APABILA anak semakin membesar, kita pasti akan berdepan pelbagai ragam dan kerenah mereka. Daripada hal bergaduh, dan berebut barang hingga bermacam-macam perangai lain.

Sudahlah penat bekerja seharian, mood pula kurang stabil kerana badan sudah penat. Sudahnya, apabila anak buat perangai, mulalah kita pun naik angin.

Belajarlah bersabar dan mengawal kemarahan. Kalau kita perlu menunjukkan ketegasan kepada anak, jangan sekali-kali terlanjur menuturkan 6 kata-kata di bawah ini. Jika kerap disebut, ia boleh membuatkan si anak benci kepada kita.

Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Anak akan mengingati kesilapan itu sepanjang hayat mereka.


1. TAK GUNA BETUL

Walaupun perkataan ini kita sudah biasa lemparkan ketika marah kepada orang yang cari pasal, tetapi jangan sesekali sebutkan kepada anak.

Ingat, apabila seorang anak mendengar kata-kata ini, maka akan tertanam dalam hatinya dan mula belajar untuk tidak menghormati kita sebagai orang tua. Lebih teruk lagi, mereka akan meniru dan mengucapkan hal sama kepada orang lain.

2. INI SEMUA SALAH KAU

Anak sangat memerlukan bimbingan dan panduan daripada ibu bapa. Bagaimana kita hendak bina keyakinan dalam diri anak jika kita pun asyik menyalahkan dia setiap kali berbuat salah?

Andai dia tersilap, kita patut beri panduan dan tunjukkan cara yang betul. Bukan terus menyalahkan dia. Kita tidak boleh menghancurkan rasa percaya dalam dirinya dengan mengatakan, “Ini semua salah kau, atau semua ini berlaku sebab kamu.” 

3. LEMBAP DAN BODOH

Jangan sesekali ucapkan ayat ini. Kalau kita sendiri dikatakan seperti itu pun akan rasa sedih dan menyampah. Anak yang dimarahi kata-kata begini akan jadi anak yang tiada rasa percaya diri.

Dia akan sentiasa rasa dirinya tidak pandai, dan gagal dalam segala hal. Lama-kelamaan, kita yang akan hancurkan masa depan kita sendiri.

4. JAHAT MACAM SETAN

Memang diakui emosi orang dewasa, apabila dalam keadaan terlalu marah, maka akan keluarlah kata-kata melampau. Namun, sejahat manapun anak kita, janganlah samakan dia dengan syaitan.

Kawal emosi, terutama apabila berdepan anak-anak. Dia tidak akan faham apa yang kita hadapi. Dia juga tidak faham kalau kita katakan, apa yang kita cakapkan itu bukan apa yang  kita maksudkan. Seperti yang disebut di atas, ingatlah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.’

5. KURANG AJAR BETUL KAU NI!

Kata-kata ini sangat tidak sesuai kepada anak yang masih kecil. Kalau mereka melawan pun bukan kerana mereka mahu bersikap kurang ajar, tetapi mereka sekadar memprotes dan tidak memahami pun apa yang dilakukan itu benar atau salah.

Bayangkan apabila di sekolah, anak kecil kita boleh marah atau melontarkan ayat-ayat yang tidak patut disebut anak kecil. Dari manakah datang ayat-ayat buruk itu? Kata pepath lagi, ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.’

6. DASAR ANAK TAK BOLEH DIHARAP LANGSUNG!

Marah macam mana pun kita kepada si kecil, jangan sesekali ucapkan kata-kata ini. Sekali kita sebut, ia bagaikan satu luka yang sukar disembuhkan. Ia bagaikan kita merendahkan dia dan tidak menghargai anak dalam kehidupan kita.

Semakin kerap kita sebutkan ayat ini, maka semakin jauhlah si kecil dengan kita. Ingat, jangan bunuh hati dan perasaan si kecil secara perlahan-lahan. Lama-kelamaan, dia tidak akan ada rasa hormat dan cinta kepada kita sebagai orang tuanya.


Ketika berada dalam keadaan marah, kadangkala ibu bapa terlontar ucapan dan kata-kata yang sepatutnya tidak diucapkan depan anak. Berhati-hatilah dengan setiap tutur kata yang diluahkan jika kita betul-betul sayangkan mereka.

Itupun kalau kita mahu melihat dia membesar menjadi orang berguna. Ingatlah, orang yang tidak tahu mengasihi, dia tidak akan dikasihi.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda