CABARAN generasi ibu bapa hari ini memang berbeza daripada dahulu. Kita akan dipandang serong semacam kalau anak lambat cakap, mengenal huruf, tidak tahu ABC atau 123 seawal usia 2 tahun. Jadi tidak hairanlah ramai ibu bapa terkejar-kejar membeli dan membelanjakan banyak wang untuk memiliki produk pintar di pasaran untuk anak mereka.

Tetapi dalam kerakusan melihat anak bijak, kita lupa tentang fitrah anak. Mari kita baca perkongsian panjang lebar Ahli Terapi Kanak-Kanak, Maryam Jamadi tentang kesilapan metod keibubapaan yang sering diamalkan dalam kalangan ibu bapa.

‘PARENTING’ YANG TERPESONG 

Anda mahu bayi genius atau perkembangan bayi normal?

Rata-rata mak ayah akan pilih mahu bayi genius. Kalau saya pun sebagai ibu normal mahu anak saya genius, mahu anak cepat pandai dan mahu anak nombor satu dalam segala aspek. Disebabkan semua mak ayah berlumba-lumba mahu anak genius, maka kini banyak sangat program parenting bertajuk:

“Bayi Genius” ?
“Bayi bijak” ?
“Bayi pandai sejak dari lahir” ?
“Bayi hebat membaca sejak lahir” ?
“Bayi hafaz al-Quran sejak lahir” ?
“Bayi boleh jalan umur 7 bulan” ?

Apabila nampak saja kelas yang bertajuk sebegini, berpusu-pusu mak ayah mahu join dengan mengharapkan anak cepat pandai tanpa usul periksa yang kaedah digunakan itu betul atau salah. Siapa yang anjurkan pun sudah tidak kisah. Disinilah timbul program-program terpesong dalam parenting.

Saya tidak kata cara saya sahaja betul, cara orang lain semua salah. Tetapi saya katakan ini berdasarkan pengalaman sepanjang menjadi terapis kanak-kanak. Semua maklumat yang saya sampaikan tidak kira semasa sesi terapi atau kelas ajuran saya semuanya ada kajian saintifik dilakukan bukan sekadar ‘pengalaman menjadi ibu’ atau ‘cara saya didik anak saya’ dan sebagainya. Hakikatnya, terdapat segelintir orang ternama yang memberikan nasihat parenting kepada berjuta followers hanya berdasarkan ‘pengalaman sendiri’, tanpa mengetahui benar atau salah.

Dikelas saya pun tidak ada langsung poin ‘anak genius’ sebab saya percaya setiap perkembangan anak berbeza dan setiap anak ada kelebihan tersendiri. Tidak perlu pun sejak bayi sudah letakkan target anak menjadi doktor atau bagi baca buku berilmiah dari bayi tetapi bantulah anak berkembang dengan NORMAL dan seimbang.

Kalau kita terlampau tekankan satu aspek, nescaya aspek lain pasti akan tertinggal tanpa kita sedar.

SALAH FAHAM TENTANG FLASHCARD

Saya semakin risau dengan penggunaan flashcard yang berlebihan kepada bayi baru lahir. Malah ada orang ternama pun tidak ketinggalan menggunakan flashcard untuk bayi mereka. Ada yang memang ada ilmu menggunakannya, ada yang tidak. Apa saya paling risau apabila ramai followers meniru cara yang salah.

Jadi, saya nak beri pencerahan serba sedikit tentang flashcard kerana penggunaan flashcard untuk bayi ada cara tersendiri.

1. WARNA

Flashcard yang jenis hanya berwarna hitam, putih dan merah memang paling sesuai digunakan untuk bayi baru lahir kerana waktu ini penglihatan bayi masih kabur dan warna yang kontras tinggi membantu bayi untuk melihat dengan lebih jelas. Flashcard gambar-gambar kompleks seperti haiwan, buah atau pokok bunga yang berwarna pula kurang sesuai untuk bayi bawah 3 bulan.

2. PENGLIHATAN

Untuk bayi menerima input daripada apa yang dilihat, mengambil masa. Tiada gunanya kalau tunjuk 1 flashcard kurang dari 5 saat kerana semasa ini bayi boleh melihat tetapi belum dapat memproses maklumat dalam masa begitu singkat. Itu baru satu flashcard. Jika menunjukkan banyak flashcard secara bertukar-tukar dengan laju, bayi memang tidak dapat proses maklumat tersebut langsung.

3. BUNYI

Bayi baru lahir nak terima dan memproses bunyi pun ambil masa yang lama. Kalau mak ayah cakap cepat-cepat, memang bayi tidak akan dapat apa-apa kerana deria bunyi mereka pun masih belajar untuk fokus dengan bunyi. Bayangkan kita belajar bahasa Jepun tetapi guru mengajar sambil bercakap laju menggunakan bahasa jepun, memang confirm masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

4. ABC, 123, ALIF BA TA ATAU MEMBACA

Tiada gunanya mengajar anak semua di atas ketika masih bayi sebab waktu ini anak lihat A bukan sebagai satu huruf tetapi sebagai simbol sahaja menyebabkan risiko anak tersalah konsep bila betul-betul nak belajar A sebagai huruf A.

5. JENIS FLASHCARD

Ada mak ayah guna flashcard DIY tetapi jenis tidak sesuai dengan anak. Jenis flashcard yang membantu anak adalah yang jenis gambar real dan bukannya kartun sebab waktu ini anak masih susah nak membezakan 2D dan 3D.

6. GUNA CARA PROF XYZ

Cara Prof XYZ adalah semasa tahun 19xx-an yang mana TV pun baru tercipta. Anak zaman dulu perlukan rangsangan visual kerana dulu tak ada dan susah jumpa TV atau gajet. Maka teknik flashcard nampak membantu dalam perkembangan anak tetapi anak zaman sekarang sudah terlebih-lebih rangsangan visual. Dulu, mungkin banyak manfaatnya. Tetapi sekarang kalau 3 jam dengan flashcard, 5 jam dengan TV, 2 jam dengan gajet sehari memang langsung tidak ada manfaatnya.

*Saya tak nak komen lagi tentang ‘right brain education’ dengan lebih lanjut. Nanti terlalu panjang dan mengelirukan pembaca. Kalau ada permintaan, baru saya terangkan terperinci.

7. ANAK XX BIJAK BILA GUNA FLASHCARD

Anak yang bijak ada banyak perkara yang membantu menjadikannya bijak seperti pemakanan, persekitaran, rangsangan deria, perhatian mak ayah kepada anak, masa berkualiti dan genetik. Ada orang akan cakap, “Selepas guna flashcard program XYZ, anak saya banyak improve!”. Ketahuilah, bayi kecil masih lagi dalam fasa ‘rapid growth’ (tumberasan pesat) dan memang akan menampakkan improvement cepat dalam pelbagai bidang (bias dalam kajian atau testimoni).

8. FLASHCARD, ANAK LEBIH BIJAK?

Pendapat saya, flashcard hanya banyak merangsang perkembangan visual dan auditori sedangkan ada banyak lagi komponen yang perlu diambil kira untuk perkembangan otak yang sihat. Tidak ada manfaatnya kalau 5 jam masa kita dengan anak hanya ‘bermain’ guna flashcard, tetapi 5 minit sahaja kita berkasih sayang dengan anak dan melakukan komunikasi bermakna dengan anak.

Bagi melahirkan anak bijak, paling penting ialah masa berkualiti mak ayah dengan anak dan bukan masa berkualiti anak dengan flashcard.

Saya risau sangat bila penggunaan flashcard dikomersialkan sebagai sesuatu yang kononnya sangat ‘merangsang perkembangan’ hingga mak ayah jadi bergantung kepada flashcard semasa mengajar anak.

Kalau nak belajar cara menggunakan flashcard juga, mohon sangat mak ayah belajar dengan orang sepatutnya dan bukan daripada golongan yang hanya mahu mengaut keuntungan dan tiada latar belakang dalam perkembangan anak atau pendidikan.

Saya katakan ini sebab saya risau dengan generasi akan datang. Lagi-lagi apabila kes masalah perkembangan semakin ramai. Saya sudah jumpa ramai sangat anak yang:

1. Kenal ABC, alif ba ta, 123 tetapi tidak kenal mak ayah.
2. Kenal gambar flashcard epal tetapi tidak kenal epal betul.
3. Tahu nyanyi nursery ryhme tetapi tidak pandai minta susu.
4. Pandai baca bacaan dalam solat tetapi tidak pandai panggil mak ayah.
5. Pandai menulis tetapi tidak pandai makan sendiri.

Anak yang normal pandai mengaplikasi gambar berpandukan benda sebenar, bukannya gambar ke dunia sebenar.

Mak ayah sekalian, saya mohon sangat jangan ulangi kesilapan sama. Kasihanilah bayi-bayi anda yang tidak tahu apa-apa. Tidak perlu terlalu berlumba mahu anak cepat pandai hingga melanggar fitrah anak.

Jika ada program parenting di luar sana yang mengajar teknik bukan-bukan, mohon dapatkan pencerahan berdasarkan kajian saintifik bukan ‘testimoni anak sendiri’ kerana setiap perkembangan anak berbeza.

Saya faham, kita semua mahukan yang terbaik untuk anak. Tetapi sebelum menghabiskan beribu ringgit pada program untuk menjadikan bayi anda bijak pandai, lebih baik mak ayah buat sedikit kaji selidik tentang program tersebut dan latar belakang pengasasnya.

Di luar sana ada banyak program parenting yang kononnya boleh menjadikan bayi bijak pandai sejak lahir, dengan pemasaran sangat menarik hingga melibatkan orang terkenal, tetapi menggunakan kaedah terpesong dan tidak diiktiraf. ‘Terapis Jadian’ pun sudah ramai di Malaysia, mohon hati-hati dengan golongan ini.

Kesimpulannya, jika mak ayah mahukan ‘genius baby’, kita pun perlu jadi ‘genius parents’ dalam memilih program atau aktiviti untuk anak.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda