APABILA wanita hamil disahkan mengalami keguguran, tidak dinafikan ia jadi satu kesedihan dan kehilangan besar kepada pasangan suami isteri. Ada wanita yang mengganggap dirinya tidak sempurna dan menyalahkan diri sendiri sebagai penyebab keguguran itu.

Sebenarnya, apa yang berlaku ada hikmahnya. Kita merancang tetapi Allah yang menentukan. Apabila keguguran, sentiasa positif dan teruskan usaha untuk hamil semula.

Mari kita baca artikel daripada perkongsian Pakar Perunding Maternal & Fetal Medicine, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, Prof Dr Imelda Balchin yang isu ini.


Keguguran. Jangan salahkan diri sendiri.

Puncanya bukan sebab makan nanas.
Puncanya bukan sebab rahim tidak kuat.
Bukan sebab mengangkat benda berat dan bukan sebab mengalami tekanan hidup atau stres.

Ramai mengalaminya. Keguguran pada tiga bulan pertama memang kerap berlaku. Jika 100 wanita hamil, seramai 20 akan keguguran (20 peratus), mungkin juga jumlah sebenar lebih daripada itu. Lebih kerap lagi wanita berumur 40 tahun ke atas (lebih daripada 50 peratus akan keguguran apabila hamil). Tetapi kebanyakan wanita senyap saja apabila keguguran, tidak mahu berbincang mengenai pengalamannya. Sebab itulah masyarakat tidak tahu betapa kerapnya berlaku keguguran.

Apabila kita lihat benih lelaki (sperma), setiap kali melakukan hubungan kelamin, lebih dua puluh juta sperma akan keluar mencari telur wanita. Tapi, sememangnya 70 peratus sperma tidak sempurna dan 10 peratus telur wanita tidak sempurna.

Memang manusia tidak dijadikan sempurna. Walaupun kita kelihatan sempurna, benih dan baka kita tidak semuanya sempurna.

Bila benih suami atau telur isteri yang tidak sempurna bergabung, dengan takdir Allah yang maha mengasihani, diutuskan supaya janin itu tidak menjadi dan keguguran berlaku pada tiga bulan pertama, sebelum diberikan roh pada bulan keempat.

Dari segi Sains Kajihayat dan Sains Perubatan, apabila janin yang digugurkan itu diperiksa baka (analisis kromosom), lebih setengah janin tu mempunyai jumlah kromosom tidak normal. Kebanyakan mempunyai masalah lebih teruk daripada sindrom yang kita pernah jumpa dalam bayi hidup (iaitu lebih teruk daripada Sindrom Down yang boleh hidup).

Sebab itulah tiada bukti ubat hormon yang menguatkan rahim boleh mengelakkan keguguran di peringkat 3 bulan pertama. Tiada langsung istilah rahim tidak kuat pada 3 bulan pertama kehamilan. Sudah sememangnya janin itu tidak boleh menjadi.

Tetapi, apabila berkerja sebagai pakar Fetal Medicine, sayalah yang lihat janin yang tidak menjadi itu dalam imbasan awal. Memang macam-macam kecacatan saya sudah lihat, kerap kali lepas kerja balik rumah, saya berasa sedih setiap hari. Kebanyakan akan gugur sendiri (Alhamdulillah, kuasa Allah menentukan supaya anak kita tidak menderita), tetapi ada segelintir tidak jadi gugur, dan kecacatan yang dilihat selepas lahir sangat serius.

Sebagai contoh (lihat gambar), itu Sindrom Mermaid, Bayi Duyung ini bukan mitos, berlaku sekali dalam setiap 100,000 ribu kehamilan. Saya pernah melihat dua kali dalam kandungan melalui scan. Ini ialah sindrom yang mana ada masalah saluran darah daripada badan ke kaki. Selalunya tiada buah pinggang, maka janin ini tidak membuang air kencing dan tiada air ketuban.

Tanpa air ketuban, paru-paru tidak akan terbentuk dan dia tidak boleh bernafas selepas bersalin (air ketuban diperlukan di peringkat awal kehamilan untuk masuk dalam paru-paru untuk memberi tekanan daripada dalam supaya membesar, tanpa air ketuban paru-paru kecil dan keras).

Selalunya saluran kencing, saluran najis dan vagina atau faraj (jika perempuan) bergabung dan hanya ada satu lubang. Kebanyakan mermaid sindrom ini akan keguguran, tetapi ada segelintir kita lihat akan hidup seketika sebab ada sedikit buah pinggang yang berfungsi (lihat gambar kedua, bayi duyung yang hidup di Amerika hingga umurnya 10 tahun selepas 2 kali pembedahan menerima pendermaan buah pinggang).

Mermaid Syndrome itu contoh sahaja. Nama perubatan sebenarnya, Sirenomelia. Lebih banyak lagi sindrom lain saya sudah lihat, tidak dapat nak dikira.

Saya pun pernah mengalami keguguran pada peringkat awal kehamilan. Dua kali saya gugur. Dan dua-dua kali saya bersyukur, Alhamdullilah, sebab Allah nak bagi saya peluang untuk mendapat zuriat yang sihat dan kurangkan penderitaan kita.

A miscarriage is Allah’s decision to abort your abnormal embryo, to give you the opportunity to have a healthy baby in the future. Kalau tidak jadi, alhamdullilah Tuhan gugurkan. Cuba lagi. Jangan salahkan diri sendiri. Alhamdullilah. Insya-Allah.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda