MENGHANTAR anak ke rumah pengasuh sudah menjadi perkara biasa pada zaman sekarang. Tidak semua ibu bertuah dan berpeluang menjaga anak sendiri di rumah, korbankan kerjaya demi menjaga anak- anak.

Bagaimanapun, dengan kes dera bayi, dera kanak-kanak di taska, cikgu tampar bayi, pengasuh bunuh bayi dan segala macam hal lagi membuatkan hati kita gundah gulana untuk hantar anak ke pengasuh ataupun taska.

Apa yang boleh kami simpulkan, ia adalah tindakan luar kewarasan seorang pengasuh yang mesti diadili sewajarnya. Perbuatan menyakiti atau mendera anak kecil memang tidak boleh diterima walau apa jua alasan yang diberikan. Ini berkaitan tentang nyawa anak kita!

JANGAN AMBIL MUDAH

Sebenarnya soal mencari pengasuh tidak boleh diambil mudah. Mesti cari mereka yang betul-betul sanggup menjaga anak kita seperti anak sendiri. Memang bukan perkara yang senang, ramai yang pening kepala hendak cari pengasuh anak.

Di sini kami kongsikan 10 tip bagaimana memilih pengasuh terbaik untuk anak anda. Maklumlah, sekarang terlalu banyak kejadian yang melibatkan penderaan dan kecuaian pengasuh dalam menjaga anak- anak. Jadi cubalah pilih yang terbaik, dan meyakinkan kita.


1. PASTIKAN GALI MAKLUMAT DAN LATAR BELAKANG PENGASUH

Amat penting hal ini. Mesti tahu latar belakang pengasuh, siapa suaminya, siapa yang tinggal bersamanya, sudah pernah jaga bayi atau ada anak kecil? Segala hal latar belakang pengasuh, kita mesti tahu. Boleh cuba bertanya kepada kawan-kawan atau mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah pengasuh.

Boleh juga bertanya pada ibu bapa yang sudah pernah hantar anak kepada pengasuh tersebut. Untuk taska atau nursery pula, lihat pekerja yang ada di situ. Paling penting, pilih yang berdaftar ya. Dengan cara ini,  bolehlah kita tahu sejauh mana pengalaman dan tahap persediaan pengasuh itu menjaga anak kita nanti.

2. SARANAN DARI ORANG YANG DIPERCAYAI

Sebaiknya pilihlah pengasuh yang ada reputasi baik dan disarankan oleh rakan-rakan atau saudara mara. Sekurang-kurangnya, pendapat dan saranan mereka lebih dipercayai.

3. KUALITI VS HARGA

Tidak salah jika membayar harga yang tinggi tapi kualiti servisnya yang bagus. Pilihlah pengasuh yang benar-benar meyakinkan hati kita.

Jangan terlalu memikirkan harga yang murah tapi soal penjagaan tidak memuaskan. Biarlah setimpal dengan tugas menjaga anak kita seharian.

4. KEBERSIHAN DAN KESELAMATAN

Pastikan juga persekitaran di dalam rumah pengasuh tadi bersih dan selamat untuk anak. Kalau rumah pengasuh lapang tidak banyak perabot, lagi bagus. Ini bagi mengelakkan insiden terhantuk dan sebagainya.

Maklumlah budak-budak aktif dan suka berlari ke sana sini. Itulah sampai ada kes cikgu penampar pelajar sekolah, berusia 8 tahun hingga lebam pipinya! Punca, budak itu berlari dan terlanggar si cikgu yang panas baran.

5. BILANGAN ANAK YANG DIJAGA PENGASUH

Sebaiknya pilih pengasuh yang tidak menjaga terlalu ramai anak. Paling maksimum 3 orang, sebab bukan senang untuk uruskan anak-anak yang ramai secara serentak.

Takut nanti pengasuh tidak dapat beri perhatian pada anak kita atau berlaku kecuaian yang boleh memudaratkan anak di bawah jagaan pengasuh.

6. BINA HUBUNGAN BAIK DENGAN PENGASUH 

Binalah hubungan baik dengan pengasuh. Bina persahabatan. Sesekali ambillah hati pengasuh kita dengan memberi hadiah atau bonus tahunan sebab menjaga anak kita dengan baik.

Jangan sesekali anggap pengasuh seperti orang gaji yang kita bayarkan wang kerana menjaga anak kita.

7. CARI PENGASUH YANG TIADA ANAK KECIL

Sebaiknya carilah pengasuh yang tidak ada anak kecil. Jadi tiadalah isu pengasuh mengutamakan anak kandung sendiri lebih daripada anak yang dijaga sehingga terabai.

8. MENGAMALKAN CARA HIDUP ISLAM SYUMUL

Sebagai seorang Muslim, tentu kita mahu pengasuh anak seorang yang beragama Islam. Ini adalah amat penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak.

Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaknya. Dia bukan sahaja memakai tudung dan berpakaian sopan yang menutup aurat, tetapi dia juga berilmu. Pengasuh boleh membaca doa-doa harian yang mudah, membaca al-quran dan berzikir.

9. ADA ILMU PENJAGAAN BAYI DAN KANAK-KANAK

Ilmu pendidikan awal kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Bukan sahaja dia tahu menukar lampin dan membuat susu, malah dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh atau mengendalikan anak yang menggigit.

10. DIA GEMBIRA MELIHAT ANAK KITA

Ibu pasti akan dapat lihat jika pengasuh benar-benar gembira menjaga dan mengasuh anak kita dan si anak juga dapat merasakannya. Kasih sayang dan kemesraan akan terserlah ketika mereka bersama-sama.

Kesimpulannya, jika hendak cari pengasuh kena survey dan cari lebih awal. Jangan seminggu sudah hendak tamat tempoh berpantang baru kelam kabut hendak mencari. Selain dari berusaha mencari pengasuh terbaik buat anak, kita juga harus berdoa dan tawakal supaya Allah permudahkan segala urusan dan lindungi anak kita.

Baca juga Amalkan Doa Ini JIka Hati Rasa Berat Tinggalkan Anak di Rumah Pengasuh.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda