TUMPAH darah ialah keadaan yang boleh mendatangkan bahaya kepada wanita selepas bersalin sekiranya tidak mendapatkan rawatan sewajarnya kerana mampu mengundang maut.

Jangan ambil mudah apabila isteri anda mengalami tumpah darah, segeralah ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ikuti perkongsian Pegawai Perubatan Kesihatan wanita dan kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak tentang siapa yang berisiko mengalami tumpah darah selepas bersalin.


Tumpah Darah – Nyawa Ibu jadi Taruhan 

Kes 1: Ibu 42 tahun, bersalin secara normal anak ke-8, hamil cukup bulan. Ibu tidak mempunyai masalah semasa mengandung dan semasa proses kelahiran bayi, bagaimanapun uri mengambil masa agak lama untuk dikeluarkan. Ibu dibenarkan pulang ke rumah selepas 2 hari bersalin. Ibu mengalami darah nifas seperti biasa sehingga hari ke-6 selepas bersalin, ibu secara tiba-tiba mengalami tumpahan darah nifas yang berlebihan sehingga ibu pengsan dan tidak sedarkan diri. Ibu tersebut terus dikejarkan ke hospital.

Kes 2: Seorang gadis 18 tahun, hamil anak luar nikah dan merahsiakan kehamilannya. Ibu muda ini tidak mempunyai pemeriksaan antenatal yang rapi kerana bimbang kehamilanya diketahui umum. Ibu muda ini secara tiba-tiba mengalami sakit bersalin di rumah sewanya dan melahirkan bayi secara sendirian. Beliau kemudian memotong tali pusat bayi menggunakan gunting dan merentap sendiri uri, di mana sebahagian besar uri masih tertinggal di dalam rahim. Disebabkan kebimbangan yang amat, beliau memberitahu teman lelakinya yang kemudian datang membantunya. Pasangan muda ini masih takut ke hospital hingga 3 hari kemudian ibu muda ini mengalami tumpah darah nifas serius hingga tidak sedarkan diri.

Bagaimana pendarahan yang saya jangka selepas bersalin?

Adalah jadi kebiasaan untuk mengalami pendarahan selepas bersalin. Darah itu mungkin keluar daripada rahim ataupun koyakan perineum yang terjadi ketika proses kelahiran itu sendiri.

Pendarahan selalunya akan jadi banyak sejurus saja selepas bersalin dan akan berkurangan secara berperingkat dalam beberapa jam. Pendarahan akan berterusan dan akan berkurangan dalam beberapa hari lagi dan disertai perubahan warna darah tersebut daripada merah terang kepada warna coklat. Pendarahan ini dinamakan lochia dan seharusnya berhenti apabila bayi berusia 6 minggu.

Pendarahan berterusan, berlebihan daripada biasa ialah TIDAK normal dan dinamakan sebagai tumpah darah selepas bersalin (postpartum haemorrhage).

Apakah yang dimaksudkan dengan tumpah darah selepas bersalin?

Pendarahan yang berlebihan dan luar daripada biasa selepas bersalin. Terdapat 2 jenis tumpah darah selepas bersalin yang dinyatakan seperti berikut:

1. TUMPAH DARAH PRIMER (PRIMARY POSTPARTUM HAEMORRHAGE)

Kehilangan darah selepas bersalin lebih 500ml dalam lingkungan 24 jam selepas bersalin, kadar kebiasaan berlaku pada 5 daripada 100 wanita bersalin. Pendarahan teruk, melebihi 2 liter ialah jarang berlaku, dalam kekerapan 6 daripada 1,000 wanita bersalin.

2. TUMPAH DARAH SEKUNDER (SECONDARY POSTPARTUM HAEMORRHAGE)

Kehilangan darah selepas bersalin dalam lingkungan 24 jam hingga 12 minggu selepas bersalin. Berlaku pada kekerapan kurang 2 daripada 100 wanita bersalin.

Kenapa tumpah darah selepas bersalin sangat bahaya?

Jika anda kehilangan banyak darah selepas bersalin, akan mengakibatan keletihan luar biasa kepada anda, ditambah pula keletihan sedia ada selepas bersalin.

Apabila pendarahan dibiarkan berterusan tanpa perhatian dan rawatan doktor, akan menyebabkan anda hilang lebih banyak darah hingga boleh meragut nyawa. Maka, ia perlu dikesan dan dirawat segera sebelum keadaan jadi lebih teruk.

Tumpah darah primer – Siapakah berisiko?

  • Pernah mengalami tumpah darah kehamilan terdahulu
  • Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 35kg/m2
  • Pernah melahirkan 4 anak atau lebih
  • Kehamilan kembar atau triplet
  • Uri bawah (placenta praevia)
  • Uri lekang (placenta abruptio)
  • Tekanan darah tinggi
  • Kekurangan sel darah merah (anemia)

Semasa bersalin

  • Kelahiran secara pembedahan caesarean
  • Proses kelahiran yang dipaksa (induction of labour)
  • Cebisan uri tertinggal dalam rahim
  • Kelahiran yang dibantu menggunakan forsep atau vakum
  • Bayi besar, berat lebih 4 kg
  • Melahirkan anak pertama apabila umur lebih 40 tahun

Kebiasaannya, tiada apa yang boleh dilakukan kepada senarai risiko di atas. Bagaimanapun langkah berjaga-jaga akan diambil untuk mengurangkan risiko mengalami tumpah darah selepas bersalin ini, sekali gus mengurangkan keperluan transfusi/penggantian darah.

Misalnya, jika anda mempunyai masalah kurang sel darah merah (anemia) ketika hamil, pengambilan zat besi tambahan akan mengurangkan keperluan transfusi darah jika berlaku masalah tumpah darah selepas bersalin.

Jika anda sudah menjalani pembedahan caesarean pada kehamilan terdahulu, penting untuk memeriksa uri pada kehamilan sekarang tidak melekat pada parut pembedahan caeserean lalu. Jika masalah ini timbul, uri tidak akan tertanggal dengan mudah selepas bayi dilahirkan dan menyebabkan tumpah darah yang sangat serius. Jika keadaan ini sudah dapat dipastikan, cadangan rawatan akan dirancang sebaik-baiknya melibatkan pelbagai pakar perubatan untuk menyelamatkan nyawa.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda