JIKA melihat serangga kecil yang secara zahirnya kelihatan seperti semut, tetapi mempunyai badan berbelang berwarna hitam kuning anda perlu berhati-hati kerana ia mempunyai bisa yang sangat berbahaya.

Serangga ini telah banyak menyebabkan keracunan bisa pada bayi, kanak-kanak tetapi juga berlaku kepada orang dewasa. Dan baru-baru ini, seorang bayi diserang semut ini hingga menyebabkan mulut bengkak dan bernanah.

Jadi, apa kata kita kenali apa itu semut Charlie, kesan dan cara merawat sekiranya terkena bisanya.

BACA>>> Anak Kerap Terhantuk, Bahaya atau Tidak?

APA ITU SEMUT CHARLIE

  • Semut ini juga dikenali sebagai Kumbang Rove, Semut Semai dan Semut Kayap. Ia bukanlah dikategorikan dalam kelompok semut tetapi serangga kuno.
  • Charlie mempunyai ukuran 1 hingga 35 mm dan berbentuk memanjang.
  • Berwarna kuning gelap dan hitam dan sekali pandang seakan-akan semut.
  • Racun daripada Semut Charlie ini bersamaan 12 kali ganda racun ular tedung.
  • Semut Charlie boleh dijumpai di kawasan sawah padi, padang dan hutan.
  • Di dalam badannya ada sejenis toksin terbisa di dunia yang dipanggil pederin. Jika racun itu terkena pada kulit akan menjadi merah kehitaman, sangat pedih, sakit dan gatal.
  • Semut Charlie ini suka pada cahaya lampu terang ketika waktu malam dan akan pergi ke kawasan yang terdapat cahaya terang lampu.

BILA SEMUT CHARLIE AKTIF MENYERANG

Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Dermatologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kartini Farah Rahim berkata, kumbang jenis ini semakin mudah didapati berikutan musim hujan antara Julai dan Oktober.

“Pada waktu pagi, kumbang ini merangkak di atas daratan, tetapi cenderung mencari lampu dan cahaya serta masuk ke dalam rumah pada waktu malam.

Menurutnya, fizikalnya yang kecil sering membuatkan ramai terlepas pandang, namun sentuhan kulit dengan kumbang ini boleh mendatangkan kesan radang dan penyakit paederus dermatitis (penyakit kulit yang melepuh dan melecur).

Bagaimanapun, kumbang Rove tidak menggigit manusia, namun sentuhannya boleh mengakibatkan kawasan kulit menjadi merah, berair dan melecur pada keesokan harinya serta terasa pedih dan gatal.

TINDAKAN JIKA TERKENA BISA SEMUT CHARLIE  

1. Sekiranya anda sedar bahawa telah diserang oleh serangga Charlie, jangan sentuh permukaan yang telah dilalui serangga tersebut.

2. Cuci kulit yang terkena semut Charlie dengan sabun dan air. Jangan letak minyak kapak, minyak angin, balsam, bedak di kawasan yang terkena serangga Charlie. Dikhuatiri kawasan tersebut akan menjadi parah dan merebak ke tempat lain.

3. Kulit yang terkena toksin pederin akan menjadi kemerahan, kulit menjadi radang. Kelihatan seperti ruam merah. Ruam ini keesokannya akan bertukar menjadi gelembung. Toksin semut Charlie menyebabkan penyakit kulit yang teruk pada mangsa, lama-kelamaan meninggalkan parut kekal.

4. Ubat yang digunakan untuk merawat kesan gigitan semut Charlie adalah menggunakan ubat sapu dan antibiotik. Biasanya hydrocortisone 1 % atau salap betametasone dan antibiotik neomycin sulfat diberi kepada pesakit 3 kali sehari atau salep Acyclovir 5%.

5. Kulit yang kemerahan dan radang akibat gigitan Charlie pasti sakit. Untuk mengurangkan rasa sakit, cuci kawasan tersebut menggunakan air sejuk. Segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

6. Semasa masih dalam keadaan sakit, bagi ruam dan penyakit kulit yang masih baru akibat serangga Charlie, guna ubat yang diberi oleh doktor sahaja.

7. Hanya setelah luka sembuh sepenuhnya, parut luka boleh dirawat dengan menggunakan sebarang produk yang boleh membantu proses menghilangkan kesan parut.

BACA>>> Hati-Hati 5 Bahaya dalam Rumah yang Ibu Bapa Sering Terlepas Pandang

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda