BAYI baru lahir memang selalu menerima kunjungan tetamu. Tidak kiralah keluarga terdekat, saudara-mara serta kawan-kawan ibu yang seronok meraikan kehadiran orang baru. Apabila terpandang wajah bayi yang comel, tentu sahaja ramai yang teruja untuk mencium.

Tapi, apabila kita membiarkan bayi dicium, terutama oleh orang yang tidak diketahui tentang sejarah dan keadaan kesihatannya, kita telah mendedahkan bayi kepada pelbagai risiko.

5 SEBAB TIDAK BOLEH BERI ATAU MENCIUM BAYI SESUKA HATI

1. KUMAN BATUK, SELESEMA DAN DEMAM MUDAH BERJANGKIT

  • Ketika mencium bayi baru lahir, kuman seperti batuk, selesema, dan demam boleh ikut berjangkit dari mulut (air liur) ke pipi atau bibir si kecil.
  • Bayi baru lahir belum mempunyai imuniti sekuat orang dewasa, maka mereka lebih mudah diserang jangkitan kuman.
  • Walaupun tidak mencium bayi, mereka yang sakit tidak disarankan untuk melawat bayi baru lahir sama sekali.
  • Ini kerana, ketika seseorang yang sakit terbersin, batuk, bernafas, apatah lagi mencium  bayi, kuman akan disebarkan tanpa disedarinya.

2. BOLEH TERKENA RUAM KULIT

  • Ruam kulit boleh berlaku kepada bayi yang begitu sensitif terhadap persekitarannya, lebih-lebih lagi bayi pramatang atau bayi yang mengalami ekzema.
  • Oleh itu, pastikan ibu bapa juga sentiasa mengamalkan kebersihan apabila ingin memegang dan menyentuh si kecil.
  • Infeksi mononukleosis yang umumnya disebut kissing disease juga adalah virus yang boleh ditular melalui air liur.
  • Antara gejala umumnya termasuklah ruam kulit selain demam, sakit kepala, radang tekak, dan sebagainya.

3. ASAP ROKOK BASI

  • Apabila seorang perokok itu merokok, kesan-kesan nikotin masih akan terlekat di kulit dan bajunya walaupun selepas berjam-jam lamanya.
  • Lebih mengejutkan, kepekatan bahan kimia beracun yang terkandung dalam asap rokok basi ini sebenarnya lebih tinggi jika dibandingkan dengan kepekatan asap disedut oleh perokok.
  • Keadaan toksik seperti ini sudah tentu akan memberi kesan sampingan kepada bayi, terutamanya masalah pernafasan.
  • Jadi, sedaya-upaya elakkan bayi didekati oleh perokok, apatah lagi diciumnya.

4. WABAK MERBAHAYA JUGA BOLEH BERJANGKIT

  • Selain penyakit biasa seperti batuk, selesema dan demam, wabak merbahaya seperti meningitis, herpes, cacar air dan sebagainya.
  • Satu contoh yang boleh kita ambil adalah penyakit herpes. Penyakit ini mungkin jarang dihidap. Tapi, terdapat sumber mendapati bahaya seseorang terkena herpes akan memiliki virus ini di dalam tubuh sepanjang hayatnya.
  • Apa yang menakutkan, penyakit ini tidak dapat dikesan dengan mata kasar.
  • Maka, ibu bapa haruslah menolak secara halus jika bayi mahu dicium oleh seseorang yang anda tidak kenal.

5. WAJAH BAYI ADALAH ZON SENSITIF 

  • Fahami bahagian wajah bayi baru lahir amat sensitif. Penyebaran virus boleh terlekat, boleh terhirup melalui hidung atau tersebar melalui mulutnya.
  • Oleh itu, kurangkan interaksi dengan bayi pada bahagian wajah sekiranya kita kurang sihat.
  • Bahagian tubuh lain seperti kaki boleh dijadikan alternatif untuk dicium.

BUKAN SOMBONG, CUMA KITA MESTI MELINDUNGI ANAK

Memang terasa malu untuk melarang tetamu daripada mencium bayi kita. Malah, kita mungkin dianggap sombong atau berlagak diva apabila memberi teguran.

Bagaimanapun, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Jika bayi kita sakit, kita juga yang tidak dapat tidur seharian. Ingat, ini adalah hak kita untuk melarang orang lain daripada mencium bayi kita sesuka hati.

TETAMU JUGA MESTI TAHU PERKARA INI

Sebagai tetamu yang melawat bayi baru lahir, anda juga mesti faham tentang pantang larang ini. Cukuplah sekadar melihat dan memanggilnya. Jika rasa tidak sihat, tunda dahulu niat pergi melawat. Baca juga Awas! Bahaya Cium Mulut Bayi.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda