SIKAP membiarkan anak menentukan apa yang mereka mahu makan tidak sepatutnya dilakukan kira sebagai ibu bapa. Ini kerana tindakan itu boleh menyebabkan anak mengalami masalah kesihatan kerana tidak mendapat kandungan nutrien seimbang dalam badan.

Berikut perkongsian ibu, Adila Azurin tentang pengalaman sendiri apabila anaknya demam setiap bulan dan pucat akibat anemia, yang akhirnya disahkan doktor kerana kekurangan nutrisi.


TAK APA NANTI ANAK DAH BESAR PANDAILAH DIA NAK MAKAN.

Pernah terfikir macam ini? Ubah sebelum menyesal.

Raya baru-baru ini ramai yang bertanya pasal kesihatan Adra. Kepada mereka yang tidak tahu, 3 bulan lepas Adra diwadkan 3 hari di hospital sebab masalah anemia. Kurang hemoglobin (HB) dalam sel darah merah. Kalau nak tahu, HB inilah yang tolong angkat oksigen daripada paru-paru untuk salurkan ke seluruh badan.

Sebelum diwadkan, Dila bawa Adra ke Klinik Kesihatan (KK) untuk buat ujian darah, sebab dalam sebulan dia kerap demam. Hampir setiap bulan. Sebelum ini Adra memang jarang demam. Kalau demam pun tidak lama. Hari ini demam, esok sudah baik. Dila yakin Adra susah kena penyakit sebab Dila menyusu badan penuh sampai setahun setengah. Sangkaan Dila, ketahanan badan dia mesti kuat.

Tetapi entah kenapa bulan 4 lepas, Adra demam sampai 2 kali dalam sebulan. Kali pertama Adra buat ujian darah di KK, terus dia kena rujuk ke hospital sebab bacaan HB dia masa itu 5, sedangkan bacaan yang doktor beritahu untuk kanak-kanak normal ialah 13. Kurang separuh! Arghhhh… terkejut Dila! Tanya doktor KK apa punca? Tetapi doktor KK beritahu hospital akan buat pemeriksaan lengkap untuk dapatkan puncanya.

Balik rumah terus pekkan baju, serah diri ke hospital. Disebabkan masalah Adra berpunca daripada darah, memang kena ambil darah sejak dia mula masuk hospital sampailah keluar. Kesian dia kena cucuk banyak kali. Dila pun tidak sanggup nak tengok lebam-lebam di tangan dia.

Lepas ambil darah. Doktor tanya macam-macam soalan.

“Awak tengok sendiri muka dia pucat, kelopak mata pun pucat, sini tengok tapak tangan dia. Bandingkan dengan tapak tangan awak. Pucatkan?

“Ada tak dia sesak nafas?”

“Berak dia ada keluar darah?”

“Famili ada yang hidap talasemia tak?”

“Tak ada doktor, cuma sebelum ni dia demam dekat 5 hari on-off, on-off. Saya bagi PCM macam biasa tapi saya tengok dia lemah. Tak nak main sangat, asyik baring je. Makan kurang, tapi menyusu macam biasa. Kami tak ada talasemia, cuma saya je masa mengandung HB memang rendah.”

“Ok tak apa kita akan buat Full Blood Count (FBC) untuk tengok apa masalah sebenar.”

Hampir tiga hari Adra diwadkan di hospital. Setiap hari doktor yang pusing wad akan tanya.

Anak minum susu apa ibu?”

“Selera anak macam mana? Dekat rumah bagi makan apa?”

“Kita tengok anak ibu memang tak ada masalah apa. Mungkin masalah dia kurang darah merah sebab cara pemakanan dia tak berapa betul. KURANG NUTRISI.

Allah, tak tahu nak cakap macam mana, segan pun ada bila doktor cakap Adra kurang zat. Rasa macam kita tak bagi anak makan sampai dia jadi kurang zat.

Anak sulung Dila, Adam lagi picky (suka mengutip). Tapi dia tak ada pun masalah anemia. Sekurang-kurangnya Adra makan nasi walaupun berlaukkan sup ayam hampir setiap hari. Dila selalu ingat tidak apa kalau budak-budak tak nak makan sekarang, akan datang apabila dia makin membesar, masa itu selera dia akan berubah. Tapi memang silap sangkaan Dila. Apapun memang kena dididik sejak awal.

Lepas Adra mula campur susu, Dila tak bagi dia minum FM (susu formula). Adra memang minum susu segar saja selain EBM (susu perahan). Dila belajar daripada Adam dulu, salah satu punca anak tak nak makan bila dia terlalu ketagihkan susu manis. Adam pula minum susu coklat. Kalau kurangkan jumlah susu dia pun, masihtak nak makan. Adam cuma makan nasi yang ada rasa, macam nasi lemak (kegemaran Adam), nasi ayam, dan nasi beriani. Semuanya makan tanpa lauk.

Lain sangat dengan Adra, dia memang suka makan. Mungkin masa mengandungkan dia, Dila memang tak ada alahan dan makan apa saja. Jadi nak suap Adra makan lebih mudah dan dia memang berselera.

Tapi Dila perasan dia kurang makan masa Dila mengandungkan anak ketiga, Hayat. Tak tahu sama ada simptom nak dapat adik ke apa. Orang kata kalau anak kita nak dapat adik memang perangai akan berubah sikit. Mungkin betullah kot.

Jadi, Dila pun ok asalkan dia minum susu macam biasa. Waktu itu pun Dila memang tak larat sebab mengandung, nak kejar nak paksa makan ke apa memang tak larat sangat. Setiap hari sebelum pergi kerja, Dila akan masak lauk untuk Adra. Sup ayam dan sup bayam. Dua tu memang kegemaran Adra. Kalau tak larat, Dila akan beli dekat kafe ofis sambil cari menu baru yang kena dengan selera Adra.

Tapi Adra tetap macam itu, makan sesuap dua lepas itu tak nak makan. Makin lama, Adra makin pelik apabila dia sudah mula mengutip benda pelik-pelik masuk dalam mulut. Jangan tidak percaya Adra suka makan rambut. Yes, dia suka makan RAMBUT dia sendiri.

Terkejut sangat bila satu hari balik dari ofis tengok rambut Adra dah botak sebelah. Sampai banyak macam tu sekali Adra makan rambut dia. Sedih bila Dila dengan suami terpaksa putuskan untuk pendekkan rambut dia. Kasihan nak botakkan rambut dia, lagi masa itu sudah nak raya. Dengan badan makin kurus, rambut tak ada sampai ada yang tanya.

Adra luekimia ke?” Allah. Mintak dijauhkan.

Then Dila dan suami putuskan bawa Adra jumpa doktor pakar kanak-kanak. Ceritakan daripada A to Z. Doktor beritahu Adra ada simptom PICA. Penyakit yang mana seseorang tu suka makan benda pelik. Seseorang yang kurang zat besi cenderung untuk dapat simptom macam ni.

Anak awak cuma makan rambut, ada saya jumpa makan sabun, makan tanah. Ye memang gejala PICA anak awak ni.

Huaaaa… lagi lah sebak. Salah aku ke tak paksa anak makan. Stres sampai rasa nak tarik rambut sendiri pula. Dia sambung lagi.

Awak sendiri pun kena tengok awak makan apa, sebab dia breastfeeding-kan. Jadi apa yang awak makan itu la salur kepada dia, kalau makan tak berkhasiat, logik ke awak rasa badan dia kuat?”

Memang tahan telinga saja waktu itu.

Doktor pakar itu ada kongsi beberapa teknik macam mana nak pujuk anak supaya makan semula terutama yang picky.

Kita ibu ayah, kita yang sepatutnya kawal anak-anak, anak patut dengar cakap kita, bukan kita yang ikut semua kemahuan anak. Tak apa saya ajar macam mana untuk awak bagi dia makan, kanak-kanak yang picky macam anak awak ni memang ada cara dia.”

Ini doktor jelas antara punca kenapa Adra boleh dapat anemia.

1. Minum susu segar yang mana kandungan zat besi adalah rendah. Tak salah nak bagi anak minum susu segar, tapi pemakanan kena jaga sama. Jadi ibu-ibu yang memilih untuk berikan susu formula kepada anak-anak, baca label dan pilih susu yang ada kandungan zat besi tinggi.

2. Kurang makan makanan yang ada zat besi. Walaupun kadangkala Adra makan, tapi sup ayam kurang kandungan zat besi. Jadi tukarkan kepada menu yang lebih kandungan zat besi seperti sup daging lembu, sayur atau buah setiap hari. Bayam dan jambu batu contohnya.

3. Tiada ambil makanan tambahan atau suplemen kanak-kanak untuk tampung kekurangan zat besi yang sesuai dengan keperluan tubuh badannya.

So ibu/mama/mommies/umi luar sana, jangan pandang ringan bila anak kurang makan atau tak nak makan lansung. Zat besi memang sangat penting untuk tumbesaran anak-anak. Kekurangan zat besi juga akan menyebabkan anak-anak akan mengalami gangguan dalam pembelajaran, terutama subjek matematik. Ini apa yang doktor kongsikan kepada Dila. Wallahualam.

Sampai sekarang Dila ingat apa yang doktor itu cakap dan ajarkan. Keadaan Adra sudah semakin baik. Hikmah juga Dila cuti bersalin 3 bulan ini, hari-hari Dila boleh suap Adam, Adra makan dengan tangan sendiri. Tak makan Dila dah siap sediakan rotan panjang dekat sebelah. Tak makan, haaa siap la!

Perlahan-lahan tabiat pelik dia berkurangan, makan rambut tu alhamdulillah hilang sepenuhnya. Doakan kesihatan Adra bertambah baik. Insya-Allah.

Anak menangis tak apa, jangan kita yang menangis menyesal kemudian.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda