APABILA hamil, bermacam-macam benda yang kita teringin dan mahu buat. Banyak perkara kita mengidam. Tetapi tahukah anda, ada beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian dan berhati-hati kerana berisiko mendatangkan bahaya terhadap bayi.

Tidak salah, jika mahu berdandan atau berhias ketika hamil, tetapi berpada-pada dan jangan bahayakan bayi.

1. RAWATAN KAKI DAN TANGAN

Manicure dan pedicure memang menyeronokkan. Tetapi ketika hamil cuba elakkan dalam tempoh tiga bulan pertama kerana dibimbangi produk yang digunakan mengandungi bahan kimia.

2. RAWATAN MUKA

Sebelum ini, setiap bulan akan ke salun kecantikan untuk buat rawatan muka. Cuba elakkan kerana takut bahan digunakan tidak bebas kimia. Jika mahu juga buat rawatan muka, pastikan bahan tersebut selamat dan jangan lakukan rawatan pengelupasan atau pemutihan kerana kulit ketika ini sangat sensitiff.

3. WARNA RAMBUT

Elak mewarnakan rambut pada trimester pertama kehamilan kerana bahan kimia yang ada dalam produk pewarna akan meresap ke dalam kulit dan menimbulkan risiko jangkitan terhadap kandungan.

4. KASUT TUMIT TINGGI

Elak menggunakan kasut bertumit tinggi dikhuatiri kita terjatuh. Maklumlah, berat semakin bertambah. Kita akan mula hilang keseimbangan.

5. UBAT NYAMUK

Elak semua jenis ubat nyamuk sama ada semburan, jenis dibakar atau sapuan pada badan. Ubat nyamuk ada bahan kimia, dan sangat bahaya ke atas kandungan.

6. DERMA DARAH

Ibu hamil tidak dibenarkan menderma darah kerana mudah mengalami masalah anemia (kekurangan darah).

7. BAWA BARANG BERAT

Jangan sesekali cuba mengangkat barang berat, terutama apabila memasuki trimester akhir kehamilan.

8. DURIAN

Elak makan durian sepanjang trimester pertama kehamilan kerana boleh merangsang kontraksi yang menyebabkan keguguran!

9. KAPAL TERBANG

Jangan naik kapal terbang, terutama dalam trimester akhir kehamilan. Lebih lagi kepada bakal ibu yang ada masalah kehamilan berisiko atau sebarang komplikasi penyakit lain seperti darah tinggi atau kencing manis. Tekanan udara dalam kapal terbang akan menambahkan lagi risiko terhadap kandungan.

10. GINCU

Elak tabiat menjilat bibir ketika memakai gincu semasa hamil. Ini kerana bahan pengawet dan pewarna dalam gincu boleh mendatangkan bahaya ke atas kandungan.

11. KRIM PEMUTIH

Lupakan saja niat menggunakan krim pemutih. Kandungan krim boleh menjejaskan  kesihatan kita dan kandungan.

12. UBAT JERAWAT

Berjerawat ketika mengandung ialah normal kerana kita sedang mengalami perubahan hormon. Jangan gunakan ubat jerawat kerana dibimbangi akan menjejaskan pertumbuhan janin. Bagi mengelak muka terus  berjerawat, cuma perlu kerap mencuci muka!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda