SEDIHNYA hati apabila suami enggan lagi tidur sebilik bersama. Tuhan saja yang tahu peritnya dan selama setahun Anis menderita serta menangis tidak tahu apa punca. Kenapa suami selalu mengelak tidur sekali? Apabila ditanya, kata suami, dia ada ‘masalah lelaki’. Tetapi layanan dan kasih sayangnya masih sama. Malah lebih daripada biasa sepanjang setahun berlalu.

Selain kacak dan tinggi, suami Anis memang lelaki yang baik, sabar, penyayang dan tidak pernah berkasar. Suami juga selalu belikan dia hadiah dan berikan duit belanja. Kata orang, memang suami perfect!

Hasil perkahwinan, Anis dan suami dikurniakan dua cahaya mata lelaki berusia 5 dan 7 tahun yang pasti belum mengerti apa-apa yang sedang terjadi.

SUAMI ANIS SANGAT BAIK

Jauh sekali curiga kecurangan suami. Anis langsung tidak sampai hati hendak mogok atau bergaduh dengan suami. Katanya, suami baik sangat. Sangat sayangkan dia dan anak-anak.

Suami setiap hari akan cakap, “Abang minta maaf sayang, jangan tinggalkan abang. Abang ada masalah lelaki, bukan tak cintakan sayang.”

Allah… Berderau jantung setiap kali suami cakap macam ini. Adakah suami Anis sudah sampai ajal? Anis menangis setiap hari. Rasa sakit dalam hati bagai dihiris sembilu! Sangat sakit…

“KENAPA? APA YANG TERJADI? JELASKAN KEPADA SAYANG? JANGAN BERAHSIA!”

Setiap hari Anis penat, dan sudah berbuih mulut bertanya. Rasa macam separuh gila. Sampaikan ada hari dia sudah tidak tahan dan terpaksa pergi jumpa pakar psikiatri untuk minta ubat penenang. Hidup Anis betul-betul diduga!

Jiwa Anis makin sakit dan mati! Setiap hari berdoa dan merenung, Anis tidak pernah buat salah kepada suami. Anis taat dan tidak keluar rumah tanpa izin suami. Apa salah Anis?

Bayangkan betapa sedih hati apabila suami menolak dipeluk sebab rindu sangat! Apa perasaan kita sebagai isteri kalau di tempat Anis?

SUAMIKU NAMPAK PUCAT

Lama-kelamaan Anis cuba bersabar dan bertenang. Setiap hari Anis berdoa agar penyakit suami disembuhkan walaupun Anis tidak tahu suami sakit apa. Ada juga dia terfikir suami mengidap kanser kulit atau penyakit kronik lain. Tetapi berteka-teki tidak cukup kuat untuk buatkan hatinya tenang.

Hati bertambah risau apabila nampak wajah suami semakin pucat. Suami kerap batuk, demam dan lesu. Kulit muka berubah warna! Allah, berdosakah aku selama ini mendesak dia menjawab pertanyaanku setiap hari? Salahkah aku mengetahui kebenaran?

“Apa penyakit abang? Abang sakit apa? Kenapa tak beritahu saya? Adakah ini puncanya abang elak untuk sentuh saya”

Isteri mana tidak gila apabila dia tidak tahu suaminya menderita sakit apa? Anis rasa macam nak gila.

ANIS MAHU KEBENARAN

Apabila badan suami mula ditumbuhi bintik-bintik, Anis semakin panik. Pada satu malam, Anis menangis melutut di depan suami untuk minta dia berterus-terang. Apa masalah sebenar yang suami Anis hadapi?

“Anis janji, walau apapun terjadi, Anis akan bersama abang hingga hujung nyawa kita.”

Suami masih diam dan hanya memandang ke arah lantai, dan beredar. Sampainya hati…

SUAMI HILANG TANPA PESANAN

Pada keesokan hari, suami Anis menghilangkan diri! Sebulan Anis cuba buat panggilan, tetapi tidak berjawab. Anis cuba hantar pesanan WhatsApp, suami membalas, “Abang OK, jangan risau. Cuma pergi berubat. Nanti abang balik rumah.”

Tiada ayat yang boleh Anis gambarkan perasaan ketika itu. OK, Anis masih menunggu kepulangan suami. Dan seminggu kemudian, Anis dapat panggilan daripada ibu mertua…

Anis, datang hospital sekarang. suami Anis dah nazak”

Allah, Anis terus terduduk…

Di hospital, Anis lihat suami terlantar, tetapi masih kekal tersenyum apabila nampak anak-anak. Seluruh badan dan kulit sudah bertukar jadi warna hitam dan berkudis. Anis minta ibu beri ruang dan masa untuk dia berbual dengan suami.

Anis cium tangan suami sambil meminta ampun dan maaf. Anis tahu, mungkin ini saat-saat akhir Anis dengar suara suami. Anis sedia terima segala kemungkinan. Hati Anis mesti kuat demi anak-anak.

SUAMI MENANGIS DAN GENGGAM TANGAN

Sayang, maafkan ABANG… ABANG SILAP dengan godaan dunia… ABANG bersalah dan menyesal dengan apa yang terjadi… Ampunkan kesalahan ABANG sebagai suami… ABANG curang dengan awak”

Jantung Anis bagaikan terhenti seketika dan dia rasa dunianya gelap seperti mahu pitam.

Suami sambung bercakap sambil menangis.

“Abang dapat tahu kena HIV sejak setahun lalu… Abang tak boleh bersama sebab tak mahu awak terjebak. Abang takut dan rasa macam nak gila. Abang hanya menghitung hari ajal…”

AKHIRNYA TERJAWAB!

Anis tidak tahu dari mana kekuatannya datang. Dia masih mampu tersenyum kerana pertanyaannya selama ini kini terjawab.

Akhirnya!

Dan Anis jawab dengan tenang;

Kenapa abang tak beritahu Anis awal-awal? Anis lagi seksa tengok abang sakit… Kalau tak, kita boleh sama-sama ikhtiar macam mana nak rawat sakit abang… Abang jangan risau, Anis janji besarkan anak-anak kita dengan baik…”

Walaupun hati sudah remuk berkecai, Anis tetap kuatkan diri untuk buatkan suaminya rasa lega dan tenang saat meninggalkan dia dan anak-anak. Nasi sudah jadi bubur, apa guna lagi dia menangis nasib dan ketentuan ilahi.

MENGHITUNG SAAT TIBA AJAL

Anis bacakan Yassin supaya suami tenang di saat akhir hayatnya. Percayalah, menghitung tiba ajal seorang suami, detiknya terasa begitu perit. Anis cuba tidak menangis di depan anak-anak. Hati Anis rasa kosong seakan tidak berperasaan.

Saat-saat akhir sebelum menghembuskan nafas, suami Anis berpesan;

“Sayang, setahun lepas abang BUAT rumah untuk sayang dan anak-anak dekat rumah mak. Walaupun tak besar, tapi cukup untuk sayang dan anak-anak. DUIT PUN Abang dah sedia UNTUK HANTAR anak PERGI sekolah. Abang dah cari kerja untuk sayang. nanti abang dah tak ada, sayang pergi kerja di Restoran Kak Chaq ye…”

Ampunkan kesalahan abang, Anis manusia terbaik pernah ada dalam hidup abang. Tolong jaga diri baik-baik, jaga mak dan anak-anak abang… Kalau Allah ampunkan, kita jumpa di syurga nanti. Doakan abang…” 

.

ANIS BANGKIT DAN TERUS HIDUP

Kini sudah setahun suami tinggalkan kami. Alhamdulillah, anak-anak faham yang ayah mereka sudah pergi buat selamanya. Anis juga sekarang berkerja di restoran saudara suami dan ada juga berniaga online. Alhamdulillah, cukup untuk tampung perbelanjaan kami sekeluarga.

Alam perkahwinan tidak selalunya indah seperti yang kita harapkan, tetapi perjalanan hidup membuatkan kita semakin matang dan kuat. Kalau kita rasa diri kita susah, lebih banyak di luar sana yang menderita. Anis sampai sekarang rasa serik untuk bernikah lagi. Anis masih cintakan arwah suami. Semoga kami berjumpa di syurga nanti.

Semoga semua ibu tunggal yang membesarkan anak tanpa suami akan tetap kuat dan gagah, Anis doakan semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan.


* Cerita ini diolah berdasarkan kisah benar dialami kenalan penulis sendiri. Semoga menjadi iktibar buat pembaca semua, termasuk penulis sendiri. :'(

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda