APABILA anak diserang sawan, ramai ibu bapa yang panik, tambahan lagi tiada pengetahuan tentang bagaimana mahu menangani situasi kecemasan seperti itu. Masing-masing menggelabah, dan tidak tahu apa perlu dilakukan. Blur. Sudahnya, akan memburukkan lagi keadaan.

Mari baca perkongsian Dr Ezairy M Salih tentang langkah yang perlu ibu bapa buat seandainya anak diserang sawan sama ada di rumah atau di mana-mana.


9 TIP JIKA ANAK KENA SAWAN

Anak anda sering mengalami serangan sawan atau ‘tarik’ di rumah? Tiba-tiba sahaja diam, hilang kesedaran, kaki tangan kejang, keras dan tersentak-sentak?

Apa perlu ibu bapa buat?

Perhatikan 9 langkah ini:

LANGKAH 1: BERTENANG DAN JANGAN PANIK

Ini paling penting. Ramai takut apabila melihat seseorang mengalami kekejangan atau serangan sawan. Anda perlu membantu anak dengan tenang. Tenangkan anak anda dan pesan kepada orang sekeliling bahawa segalanya terkawal.

LANGKAH 2: MENCEGAH KECEDERAAN

Jauhkan anak anda daripada sumber bahaya. Jika berhampiran tangga, dapur panas, jalan sibuk atau bahaya lain, lindungi dia seboleh yang mungkin. Jauhkan objek berdekatan yang tajam atau keras. Cuba letakkan sesuatu yang lembut seperti baju atau selimut yang dilipat di bawah kepala.

Semasa serangan sawan itu berlaku, apabila tubuhnya kaku, dia mungkin berhenti bernafas dan menjadi biru. Ini kerana darah lebih banyak dihantar untuk melindungi organ-organ pentingnya, seperti apa berlaku ketika anak melompat ke dalam air sejuk. Tempoh ini biasanya ringkas dan selalunya tidak memerlukan CPR. Dia akan mula bernafas sebaik sahaja ototnya berehat. Jangan menahannya atau cuba menghentikan gerakannya.

LANGKAH 3: PERHATIKAN TEMPOH SERANGAN SAWAN ATAU KEJANG BERLAKU

Seboleh-bolehnya, perhatikan masa mula serangan sawan itu berlaku, dan berapa lama ia berlaku. Sekiranya berlangsung lebih lima minit, hubungi ambulans atau mana-mana bantuan kecemasan. Perhatikan sifat, kriteria dan panjang serangan sawan supaya anda dapat memberikan laporan tepat.

LANGKAH 4: PASTIKAN ANAK SELESA

Tanggalkan cermin mata supaya tidak pecah. Jika anak mempunyai makanan dalam mulutnya, jangan cuba mengambil makanan itu, kerana ini sebenarnya boleh menyebabkannya tertelan lebih jauh ke dalam.

Cuba iringkan perlahan-lahan tubuhnya ke bahagian sebelahnya atau iringkan kepala ke tepi supaya mana-mana cecair boleh keluar dari mulutnya. Pastikan saluran pernafasannya stabil dan terkawal. Longgar dan tanggalkan apa-apa di sekeliling lehernya untuk memudahkan pernafasan. Buka butang atau tali pinggang yang ketat.

LANGKAH 5: JANGAN LETAK APA-APA DALAM MULUT ANAK

Meletakkan jari, sudu atau apa-apa objek lain di dalam mulutnya boleh menyebabkan anak tercekik atau patah gigi dan boleh juga menyebabkan jari digigit. Ramai antara kita yang salah faham bahawa seseorang itu boleh menelan lidah mereka semasa serangan sawan berlaku. Ini tidak benar kerana lidah terlekat ke pangkal mulut. Ia tidak akan tertelan lidah!

LANGKAH 6: JAUHKAN DIRI DARIPADA ORANG RAMAI

Hanya satu atau dua orang diperlukan untuk pertolongan cemas. Tidak perlu terlalu ramai. Ini boleh mengganggu proses rawatan kecemasan.

LANGKAH 7: JANGAN BERI AIR, MAKANAN ATAU PIL HINGGA SAWAN SELESAI

Ini akan mengelakkan anak tercekik. Dalam sesetengah kes, doktor mungkin menetapkan ubat-ubatan yang perlu digunakan pada masa serangan sawan itu; gunakan seperti diarahkan. Periksa sama ada dia sedar dengan bertanya beberapa soalan mudah hingga anak kembali kepada keadaan biasa.

LANGKAH 8: JADILAH IBU BAPA SUPPORTIVE

Kanak-kanak biasanya sembuh dari serangan sawan dengan sendiri. Jika anak sudah boleh memahami dan bersekolah, terangkan kepadanya apa yang berlaku, dan berapa lama serangan itu berlaku.

Anak anda mungkin mahu ditenangkan. Bantu dia untuk tahu di mana dia berada dan apa sedang berlaku. Dia mungkin boleh mengalami situasi seperti buang air kecil atau besar ketika serangan berlaku tanpa disedari. Bantu dia untuk bersihkan.

LANGKAH 9: SELEPAS SERANGAN SAWAN

Sekiranya anak mengadu sakit di bahagian kepala, sakit otot atau lidah, beberapa ubat boleh membantu. Sekiranya dia mengalami kesakitan yang teruk atau jika dia cedera ketika serangan berlaku, bawa dia berjumpa doktor.

Sekiranya anak anda mempunyai demam yang berkaitan serangan itu, rujuk doktor di klinik atau hospital. Dia mungkin mempunyai jangkitan yang perlu dirawat.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda