TIDAK dinafikan jualan produk makanan tambahan atau suplemen sangat berleluasa di pasaran tempatan sejak kebelakangan ini. Tidak dinafikan juga, ramai kalangan kita yang mudah terpedaya dengan testemoni diberikan.

Bukan saja untuk diri sendiri, suplemen turut diberikan kepada bayi dan kanak-kanak. Tidak salah mencari ubatan alternatif tetapi jangan lupa minta pandangan doktor kerana dikhuatiri membahayakan kesihatan, terutama bayi dan kanak-kanak.

Berikut perkongsian dipetik status Facebook, Dr Aishah Alsagoff mengenai pemberian vitamin C pada bayi yang kononnya mampu mengubati Ekzema.


Ini pertama kali saya dengar.

Betul ke ada suplemen khusus vitamin C untuk bayi ekzema?

Saya tidak percaya, bersungguh-sungguh ibu ini Google dan tunjukkan kepada saya semalam.

“Ini doktor, bagus orang kata, produk tempatan ni.”

Ya Allah, memang ada.

Ibu ini bayinya baru masuk 5 bulan. Hanya menyusu badan, makan pun belum. Dan dia diajar supaya beri bayinya yang kecil ini suplemen vitamin C untuk sembuhkan ekzema. Dan bayi ini sudahpun minum berbotol-botol. Ekzema tidak baik juga.

Saya ingat orang jual suplemen untuk orang tua macam kita saja. Tapi ini untuk bayi kecil. Bayi yang belum boleh makan pun lagi. Sedihnya.

Ibu-ibu yang disayangi. Bayi berumur 6 bulan hingga 3 tahun, mereka perlukan hanya 40mg vitamin C sehari.

Dalam susu ibu masing-masing setiap 1oz (30ml) susu ibu mengandungi lebih kurang 1.5mg vitamin C.

Mari kita kira.

Kalau anak anda minum 3oz setiap 3 jam, jadi bersamaan 24oz sehari, sudah dapat 36mg vitamin C sehari hanya daripada susu ibu. Sudah cukup bukan? Ingat balik bayi perlu 40mg vitamin C sehari sahaja.

Kalau susu formula pula, macam mana?

Baiklah, susu formula mengandungi 8mg vitamin C untuk setiap 100 kalori. Bayi berumur 6 bulan ke atas, memerlukan lebih kurang 650 kalori sehari, bersamaan dengan 50mg vitamin C. Sekali lagi, cukup bukan?

Dalam suplemen yang disebut ini, ada beratus-ratus mg vitamin C!

Apa yang akan jadi kalau beri anak dos berlebihan daripada keperluannya?

Overdose vitamin C boleh menyebabkan masalah awal seperti kembung, loya dan cirit-birit. Ini kerana vitamin C ialah vitamin larut air (water soluble) dan boleh mengganggu kadar osmotik dalam usus dan sistem penghadaman.

Kajian juga menunjukkan pengambilan vitamin C berlebihan dalam jangka masa lama boleh menyebabkan batu buah pinggang.

Ada satu kajian lain beritahu, tiada perbezaan dalam kadar vitamin C dalam darah antara orang yang mengambil suplemen vitamin C dalam dos tinggi dengan orang yang mengambil dalam dos rendah. Apa-apa yang diambil berlebihan, badan akan buang balik melalui air kencing.

Untuk bayi, hanya 1 keadaan sahaja yang doktor akan beri suplemen khusus vitamin C iaitu penyakit scurvy. Tetapi penyakit ini sudah jarang berlaku di kalangan masyarakat kita. Penyakit lain, tidak perlu pun.

Dalam ubat multivitamin Uphavit yang biasa klinik berikan untuk bayi pramatang, bayi kurang berat dan sebagainya, TIADA vitamin C. Hanya vitamin A, vitamin B1, vitamin B12, vitamin B2, vitamin D, vitamin B6 dan sebagainya.

Dalam multivitamin sirap seperti Scott Emulsion untuk bayi, juga TIADA vitamin C. Walaupun perisa oren. Mereka hanya bekalkan kandungan vitamin C untuk kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas. Bukan bayi.

Ada juga jenama multivitamin bayi yang ada vitamin C, tetapi dalam dos rendah dan terkawal. Hanya 7-10mg sahaja sekali makan.

Dalam multivitamin hisap pula, kandungan vitamin C lebih kurang 21mg-30mg sebiji. Itu juga untuk kanak-kanak 3 tahun ke atas. Bukan bayi.

Jadi, tiada sebab untuk beri bayi anda suplemen khusus vitamin C. Lebih-lebih lagi bayi kecil yang belum mula makan pun. Cukuplah susu ibu. Ibu-ibu boleh pastikan susu anda cukup vitamin C dengan makan makanan yang tinggi vitamin C seperti buah limau, strawberri dan brokoli, OK?

Ini saya cerita untuk bayi ya dan masalah dengan dos tinggi.

Kalau anak sudah besar umur 2, 4, dan 5 tahun nak makan vitamin hisap-hisap bentuk comel-comel itu, tidak ada masalah. Kalau ajar anak makan buah dan sayur pun lebih baik juga.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda