SUDAH jadi kemestian ibu baru bersalin untuk menjalani proses berpantang bagi memastikan kesihatan diri pulih seperti sedia kala. Ibu mesti menjaga aspek pemakanan, fizikal dan mental sepanjang tempoh berpantang.

Bagi masyarakat Melayu, ibu yang baru melahirkan anak perlu diurut secara tradisional, bertungku, bertangas dan berbengkung. Memang leceh kalau hendak diikutkan segala cara penjagaan tradisional, tetapi ibu mesti percaya semua amalan itu dibuat demi kesihatan untuk jangka masa panjang.

Berikut 7 makanan terbaik yang boleh diambil ketika berpantang, khas buat kaum ibu yang hendak menjaga kesihatan tubuh badan selain merangsang penghasilan susu:

1. BERAS PERANG

Amalkan makan beras perang kerana itu cara terbaik mengawal berat badan selain mendapatkan kalori baik ketika berpantang. Beras perang juga baik untuk penghadaman dan mengelakkan sembelit selepas bersalin.

2. ROTI SERAT

Ibu yang sedang berpantang boleh mengamalkan makan roti berserat tinggi ketika sarapan. Roti berserat mengandungi kandungan asid folik yang penting untuk kesihatan tubuh badan dan bayi (melalui susu badan).

3. PROTEIN

Bagi mendapatkan sumber protein, ibu disarankan makan ikan tenggiri, salmon dan tuna. Ikan salmon dapat mengelakkan risiko kemurungan (meroyan) selepas bersalin. Ikan tenggiri dan tuna pula berkhasiat untuk memperbaiki fungsi otak dan membina sistem saraf bayi. Selain itu, sumber protein lain yang boleh diambil ketika berpantang ialah ikan merah, plotan, daging dan ayam.

4. SAYUR-SAYURAN

Sayur seperti sawi hijau, bayam, kucai dan ulam-ulaman seperti pegaga, daun cekur dan ulam raja mempunyai kandungan antioksidan tinggi. Selain itu, sayur juga mengandungi vitamin, mineral dan kalsium yang sangat penting untuk tubuh.

Bagi merangsang penghasilan susu, ibu disarankan makan lobak putih rebus, atau campurkan dengan sup ayam. Tetapi kalau sudah dapat ulam, ibu jangan pula mengidam hendak makan dengan sambal belacan! Sabar dulu.

5. BUAH WARNA TERANG

Buah-buahan warna terang seperti oren, betik dan anggur mengandungi sumber serat dan vitamin tinggi.

6. SNEK 

Sekiranya ibu teringin hendak makan snek, boleh juga ambil kacang badam, walnut atau pistachio (juga dipanggil kacang cerdik). Kekacang yang berkhasiat ini membantu menstabilkan paras gula dalam darah, dan meningkatkan kadar metabolism, termasuk fungsi otak dan tubuh.

Selain itu, amalkan makan kurma untuk merangsang penghasilan susu badan selain mendapatkan tenaga untuk tubuh.

7. AIR KOSONG

Banyakkan minum air kosong untuk mengelakkan dehidrasi selain merangsang penghasilan susu badan secara produktif. Ibu jangan takut minum air putih kerana takut gemuk air.

Selamat menjalani tempoh berpantang dengan aman dan selamat buat ibu di luar sana. Jom kongsikan tip ini dengan rakan-rakan yang bakal melahirkan anak supaya kita semua dapat menjalani kehidupan sebagai ibu yang sihat.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda