PARAS hemoglobin (HB) rendah sering jadi kerisauan ibu hamil. Ramai mengeluh dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap jururawat dan doktor yang memantau perkembangan kehamilan mereka.

RISIKO ANEMIA

Adakah anda faham apakah sebenarnya yang dimaksudkan HB rendah? Kenapa anda disarankan supaya sentiasa menjaga paras HB? Sebagai makluman, satu daripada lima wanita hamil berisiko mengalami anemia.

  • Anemia kerap dialami golongan ibu hamil, berpunca akibat kekurangan HB dalam sel darah merah.
  • Ia boleh dikesan melalui kajian darah, iaitu apabila paras HB dalam sel darah merah kurang 11gm.
  • Ketika hamil, tubuh menghasilkan lebih banyak sel darah merah untuk menyokong perkembangan bayi.
  • Kekurangan HB menyebabkan tubuh kekurangan oksigen, dan mendedahkan anda dan bayi kepada beberapa risiko.

CARA MENAMBAH BAIK BACAAN HB

1. ZAT BESI

Ambil makanan tinggi zat besi seperti daging, hati ayam, limpa, kerang, ikan, sotong dan ikan bilis. Bagi sayuran pula, boleh ambil pegaga, pucuk paku, kangkung, bayam dan kailan.

Jadi, ibu disarankan mengambil sekurang-kurangnya satu jenis makanan daripada sumber haiwan dan sayuran setiap hari.

2. SUPLEMEN

Sekiranya anda ada masalah HB rendah ketika hamil, doktor akan memberikan ubat khas untuk mengatasi masalah itu. Di klinik kesihatan, selalunya doktor akan berikan pil hematinik. Pil itu terdiri daripada 4 jenis pil, iaitu pil zat besi, pil asid folik, pil vitamin c dan vitamin B kompleks.

Selain 4 jenis pil di atas, anda juga mungkin dibekalkan ubat lain seperti Zincofer atau Iberet. Pastikan anda mengambil pil tersebut setiap hari mengikut dos disarankan.

3. ELAK KAFEIN DAN MAKANAN PENYERAP ZAT BESI

Dalam usaha memastikan penyerapan zat besi berlaku lebih efisien, elakkan minum atau makan makanan berkafein seperti teh, kopi, air berkarbonat dan cokelat. Elak minum minuman itu, terutama dalam tempoh dua jam selepas pengambilan zat besi.

Selain makanan atau minuman yang ada kafein, susu juga mampu menjejaskan penyerapan zat besi. Jdi, anda perlu menjarakkan pengambilan susu sekurang-kurangnya dua jam selepas makan ubat.

4. MAKANAN BANTU SERAP ZAT BESI

Makanan yang membantu meningkatkan penyerapan zat besi terdiri daripada makanan yang kaya vitamin C. Anda digalakkan makan pil hematinik dengan air kosong atau jus buah-buahan untuk proses penyerapan optimum.

Selain itu, anda juga digalakkan mengambil banyak buah dan sayuran yang kaya vitamin C dalam menu harian. Antara makanan baik diambil ialah jambu batu, limau, betik, tomato dan sebagainya.

5. PEMERIKSAAN ANTENATAL

Pastikan anda sentiasa mematuhi rutin pemeriksaan antenatal supaya tahap kesihatan dan kandungan dapat dipantau dengan teliti.

Jika selepas diagnosis, anda mengalami anemia atau HB rendah ketika hamil, biasanya anda perlu lebih kerap membuat pemeriksaan.

SUMBER: Zuriat

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda