SEPANJANG proses membesar, anak kita berpotensi dijangkiti pelbagai jenis penyakit berjangkit. Ini kerana kanak-kanak memang antara golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan virus dan kuman berikutan kelemahan sistem imun badan.

Salah satu langkah pencegahan yang boleh diambil ibu bapa untuk mengelakkan anak terkena penyakit seperti disebut di bawah, ialah mengambil suntikan vaksin tambahan. Sekarang, apa yang perlu ibu bapa lakukan ialah mengetahui dan mengenal pasti jenis penyakit yang kerap menyerang kanak-kanak.

1. SELESEMA DAN BATUK

Kebanyakan demam batuk dan selesema adalah disebabkan oleh virus, yang boleh baik secara sendiri tanpa bantuan ubat-ubatan. Badan akan mengambil masa beberapa hari untuk membina ketahanan diri dan melawan virus bagi sembuh.

Bagi kanak-kanak, tidak digalakkan untuk meminum ubat selesema dan batuk kepada bayi bawah 1 tahun. Bayi atau kanak-kanak yang dihantar ke taska atau tadika mempunyai potensi dijangkiti selesema dengan kerap.

Ibu bapa dinasihati untuk berjumpa doktor sekiranya anak ada masalah seperti kahak pekat, nafas laju, selesema lebih 5 hari dan mempunyai masalah telinga.

2. ASMA

Asma di kalangan kanak-kanak ialah penyakit yang biasa dan melibatkan semua peringkat umur. Ada 10-14 peratus kanak-kanak sekolah mengidap asma. Bagaimanapun, banyak kajian menunjukkan bahawa penyakit ini semakin menular dan lebih serius di kalangan kanak-kanak.

Antara faktor pencetus asma adalah jangkitan virus pada sistem pernafasan, asap rokok, perubahan cuaca, alahan dan ubat-ubatan seperti aspirin.

Asma hanya boleh dikawal tetapi tidak boleh disembuhkan. Sebahagian kanak-kanak pulih semasa usia meningkat remaja, manakala sebahagian lain mengidap gejala lebih teruk.

3. CACAR AIR

Cacar air ialah penyakit yang senang dijangkiti disebabkan satu kumpulan virus dikenali sebagai Herpes. Virus itu menyebabkan ruam yang bersifat tersendiri dan simptom sama seperti demam ringan.

Cacar air adalah virus, jadi tidak memberi respon kepada antibiotik. Ia akan sembuh dengan sendiri, tetapi kita boleh melegakan simptom bayi dengan beberapa rawatan di rumah.

Boleh beri bayi ubat demam bagi menurunkan  suhu badan dan melegakan sakit dan lenguh-lenguh.

4. DEMAM CAMPAK

Demam campak (rubeola) ialah jangkitan akut pada kanak-kanak disebabkan virus measles. Tiada rawatan khusus bagi demam campak. Ia adalah self limiting iaitu sistem imun badan sendiri akan melawan virus tetapi akan mengambil sedikit masa.

Antara rawatan sokongan yang diberikan adalah makan ubat demam, minum air dengan banyak, rehat secukupnya, sapu krim dan asingkan daripada anak-anak yang lain sehingga sembuh.

Walaupun tidak berbahaya tetapi ibu bapa perlu memantau anak dengan teliti bagi mengelakkan kompikasi seperti jangkitan telinga, jangkitan pada paru-paru, jangkitan otak dan cirit-birit.

5. PNEUMONIA

Hampir 81 peratus kematian akibat penyakit pneumonia terjadi ke atas kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke bawah.

Radang paru-paru ini boleh disebabkan bakteria, fungus, virus atau parasit. Kadangkala juga disebabkan oleh jangkitan awal pada sistem pernafasan di bahagian atas (batuk dan selesema) yang merebak ke bahagian bawah sistem pernafasan.

Antara sebab utama mengapa kanak-kanak diserang pneumonia adalah kerana kekurangan zat, penyusuan susu ibu yang kurang optimal, dan kekurangan zink.

Jangkitan kuman ini boleh melibatkan keadaan yang tidak serius hinggalah kepada keadaan yang membahayakan nyawa. Namun, penyelidik menganggarkan ia boleh dicegah dengan vaksin.

6. ROTAVIRUS

Kanak-kanak paling berisiko untuk mendapat penyakit rotavirus. Paling mudah berlaku adalah kepada mereka yang berada di pusat jagaan. Kanak-kanak berusia 3-35 bulan yang tidak divaksin berpotensi mendapat penyakit ini.

Virus ini berjangkit melalui perantaraan najis ke mulut dan dibawa oleh manusia. Oleh kerana virus ini adalah stabil di dalam persekitaran kita, jangkitan juga boleh berlaku melalui permukaan air yang tercemar atau memakan makanan yang telah tercemar atau menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.

7. INFLUENZA

Flu adalah jangkitan hidung, tekak dan paru-paru disebabkan oleh virus influenza. Virus influenza mudah berjangkit. Kanak-kanak ialah antara golongan boleh mendapat jangkitan teruk dan berisiko membawa maut.

  • Jenis A – Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, epidemik sangat teruk dan amat berbahaya.
  • Jenis A (H1N1) – Boleh menjangkiti manusia dan haiwan. Kadangkala pandemik dan amat berbahaya
  • Jenis B – Boleh menjangkiti manusia. Sering berlaku, kurang teruk, ada kalanya berbahaya, tidak pandemik.
  • Jenis C – Boleh menjangkiti manusia. Ringan, jarang berlaku, bukan epidemik.

Pesakit ini boleh mendapat kompilkasi pneumonia dan membawa maut. Kanak-kanak digalakkan mendapatkan vaksin influenza.

8. KAKI TANGAN DAN MULUT (HFMD)

Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) alah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Coxsackie. HFMD mendapat namanya daripada kudis kecil yang terjadi pada tangan dan kaki, dan dalam mulut, di kalangan kanak-kanak bawah 10 tahun!

Tanda-tanda virus ini adalah kudis dalam mulut, tangan dan kaki, sakit tekak, demam ringan dan keletihan. HMFD akan sembuh sendiri dalam tempoh 7 hingga 14 hari.

9. DIFTERIA

Difteria ialah penyakit melibatkan pernafasan atau kerongkong. Ia boleh berjangkit, tetapi mampu dielak jika anak anda telah diberi vaksin.

Penyakit ini menyebabkan masalah pernafasan, kecederaan pada jantung atau sistem saraf dan boleh membawa maut. Dalam kes tertentu, difteria boleh menyebabkan nodus limfa kanak-kanak membengkak lalu menyukarkan pernafasan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda