KASIH sayang, cinta dan pengorbanan seorang ayah tiada tolak bandingnya. Ayah ialah insan yang bertanggungjawab membentuk akhlak dan personaliti anak, termasuk memainkan peranan penting dalam perkembangan mental dan emosi.

Apabila seseorang anak lelaki membesar, ada ramai orang di sekeliling yang boleh mempengaruhi peribadi mereka sepanjang proses menjadi remaja dan dewasa. Justeru, seorang ayah wajib menjadi peneman, pemberi pengaruh dan juga ‘role-model’ kepada anak. Anak pula memerlukan ayah untuk sentiasa berada di sisi mereka ketika suka dan duka.

Berikut 7 perkara yang diperlukan anak lelaki daripada ayahnya:

1. DIA PERLUKAN AYAH UNTUK MENYAYANGI IBU, HORMATI PEREMPUAN

Apabila ayah menyayangi isteri, ibu dan juga anak, si ayah sedang menunjukkan kepada anak tentang adab melayan kaum hawa, terutama ahli keluarga perempuan.

Jika mengharapkan anak lelaki menghormati wanita, ayah perlu menunjukkan asas dan contoh terbaik kepada mereka. Seandainya ayah sendiri buat tidak endah atau ‘asal boleh’, misalnya menengking isteri depan anak, jangan pula berharap anak akan tahu adab melayan wanita, terutama si ibu.

2. DIA PERLU LIHAT AYAHNYA GAGAL, BUKAN BERJAYA SEMATA-MATA

Kegagalan ialah guru terbaik. Bagus sesekali anak lelaki melihat kegagalan ayahnya dan kemudian berjaya mengatasi kegagalan tersebut. Beri pendedahan kepada anak, melakukan kesilapan dalam hidup bukanlah satu kesalahan.

Apa yang penting, mesti belajar mengatasi kegagalan dihadapi itu. Anak lelaki yang tidak takut melakukan kesalahan akan membesar menjadi lelaki yang bersedia menerima dan menghadapi pelbagai cabaran besar dalam hidupnya.

Ayah hendaklah jadi seorang adiwira kepada anak. Besarkan mereka untuk menjadi pemimpin, bukan pengikut.

3. DIA PERLUKAN CONTOHI KEPIMPINAN AYAH

Walaupun ayah bukan bos di tempat kerja, tetapi ayah ialah pemimpin dalam institusi keluarga.

Anak lelaki perlu melihat ayah sebagai pemimpin di rumah. Apabila anak lelaki melihat ayah memimpin dan juga berkhidmat untuk keluarga, mereka akan lebih faham konsep kepimpinan dan dapat memimpin dengan lebih berkesan.

Jangan pula ayah hanya tahu mengarah itu ini, tetapi tidak mahu buat! Ingat, jika ayah sendiri malas, anak juga pasti mengikut perangai si ayah. Kata peribahasa, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

4. DIA PERLUKAN AYAH DI SAMPINGNYA

Anak lelaki memerlukan ayah untuk wujud dan ada dalam segala aspek kehidupan mereka dengan mengambil tahu hal pelajaran, kehidupan sosial, dan mengenali rakan-rakan mereka. Apa salahnya sesekali temankan anak bermain bola.

Kewujudan ayah dalam setiap aspek kehidupan dapat memberikan mereka semangat, sekali gus menunjukkan sokongan yang diperlukan. Ambil tahu siapa kawan mereka, bagaimana prestasi di sekolah, dan ketahui hobi mereka. Jika itu dilakukan, ayah pasti dapat menjalinkan hubungan yang lebih akrab dengan anak.

5. DIA PERLUKAN AYAH UNTUK RASA SENTIASA DISAYANGI

Ayah perlu menghormati dan menyokong apa saja pilihan atau benda yang disukai anak. Sekiranya ayah mahu anak menjadi doktor, tetapi mereka mahu jadi pemain bola sepak, mesti tunjuk sokongan dan kasih sayang walaupun terdapat perbezaan minat.

Kasih sayang dan peneriman yang baik akan mewujudkan kepercayaan dalam hubungan ayah dan anak lelaki. Dari situ juga anak lelaki akan belajar membina keyakinan diri. Jangan pula dipaksa, dan dipulaukan sekiranya mereka tidak suka apa yang kita mahukan.

6. DIA PERLU KATA-KATA SEMANGAT DAN PUJIAN DARIPADA AYAH

Ringankan mulut bercakap perkara-perkara baik kepada anak. “Ayah sayang awak, ayah bangga ada anak lelaki macam awak, ayah pasti awak boleh lakukan yang terbaik, ayah yakin lepas ni mesti awak boleh buat yang terbaik”.

Seorang anak lelaki memerlukan ayah untuk membakar semangat mereka. Ini akan membuatkan mereka jadi lelaki berani. Jangan sesekali memperlekehkan, menjatuhkan maruah atau membandingkan anak.

7. DIA PERLUKAN AYAH UNTUK DIDISIPLINKAN DENGAN KASIH SAYANG

Apabila mendisiplinkan anak, letakkan sempadan dan juga jangkaan. Ya, sudah tentu anak tidak lari daripada melakukan kesalahan sebagai seorang kanak-kanak. Melakukan kesalahan ialah perkara biasa, jangan terlampau serius dalam proses pembelajaran anak.

Ajar anak-anak, perbuatan dan tindakan mereka sentiasa ada akibat. Mendisiplinkan anak dengan kasih sayang akan mengajar mereka mempertimbangkan kesan diterima akibat perbuatan sendiri. Ini akan membuat mereka berfikir dan menilai setiap pilihan yang dibuat.

Penting untuk difahami, bukan ibu saja yang perlu memikul tanggungjawab mendidik anak, tetapi ayah juga sebenarnya memainkan watak utama dalam peranan membentuk kejayaan anak.

SUMBER: AllProDad

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda