MALANG tidak berbau, tetapi penting bagi ibu bapa sentiasa berwaspada terhadap apa jua benda berisiko yang mendatangkan bahaya kepada anak, terutama dalam rumah sendiri.

Mungkin masih ada ibu bapa yang belum tahu tentang bahaya yang boleh memudaratkan kanak-kanak. Berikut perkongsian Dr Taufiq Raziq dalam status laman Facebook miliknya tentang 5 bahaya dalam rumah yang mungkin ibu bapa terlepas pandang.

* Status di bawah disunting mengikut skema penulisan kami tanpa menjejaskan maksud sebenar kandungan asal. Status asal boleh dibaca pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


5 Bahaya dalam Rumah yang Mak Ayah Selalu Terlepas Pandang

Saya pun kadang-kadang terlepas pandang juga tetapi setidaknya apabila ada ilmu tentang benda ini kuranglah sikit risiko itu kepada anak kita, lebih-lebih lagi kalau ada anak kecil yang tidak matang lagi fikirannya.

Ini 5 benda dalam rumah kita yang nampak biasa tetapi jadi berbahaya apabila ada anak kecil.

1. OBJEK KECIL

Anak berumur 6-18 bulan biasanya guna 30 minit sehari untuk meneroka dunianya dengan menggigit dan memasukkan objek kecil ke dalam mulut.

Kita tidak boleh salahkan anak kerana itu salah satu fitrah perkembangan anak kita! Tetapi kita boleh pantau dengan menyediakan anak kita ‘theeter’ untuk anak kita gigit dan juga pastikan barang kecil seperti kunci, bateri dan guli disimpan sekurang-kurangnya 1.75 meter dari aras lantai.

2. MAKANAN KECIL

American Academy of Pediatrics ada senaraikan makanan yang ada risiko tercekik untuk anak di bawah 4 tahun.

Antaranya:

  • kacang dan bijian
  • ketulan keju
  • anggur yang belum dipotong
  • bertih jagung
  • hotdog
  • sayur mentah
  • kismis
  • gula-gula getah

Jadi, kena berhati-hati kalau hendak bagi benda ini kepada anak di bawah umur 4 tahun ye!

3. MANGKUK TANDAS

Sebelum ini kita banyak dengar tentang bahaya tab mandu sajakan? Rupa-rupanya lemas dalam mangkuk tandas pun ada!

Dianggarkan setiap tahun seramai 115 kanak-kanak meninggal akibat lemas dalam mangkuk tandas mengikut sumber MedicineNet.

4. PLASTIK SAMPAH

Pernah saja ada kes anak lemas apabila bermain dengan plastik sampah. Anak-anak ini hendak buka baju pun macam hendak lemas apabila tersangkut di bahagian kepala, apatah lagi apabila bermain plastik sampah yang boleh menghalang oksigen sampai ke otak apabila ditekup rapat ke hidung ataupun terikat tanpa sengaja.

5. UBAT DAN VITAMIN

Walaupun sekadar parasetamol ataupun vitamin C sekalipun, jangan kita main letak saja. Anak yang tengah dalam fasa berkembang memang tinggi elemen ingin tahu atau ‘curiosity’.

Dia akan meneroka dan bereksperimen (explore & experiment) tanpa fikir keselamatan diri. Itu yang kadangkala walaupun kita sudah simpan ubat dan vitamin di atas rak sekalipun, dia pandai saja panjat ataupun guna kerusi untuk mencapai ubat tersebut.

Sebab itulah, kenapa perlu simpan ubat di tempat berkunci. Sebaiknya, simpan ubat itu 1.7 meter dari aras lantai. Itu yang terbaik.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda