HARI INI tidak susah mendapatkan produk kesihatan atau jamu yang mendakwa mampu mengubati penyakit dengan pelbagai bukti testimoni bagi menyakinkan pengguna.

Teknik pemasaran seperti itu sudah berlambak di laman sosial. Kalau sendiri tidak cukup pengetahuan dan maklumat, sudah pasti akan terpedaya. Kita tidak tahu sama ada produk itu selamat dimakan atau tidak. Hati-hati, bahaya dan kesannya kelak kita juga yang tanggung!

Berikut perkongsian Pakar Perunding Ginekologi Onkologi, Dr Rushdan Noor tentang kisah pesakit yang menghidap pra kanser rahim selepas mengambil jamu yang tidak selamat tanpa nasihat doktor.

Semoga perkongsian ini akan membuka mata lebih ramai orang untuk lebih berhati-hati mengambil produk yang banyak dijual di pasaran.


TESTIMONI ‘KEMUJARABAN’ JAMU

Saya ingin berkongsi cerita benar mengenai seorang pesakit kanser yang mengamalkan jamu. Puan R (bukan nama sebenar) berusia 34 tahun berkahwin selama 5 tahun tetapi tidak mempunyai cahayamata.

Pada 2016 beliau telah didapati menghidap kanser ovari peringkat awal. Disebabkan beliau berhajat untuk mempunyai cahayamata dan kanser masih di peringkat awal, beliau menjalani pembedahan yang dikenali sebagai “fertility-preserved surgery“. Hanya kelenjar ovari yang terlibat sahaja dikeluarkan.

Selepas rawatan pembedahan, beliau dirawat dengan rawatan kemoterapi selama 4 kali. Selepas rawatan, beliau pulih sepenuhnya dan menjalani rawatan susulan selama hampir 2 tahun.

Ketika lawatan susulan terakhir, Puan R mengadu mengalami pendarahan haid yang tidak normal. Ujian ultrasound dilakukan dan mendapati selaput dinding rahim Puan R sangat tebal.

Pakar kanser hairan dengan penemuan ini sebab Puan R tidak diberikan sebarang rawatan hormon dan kebetulan fungsi ovari yang satu lagi masih lagi belum pulih sepenuhnya. Setelah bertanya, akhirnya Puan R mengaku mengamalkan jamu selama 1 tahun. Jamu yang ramai orang tahu jika disebutkan namanya.

Sampel selaput dinding rahim diambil dan hasil pemeriksaan makmal patologi mengesahkan Puan R menghidap pra-kanser rahim yang dikenali sebagai Atypical Endometrial Hyperplasia.

Daripada penilaian kes ini, berkemungkinan besar jamu yang diamalkan oleh Puan R mengandungi hormon estrogen ataupun sebatian kimia yang bersifat seperti hormon yang merangsang dinding rahim secara berterusan sehingga menyebabkan prakanser rahim. Di samping itu, kemungkinan Puan R sudah menghidap kanser rahim juga tidak dapat ditolak sepenuhnya dan ujian lanjut perlu dilakukan.

Jika ditakdirkan beliau menghidap kanser rahim, maka bukan sahaja beliau menghidap 2 jenis kanser tetapi juga berhadapan dengan kemungkinan menjalani pembedahan mengeluarkan rahim dan ovari yang satu lagi. Maka jika ini terjadi, terpadamlah cita-cita Puan R untuk mempunyai anak daripada darah dagingnya sendiri.

Kes ini menambah keyakinan kami bahawa terdapat jamu yang mengandungi sebatian kimia dan mungkin hormon yang bersifat peransang organ peranakkan.

Dengan perkongsian ini juga diharap masyarakat di luar sana sedar bahawa produk yang diwar-warkan sebagai semulajadi dan amalan turun menurun tidak semestinya selamat diamalkan.

Terlalu banyak jamu-jamu dan herba-herba yang ada di pasaran merupakan produk-produk luar yang dijenamakan semula di negara kita. Disebabkan ia dihasilkan oleh pihak lain, kita tidak mungkin akan mengetahui apakah sebenarnya kandungan produk-produk tersebut.

Tidak hairanlah mengapa pihak penguasa ubatan seringkali menemui bahan-bahan terlarang seperti steroid, antihistamin, antikeradangan dan lain-lain lagi di dalam produk-produk ini. Jangan mudah terpedaya dengan perkataan “JAMU”, “SEMULAJADI” dan “HERBA”.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda