HARI raya sudah hampir tiba, pastinya aktiviti beraya ke rumah jiran, saudara-mara dan kenalan akan jadi agenda utama sambil dimeriahkan keriuhan kanak-kanak. Betullah kata orang, hari raya tanpa kanak-kanak memang kurang meriah.

Tetapi ingat, ada beberapa perkara penting atau pantang larang yang patut kita jaga mengenai perihal kanak-kanak ini. Daripada laman Facebook milik Taufiq Razif, dia mengingatkan tentang 5 perkara yang tidak boleh buat kepada anak orang pada musim raya nanti.


1. JANGAN SUAP ANAK ORANG

  • Kita tak tahu penyakit dan latar belakang anak orang. Entah-entah anak orang tu ada alergik teruk ke, ekzema ke, G6PD deficiency atau apa-apa penyakit lain yang berbahaya.
  • Tahukah, kalau tersalah suap kacang parang padat kepada anak yang ada masalah G6PD deficiency, anak itu boleh tiba-tiba jadi lemah, kencing jadi pekat, pernafasan laju dan sampai tahap kena masuk wad.

2. JANGAN BANDINGKAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN ANAK

  • Tanya result sambil puji dan bagi semangat OK lagi, tetapi kalau dibanding-bandingkan memang boleh buatkan tuan rumah ataupun tetamu berkecil hati. Jaga mulut OK!
  • Ada anak memang jenis late boomers (lambat naik). Ramai anak-anak yang UPSR, PMR/PT3 dan SPM cukup-cukup makan sahaja, tetapi apabila masuk universiti dia boleh jadi pelajar terbaik.

3. JANGAN PERLEKEH TETAMU KECIL

  • Walaupun anak-anak ini mungkin datang beraya hanya untuk dapat duit raya, jangan sesekali kali kita merendahkan mereka.
  • Anak kecil juga ada harga diri dan maruah yang perlu dijaga. Inilah nanti yang akan membentuk keyakinan diri mereka suatu hari nanti.

4. JANGAN MARAH ANAK ORANG LEBIH-LEBIH

  • Kadangkala memang ada anak yang hiperaktif, meloncat ke sana ke sini sampai tahap pecahkan dan merosakkan barang tuan rumah.
  • Kita minta secara berhikmah kepada ibu bapanya supaya kawal anak mereka kerana memang adab bertamu ialah ibu bapa perlu kawal anak sendiri daripada buat tuan rumah gelisah dan marah.

5. JANGAN CIUM ANAK ORANG, TERUTAMA BAYI BARU LAHIR

  • Sistem imunisasi bayi baru lahir tidak sama seperti dewasa. Bayi cuma ada sistem imunisasi asas.
  • Banyak kuman seperti herpes simplex virus pada orang dewasa yang boleh mengancam nyawa bayi.
  • Banyak kes bayi dicium orang dewasa sampai terkena mouth sore, masalah pernafasan hingga jangkitan otak!

Ramai sangat ibu bapa belum tahu perkara ini. Tolong pesankan kepada ibu bapa dan orang luar sana tentang hal ini. Elakkan ‘membawang’ ketika beraya. Jangan sampai orang meluat dengan kita. Elok-elok hendak beraya bermaafan, jadi bergaduh pula dengan saudara-mara nanti.

SUMBER: TaufiqRazif

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda