JANGKITAN telinga lebih kerap berlaku di kalangan bayi seawal usia 6 bulan hingga peringkat umur kanak-kanak berbanding dewasa. Ini boleh menyebabkan rasa tidak selesa, dan sakit seakan menyucuk-nyucuk dalam atau sekeliling telinga.

Jangan abaikan sekiranya anak mengadu sakit telinga. Segeralah bawa anak ke klinik atau hospital kerana jangkitan telinga boleh mengancam nyawa.

Mari kita baca perkongsian Doktor Telinga Hidung dan Tekak Dr Ezairy M Salih tentang bahaya jangkitan telinga pada kanak-kanak.

* Status sudah disunting untuk skema penulisan BumBumCak tanpa menjejaskan maksud dan gaya tulisan asal penulis. Harap maklum.


ANAK SAKIT TELINGA, ADA CECAIR KUNING. PERLUKAH SAYA BIMBANG?

Kenapa jangkitan telinga sangat berbahaya?

Jangan dibiarkan jika anak anda mengadu sakit telinga, keluar cecair kuning, nanah, darah atau apa-apa yang tidak normal.

Tahukah anda bahawa komplikasi akibat jangkitan pada dalam telinga berpotensi mengancam nyawa?

Jangan buat main!

Struktur telinga kita sebenarnya bersambung dengan hidung, tekak dan juga ada sambungan dengan rongga sekitar seperti rongga mastoid dan sebagainya.

Jika jangkitan telinga tidak dikawal pada peringkat awal, ia boleh merebak ke kawasan-kawasan yang saya sebutkan ini. Masalah lain dan lebih serius boleh berlaku.

Mastoiditis ialah jangkitan yang berlaku pada kaviti mastoid yang terletak di bahagian belakang telinga. Ia merebak dari telinga tengah untuk membentuk abses atau nanah di ruang udara mastoid tulang temporal.

Pesakit yang mengalami mastoiditis kebiasaannya akan mengalami gejala klinikal dan sistematik yang sangat tidak sihat.

Jadi, apa simptom dan gejala pesakit yang mengalami mastoiditis ini? Macam mana nak tahu?

Pesakit yang mengalami mastoiditis akan dilihat septik: iaitu demam, lemah dan lesu. Kanak-kanak akanjadi tidak selesa, kerap menangis dan tidak akan makan serta minum. Pesakit akan mempunyai tanda dan gejala dari jangkitan telinga yang lebih teruk. Akan ada tanda kemerah-merahan dan sakit serta bengkak yang signifikan di belakang telinga.

Adakah mastoiditis ini akan berhenti setakat itu sahaja?

Tidak.

Mastoiditis boleh merebak lagi jauh ke dalam sel-sel udara untuk membentuk abses atau nanah subperiosteal dan kawasan sekitarnya!

Oleh itu, jika anak anda ada mengalami dan mengadu sakit telinga, disertai demam, ada cecair keluar dari telinga, sakit juga di bahagian belakang telinga, jangan tunggu lagi. Bawa jumpa doktor untuk pemeriksaan.

Pemeriksaan menyeluruh dan terperinci akan berjaya mengenal pasti masalah anak, walaupun untuk sesetengah kes agak sukar mendiagnos pesakit pada peringkat awal.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda