2. PEMANJANGAN DAN GANGGUAN SEMASA PERUBAHAN ANTARA BUNYI DAN SUKU KATA

Pemanjangan atau gangguan ketika perubahan antara bunyi atau suku kata iaitu pertuturan kanak-kanak seperti terputus kerana kesukaran menyambung bunyi atau perkataan.

3. PROSODI YANG TIDAK SESUAI IAITU RENTAK DAN INTONASI

Pertuturan kanak-kanak mungkin akan kedengaran seperti robot, ayat tidak lengkap, sesuai atau tekanan yang salah pada suku kata atau perkataan.

Setiap kanak-kanak apraksia mungkin ada satu atau semua ciri di atas. Ciri lain yang mungkin dapat dilihat pada kanak-kanak apraksia ialah:

  • Bunyi vokal yang terhad semasa bayi
  • Kesalahan pada bunyi vokal (a, e, i, o, u)
  • Kesalahan bertambah pada perkataan lebih panjang atau ayat lebih kompleks
  • Groping (reaksi kesukaran pada muka dan organ articulator)
  • Kehilangan perkataan atau bunyi yang pernah disebut sebelum ini
  • Sebutan meniru lebih jelas berbanding secara spontan

RAWATAN KANAK-KANAK APRAKSIA

Rawatan apraksia berbeza bagi setiap kanak-kanak mengikut ciri ditunjukkan. Penilaian terapis pertuturan bahasa sangat penting untuk mengenal pasti masalah kanak-kanak itu dan tahap teruk. Secara umum, rawatan yang biasa dilakukan ialah:

  • Latihan koordinasi organ pertuturan seperti lidah, bibir, rahang dan lain-lain.
  • Pembetulan sebutan bunyi, suku kata dan perkataan secara berperingkat dan konsisten.
  • Komunikasi alternatif seperti bahasa isyarat, gambar, gestur dan lain-lain untuk kanak-kanak yang mengalami apraksia teruk.
  • Sebarang pertanyaan dan penjelasan berjumpalah terapis-pertuturan berhampiran anda.

SUMBER: AishahKassim

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda