SEPANJANG anak membesar bermula usia setahun hingga dewasa, komunikasi memainkan peranan penting antara kita dan anak. Komunikasi yang baik dan sihat secara tidak langsung mendorong anak kita membentuk keperibadian yang lebih baik.

Namun hakikatnya, ramai ibu bapa masa kini terlupa dan sering menggunakan bahasa yang tidak sesuai hingga menyebabkan anak mereka jadi degil, pemarah, pendendam dan tiada keyakinan diri.

Mari kita perhatikan beberapa bahasa yang kerap kita gunakan tanpa disedari. Semoga bermanfaat kepada kita semua.

1. MEMAKI

Anak yang dibesarkan dalam keadaan sering ditengking dan dimaki hamun akan membesar sebagai individu yang keras jiwa, memberontak dan tiada keyakinan diri. Elakkan menyumpah seranah, memaki hamun dan mencarut terhadap anak dengan menggunakan perkataan buruk.

Contoh: Sial, Celaka, Bangsat, Bangang, Bodoh.

2. MENYINDIR

Penggunaan bahasa ini memang kerap digunakan kalangan masyarakat kita. Elakkan guna cara ini kerana anak tidak faham bahasa sindiran. Sebaliknya berterus teranglah atau gunakan bahasa jelas dan mudah difahami.

Contoh: “Kecil sampai besar tahu minta duit saja, ingat mak ayah kamu ini kerja kilang cetak duit?”

3. MENIPU

Sedar tidak sedar, kita kerap juga menipu anak. Jangan berbohong kepada anak kerana akan mengurangkan kepercayaan anak kepada kita. Mungkin akan mendorong anak berbuat perkara sama kepada kita kelak.

Contoh: “Adik, jangan nangis OK nanti abah beli mainan ye.” * Tetapi kita tidak beli pun mainan.*

4. MENEMPELAK

Anak kecil tidak faham bahasa ini. Cuba elakkan guna bahasa ini dan beritahu terus kesilapan anak dan nasihatkan anak supaya tidak mengulangi lagi perbuatan itu.

Contoh: “Mak dah cakap jangan main! Sekarang dah jatuh, padan muka.”

5. MEMBEBEL

Membebel itu kebiasan setiap mak, tetapi cubalah kawal tahap bebelan supaya tidak melampau. Gunalah ayat ringkas dan mudah difahami anak. Anak yang sering dibebel akan hilang kepercayaan diri.

Contoh: “Kenapa adik pemalas sangat ni? Dah habis makan, cuci la pinggan!”

6. MENGUNGKIT

Jangan sesekali mengungkit dengan anak. Sebaliknya ikhlaskan hati dan bersabar dalam mendidik.

Contoh: “Kenapa terus sangat exam abang? Buat penat je abah beli semua buku untuk abang belajar.”

7. MEMBANDING

Setiap anak ada kelebihan masing-masing. Jangan asyik membandingkan anak. Ada kalangan kita memberikan kasih sayang yang kurang adil sesama anak hingga menyebabkan mereka rasa rendah diri dan tidak disayangi.

Contoh: “Cubalah jadi macam abang dan kakak tu. Dia orang pandai, rajin belajar, bukan macam kamu, asyik main je.”

 8. MENGUGUT

Kita kerap juga mengugut anak sekiranya dia tidak dengar arahan. Sepatutnya, tetapkan peraturan rumah yang dia tidak boleh langgar seperti mengemas mainan selepas main. Buatkan peraturan itu sejak kecil supaya anak terbiasa dan berikan tempoh masa tertentu supaya dia ingat.

Contoh: “Kemas mainan, kalau tak kemas mak akan buang!”

9. MENUDUH

Jangan menuduh tanpa mendengar penjelasan anak. Beri masa dia jelaskan perkara sebenar terlebih dulu. Situasi ini akan berikan anak kita keyakinan dan keberanian berterus terang dan mengakui kesilapan (jika bersalah) dengan jujur.

Contoh: “Mana hilang barang mainan kamu ni, mesti tak jaga dan jatuh tadi.”

10. MEMBISU

Ini antara bahasa yang sering kita guna apabila sudah penat hendak melayan perangai anak. Kadangkala hanya diiiringi jelingan atau mimik muka. Jangan selalu lakukan perbuatan ini kerana anak akan rasa dia tidak disayangi dan menjauhkan diri.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda