KITA salah kalau masih menganggap kehidupan anak mudah, ringkas dan tiada stres. Bagi kita, apalah sangat stres anak, dia hanya tahu main sahaja. Kalau ada stres pun cuma dalam hal pembelajaran.

Sebenarnya, anak pun turut bergelut dengan masalah stres dan tekanan perasaan akibat perkara besar yang dihadapinya seharian. Cuma situasi anak berbeza mengikut perkembangan diri dan tidak adil kalau kita cuba bandingkan masalah anak dengan kita yang sudah dewasa ini.

Kita sebagai orang dewasa pun susah hendak menangani tekanan hidup, apatah lagi anak yang baru belajar menjadi dewasa. Bagaimanakah mengenal pasti punca yang menyebabkan anak kita stress? Baca senarai di bawah ini:

1. TERLALU MENGONGKONG

Langsung tidak ada kelonggaran dalam kehidupan. Ini tidak boleh, itu tidak boleh. Bilakah lagi anak boleh meneroka apa yang ada di sekelilingnya? Berilah dia sedikit ruang.
Ini tidak, segalanya mahu diaturkan sampai dia langsung tidak diberikan pilihan untuk buat apa yang disukainya.

Ibu bapa yang terlalu mengongkong boleh menyebabkan anak memberontak. Kalau sudah tidak tahan menanggung tekanan, dia akan memberontak di rumah atau sekolah dengan guru atau rakan-rakan. Jangan terkejut kalau anak kita tiba-tiba berubah perangai jadi lebih ganas dan degil.

2. KURANG KASIH SAYANG

Kita kadang-kadang terlalu fokus dengan kerja sampai abaikan anak. Kasihan dia penat menunggu ibu dan ayah setiap malam untuk didodoikan tidur atau dibacakan buku cerita.

Jangan pula kita hanya tahu mengharapkan bibik dan buat lepas tangan begitu saja. Tidak pasal-pasal anak nanti jadi stres sebab terlalu rindukan ibu dan ayah. Ingat, kalau kita lupa luangkan masa dengan anak ketika dia kecil, janganlah mengharapkan anak akan rapat dengan kita tiba-tiba apabila sudah dewasa.

3. MASALAH RUMAH TANGGA

Pasangan bermasalah juga menjadi punca anak stres. Elakkan bertekak dan bergaduh depan anak. Jika dibiarkan berterusan, anak berisiko tinggi mengalami masalah mental di masa depan.

4. PENCERAIAN

Anak kecil perlukan ibu bapa di samping mereka sepanjang membesar. Jika dipisahkan, si kecil yang biasa bermanja dan mendapat perhatian daripada kedua-dua orang tuanya akan merasakan kehilangan besar dalam hidupnya.

Sudah tentu anak mengambil masa lama untuk membiasakan diri dengan situasi kehidupan baharu. Bantu anak dengan berikan dia peluang berjumpa ibu atau bapanya seandainya kita sudah berpisah dengan pasangan.

5. ALAMI PERUBAHAN BESAR DALAM HIDUP

Berpindah rumah atau sekolah juga boleh menyebabkan anak stres. Anak mengambil masa membiasakan diri di kawasan baharu dengan kawan yang tidak dikenalinya.

Rajinkan diri kita membawa anak meninjau dan meronda sekitar kawasan baharu supaya dia cepat mesra, selesa dan yakin untuk tinggal di situ.

6. KEMATIAN

Kematian ahli keluarga terdekat akan memberi kesan yang hebat kepada anak. Dia biasanya menyimpan rasa bersalah dan juga kerinduan kepada ahli keluarga yang pergi selamanya.

7. JADUAL AKTIVITI TERLALU PADAT

Kita sentiasa mahukan anak jadi pelajar cemerlang. Kalau boleh, kita hendak dia jadi serba boleh dalam segala hal. Sedarlah, anak pun perlukan masa berehat, dan masa untuk bermain dan bermanja.

Tahukah kita, jadual persekolahan anak setiap hari memang padat? Ada kelas tuisyen, kelas piano, kelas renang, dan macam-macam kelas lain yang mahu kita suruh dia pergi. Kasihan betul budak itu! Kecil-kecil lagi sudah dibebankan dengan jadual hidup serba padat. Janganlah terlalu sempitkan hidup anak dengan segala macam kelas atau aktiviti berat setiap hari. Berilah ruang untuk dia buat apa yang disukainya.

8. TEKANAN RAKAN SEBAYA ATAU DI SEKOLAH

Persaingan di sekolah juga boleh buat anak stres. Masing-masing berlumba mahu dapatkan gred cemerlang. Masing-masing mahu baju yang sama macam kawan-kawan lain. Begitu juga hal-hal lain. Kalau ketinggalan, boleh buat diri anak rasa stres.

Ada juga kes anak dibuli dan diejek di sekolah. Sudah tentu masalah begini sudah jadi perkara biasa dalam kehidupan anak. Tetapi, kita sebagai ibu bapa boleh memainkan peranan untuk membantu anak menangani stres yang dihadapi.

Jangan biarkan anak menanggung stres sendirian. Beritahulah betapa kita akan sentiasa ada bersamanya untuk membantu dan melindungi dia tanpa mengira apa pun yang terjadi.

SUMBER: Parents.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda