TABIAT menggoncangkan bayi supaya tidak menangis sebenarnya ialah perbuatan yang tidak patut dilakukan kerana boleh mengundang maut, dikenali sebagai Sindrom Goncang Bayi (Shaken Baby Sindrom) atau (SBS).

SBS ialah antara penderaan fizikal yang dilakukan terhadap bayi dan kanak-kanak berusia bawah 3 tahun, iaitu menggoncangkan badan mangsa dengan kuat hingga menyebabkan kecederaan otak.

Ramai ibu bapa tidak sedar tentang perbuatan ini dan seringkali mengaitkan apa yang berlaku dengan serangan sawan disebabkan demam tinggi.

TAHUKAH ANDA?

Ada kira-kira 20-30 bayi SBS sudah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur, dan tidak termasuk kes kematian di rumah atau sebelum dirujuk di hospital lain.

Ada kemungkinan, bayi atau kanak-kanak yang mengalami SBS ringan sudah dirawat sebagai infantile colic kerana gelaja seperti resah gelisah dan muntah.


PUNCA-PUNCA SBS

1. GONCANGAN KUAT

Goncangan kuat berulang kali ialah penyebab kepada SBS. Bayi dan kanak-kanak mempunyai kawalan leher yang lemah dan sebarang tekanan kuat ke atas bahagian itu boleh menyebabkan kecederaan.

Goncangan kuat pada bahagian lembut tengkorak dan otak boleh menyebabkan tekanan kepada saluran darah dan boleh pecah hingga berlaku pendarahan subdural.

2. KESAN KECEDERAAN

Berlaku apabila bayi atau kanak-kanak dicampak kuat ke dinding, lantai atau objek lain, ataupun objek terkena kepala atau muka.

3. BUAI DAN JATUH

Ada beberapa insiden, ibu bapa atau penjaga menggoncangkan buaian terlampau kuat hingga menyebabkan bayi tercampak keluar dari buaian.


TANDA-TANDA SBS

  • Kurang menyusu, muntah, demam rendah dan kemudian diikuti sawan.
  • Keadaan gelisah mendadak, muntah, sawan, kurang tindak balas, tidak sedarkan diri (koma) dan pernafasan tidak sekata.

Kebanyakan bayi dan kanak-kanak yang mengalami SBS kelihatan sihat, tiada keretakan di tengkorak dan tiada lebam di badan, tetapi menunjukkan gejala seperti:

  • Kelihatan pucat
  • 75-90 peratus bayi mengalami perdarahan dalam lapisan mata (retinal haemorrhage).
  • Mengalami vitreous haemorrhage, iaitu pendarahan pada kedua-dua mata.
  • Keretakan tulang dada akibat tekanan dada.
  • Keretakan tengkorak akibat kecederaan.

KESAN KE ATAS BAYI

Perbuatan menggoncang bayi atau kanak-kanak dengan kuat menyebabkan kekurangan bekalan darah ke otak hingga menyebabkan berlaku sawan berpanjangan yang berkemungkinan besar boleh menyebabkan kematian, sukar belajar atau fungsi motor berkurangan.

Ada kes lebih teruk, kanak-kanak dimasukkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri.

PENCEGAHAN

Sekiranya anak menangis tanpa henti hingga menyebabkan kita stres atau tertekan, letak anak di tempat selamat dan tinggalkan bayi sebentar untuk tenangkan fikiran. Kita juga boleh dapatkan bantuan ibu atau sesiapa saja untuk menjaga anak buat sementara waktu, selain membantu menguruskan kerja rumah dan jaga anak lain.

Ingat, menangis dalam tempoh lama tidak akan menyebabkan anak maut. Jadi, tidak mengapa jika dia ditinggalkan buat seketika.

RAWATAN

Bayi atau kanak-kanak yang mengalami SBS memerlukan rawatan perubatan berterusan untuk memastikan kemajuan perkembangan dan tumbesarannya. Hanya peratusan kecil kalangan bayi dapat disembuhkan kerana otak mereka hanya mengalami sedikit pembengkakan dan kecederaan semasa kejadian.

SUMBER: MyHealth.gov.my

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda