TIPULAH kalau ada pasangan tidak pernah bertengkar sepanjang tempoh perkahwinan yang dibina bersama. Berjauh hati, bermasam muka, merajuk, dan berselisih faham ialah perkara lumrah dalam kehidupan berumah tangga.

Ia pasti akan berlaku walaupun jarang. Pertengkaran antara suami isteri kadangkala berlaku apabila wujud perasaan tidak puas hati, ataupun apabila salah seorang pasangan sedang memendam rasa terlalu lama.

Walaupun seteruk mana kita bertengkar dengan pasangan, anda dinasihatkan supaya menjaga batas tertentu. Ini kerana pelanggaran ‘sempadan’ tersebut akan menyebabkan pergaduhan jadi semakin buruk.


AYAT SENSITIF DAN PANTANG LARANG KETIKA BERTENGKAR

Ingat, ada 8 perkara apabila suami isteri bertengkar, jangan sesekali sebutkannya!

1. JANGAN SEBUAT ATAU MELIBATKAN AYAH DAN IBUNYA

Kita hanya bergaduh dengan dia dan bukan dengan ibu bapanya. Jadi jangan pula menyebut perkara yang boleh menghina ibu bapanya.

Ucapan seperti: “Menyesal aku terima pinangan mak ayah kau dulu..” atau “Mak dengan anak serupa saja perangainya..” Ini ialah antara ucapan yang sangat ditegah.

Ucapan-ucapan seperti itu ialah penghinaan terhadap pasangan kita dan ibu bapanya.

Melibatkan ibu bapa dalam pergaduhan akan menyebabkan pasangan yang dihina ibu bapanya itu akan menjadi bertambah berang dan perkara yang lebih buruk mungkin terjadi.

2. JANGAN MENGUNGKIT SETIAP PEMBERIAN YANG KITA SUDAH BERI

Ada masanya kita belanja pasangan kita sepasang baju, beri bunga atau apa-apa sahaja yang menggembirakan hatinya. Jadi, jangan ungkit terhadap apa yang kita pernah berikan kepada pasangan.

Jangan sesekali katakan padanya, “Saya belikan abang baju yang mahal dulu, itu pun tak reti nak jaga..” atau “Tak kenang budi, orang dah tolong banyak pun dia membebel lagi…”

Perbuatan itu hanya akan mengguris perasaannya dan menunjukkan ketidakikhlasan kita atas pemberian dahulu. Perbuatan mengungkit juga hanya merugikan pahala kita.

3. JANGAN SEBUT KITA MAHU MENIGGALKANNYA

Gaduh-gaduh pun, janganlah sesekali kita berkata kepadanya inilah kali terakhir kita berjumpa dengannya dan selepas itu kita tidak mahu menemuinya lagi.

Ini seakan kita sudah tidak mahukan pasangan kita lagi. Terguris hati pasangan jika mendengar kata-kata seperti, “Kalau abang tahu sayang buat macam tu lagi, sayang tak akan jumpa abang lagi..” atau “Perangai awak ni buat saya nak kawin lagi sorang dengan orang lain tau tak!”

Jangan perbesarkan pergaduhan kita dengan kata-kata seperti ini.

4. JANGAN BERTENGKAR DEPAN ANAK

Kalau ya pun kita tengah bergaduh, janganlah bertengkar depan anak-anak. Bimbang akan menjadi contoh tidak baik kepada mereka.

Ada suami yang mencengkam rambut isteri di depan anak. Kemudian kepala isteri digoncang-goncang dan didera dengan pelbagai tindakan lagi. Jangan lakukan ini di depan anak. Tetapi itu tidak bermakna kita boleh lakukannya secara sembunyi-sembunyi pula.

Tindakan ini akan dilihat anak hingga boleh membentuk persepsi dalam minda mereka bahawa lelaki itu jahat. Atau apabila perempuan buat salah, maka lelaki boleh berkasar dengannya.

Malah, juga boleh mengganggu emosi anak hingga menyebabkan mereka fobia untuk berumahtangga kelak.

5. JANGAN ANGKAT TANGAN ATAU PEGANG OBJEK

Jangan sesekali mengangkat tangan untuk tujuan memukul isteri atau membaling objek kepada suami.

Jika seorang suami suka mendera isteri, itu bermaksud dia bukan pasangan yang baik. Malah dia bukan pasangan kuat, kerana orang kuat ialah orang yang mampu menahan sabar.

Sebagai ketua keluarga, anda kena pandai mengawal keadaan, bukan menyumbang kepada hubungan yang makin teruk.

6. JANGAN SEBUT KEKURANGAN PASANGAN 

Janganlah kita menghina isteri atau suami untuk apa tujuan sekalipun ketika bergaduh. Lebih-lebih lagi yang dihina itu adalah bahagian anggota tubuh badannya. Ini perkara sensitif bagi pasangan.

Ketika kita bersetuju bernikah dengannya, bermaksud kita juga setuju untuk menerima kekurangan yang ada pada dirinya. Walaupun kekurangan itu wujud selepas perkahwinan, kita harus menerima isteri seadanya.

Sentiasa ingatkan diri untuk mengawal lidah ketika bertengkar. Bak kata orang tua-tua, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

 7. JANGAN TINGGI SUARA HINGGA ORANG LAIN BOLEH DENGAR

Ketika bergaduh, jangan sesekali meninggikan suara dengan tujuan menengking hingga ramai yang boleh mendengar. Perbuatan itu hanya akan memalukan dan menjatuhkan maruahnya di depan semua orang. Lebih-lebih lagi di tempat awam.

Jagalah maruah pasangan kita. Maruah dia, maruah kita juga. Ia ibarat membuka pekung dan kelemahan kita dalam hidup berumahtangga.

Pasangan yang ditengking itu pasti akan terasa dengan kita. Malah akan menjauhkan dirinya daripada kita.

8. JANGAN BERGADUH LAMA-LAMA

Jangan memanjang-manjangkan pergaduhan. Sudah habis bergaduh, berdamailah.  Pujuklah pasangan kita dengan kata-kata menyejukkan jiwa.

Memanjangkan pergaduhan tidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya dengan bertenang dan berdamai itu lebih baik untuk membaiki hubungan atau masalah yang menimpa pasangan.

Maka, jangan kita sengaja merosakkan rumah tangga yang dibina dengan perbuatan yang melampau ketika bergaduh. Jangan juga kita hanya bergaduh semata-mata untuk mahukan perhatian daripada pasangan.

INFO TAMBAHAN:

Hanya sekadar nasihat kepada kaum hawa dan isteri di luar sana. Janganlah kita suka menunjuk atau menayang keretakan rumahtangga kita di laman sosial. Asal ada masalah sikit dengan suami, sibuk hendak muat naik status tidak puas hati dengan unsur memerli.

Ada pula yang suka tag suami dengan ayat yang boleh menjatuhkan maruah suami sendiri. Sibuk hendak beritahu semua orang yang suami kita tidak bagus, tidak berduit dan banyak kekurangan. Apa kurang baik, kita simpan dan cuba perbaiki. Bukan tayang kepada satu dunia.

SUMBER: Ustaz Kazim Elias – Buku Duhai Wanita Permaisuri Hati

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda