BEZA ibu zaman dulu dan sekarang memang sangat ketara. Pembaca yang lahir tahun 80 dan 90-an mesti sempat melalui zaman dibesarkan cara lama yang agak tradisional. Jom kita imbau sikit kenangan dan perbezaan antara ibu tradisional dan ibu moden.

1. FESYEN

DULU: Kalau di rumah, kaum ibu suka pakai kain batik dengan baju kurung Kedah daripada kain kapas (cotton) saja. Fesyen tudung pula, ibu dulu pakai tudung ikat reben di depan, atau lilit ke belakang!

SEKARANG: Ibu sekarang gemar pakai seluar legging dengan kemeja-T atau dress longgar. Senang dan selesa hendak menguruskan rumah. Lagipun cuaca di Malaysia panas. Dari segi fesyen tudung, memang ada pelbagai fesyen dan gaya. Yuna, Neelofa, dan macam-macam gaya hijabista!

2. CARA MASAK

DULU: Siapa sempat tolong ibu kukur kelapa dan giling cili dengan batu penggiling? Kelakar betul kalau teringat, tetapi itulah keseronokan zaman dulu. Sekarang anak kita tidak sempat lagi gunakan alat klasik macam itu, hanya dapat jumpa di muzium.

SEKARANG: Sekarang banyak alat memasak canggih yang memudahkan kerja kita di dapur. Contohnya, masak guna periuk air fryer yang tidak perlu guna minyak langsung. Kalau masak nasi, guna pula periuk nasi elektrik, tidak perlu lagi menanak atas dapur gas lagi.

3. KEMAS RUMAH

DULU: Sapu sampah guna penyapu lidi dan sempat pula rasa pedih dilibas lidi kalau ibu sudah marah.

SEKARANG: Ibu zaman sekarang guna vakum elektrik atau lebih canggih lagi jenis smart vacuum, tekan saja ON dan vakum pun bergerak sendiri bersihkan rumah.

4. AKTIVITI MASA LAPANG

DULU: Kalau masa lapang, ibu akan pergi ke rumah jiran atau bersembang depan rumah. Kalau tidak pun, pergi ziarah rumah jiran bertanya khabar.

SEKARANG: Ibu sekarang kalau ada masa lapang, baca berita di Internet. Kalau ada masa berjumpa kawan, pergi ngeteh di luar atau layan shopping.

5. MAINAN ANAK

DULU: Ibu zaman dulu ajar anak main batu seremban, guli, gasing, baling selipar, congkak dan macam-macam permainan lain. Kalau permainan moden sikit, ada dam dan catur.

SEKARANG: Kebanyakan ibu hari ini ajar anak main atau tonton kartun di YouTube atau main game di telefon.

6. MARAH ANAK

Dulu: Antara senjata ibu kalau mahu menghukum anak ialah ikat ke batang pokok, libas dengan paip getah, penyapu lidi, rotan atau tali pinggang, atau kena cubit sampai terbeliak biji mata! Kalau ke rumah orang, ibu cuma perlu membeliakkan mata sebagai isyarat menyuruh anak berperangai baik.

SEKARANG: Hukuman ibu pun tidak banyak berubah, cuma kurang menggunakan pendekatan fizikal. Kebanyakan akan berleter dan menegur (baca: menjerit). Hukuman fizikal pula seperti menyuruh anak menatap dinding atau dilarang tengok TV atau main telefon pintar. Ada juga sesetengah ibu masih merotan anak.

Semua perbezaan di atas hanyalah sebagai mengembalikan memori kita di zaman dahulu. Hanya sebagai pendapat peribadi bukan untuk membandingkan atau tentukan mana yang lebih baik dan mana yang tidak. 😀

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda