KEBELAKANGAN ini sering kita dengar kes-kes batuk kokol dalam kalangan bayi dan kanak-kanak yang kronik. Sungguh menyedihkan!

Menjadi tanda tanya, kenapa batuk kokol terjadi? Apakah penyebabnya? Bagaimana kes-kes yang dulu jarang didengar kini kembali muncul?

Bagi ibu bapa yang masih tidak tahu apa itu batuk kokol? Berikut adalah maklumat yang semua ibu bapa perlu tahu dipetik daripada perkongsian Dr Suhazeli Abdullah di laman Facebooknya.

BACA>>> Akibat Batuk Kokol Bayi 1 Bulan Alami Kesukaran Bernafas Hingga Nafas Terhenti…

PENYAKIT BATUK 100 HARI MUNCUL KEMBALI

Batuk kokol adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria pertussis (Bordetella pertusis). Bakteria ini akan menjangkiti kerongkong dan saluran pernafasan. Akibatnya adalah batuk yang teruk, kerap muntah dan keadaan ini mungkin berlarutan sehingga 3 bulan. Masyarakat melayu satu ketika dahulu menamakan jangkitan bakteria pertussis ini sebagai Batuk Kokol Seratus Hari.

Sifat dan bunyi batuk kanak-kanak itu yang menyebabkan nama batuk kokol (whooping cough) dipilih. Anak-anak yang dijangkiti bakteria bahaya itu akan mengalami batuk yang teruk serta berpanjangan. Batuk yang meyeksakan itu boleh berlaku hingga beberapa minggu dan bulan.

Secara klasiknya batuk itu dikenali sebagai batuk seratus hari kerana kanak-kanak akan batuk sehingga mencecah seratus hari lamanya. Hasil dari jangkitan kuman tersebut yang menyerang rongga pernafasan dan paru-paru, si pengidap akan keletihan serta tercungap-cungap untuk menarik nafas. Amat menyeksakan jika kita melihat sendiri tanda-tanda yang kanak-kanak itu alami.

TIDAK DIRAWAT BOLEH MENYEBABKAN KEMATIAN

Akhirnya, jika tidak dirawat, kematian boleh menjemput. Kematian akibat daripada penyakit ini kerap berlaku di kalangan bayi berumur di bawah 6 bulan. Komplikasi pertussis yang teruk adalah sawan tarik, pendarahan dalam mata, kerosakan atau radang paru-paru dan kerosakan atau radang selaput otak (meningitis).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia melapurkan kes kematian akibat serangan bakteria batu kokol ini mencecah 200,000 hingga 300,000 setiap tahun. Adalah dianggarkan kes batuk kokol ini melibatkan 20 juta kes seluruh dunia.

Menyedihkan juga kerana 90% dari kes tersebut adalah berlaku di negara-negara yang sedang membangun. Sistem kesihatan negara-negara berkenaan masih lagi diperingkat minima dan liputan pemberian vaksin juga tidak memberangsangkan.

KENAPA KES BATUK KOKOL MENINGKAT?

Malaysia juga tidak terlepas dari kejadian batuk kokol ini. Data yang diperolehi dari statistik WHO mendapati kebanyakan negara-negara yang mempunyai liputan vaksin DPT yang rendah, kes Batuk Kokol meningkat.

Jika dilihat kes bermula 2013 hingga 2017, peningkatan kes berkali ganda (rujuk Graf). Peningkatan ini setimbal dengan gerakan penolakan vaksin disebahagian masyarakat. Penolakan vaksin juga sejak dari 2013 hingga sekarang, meningkat berkali ganda.

Alasan yang sudah pun diberi jawapan tuntas oleh para pakar dan ahli agama mereka ketepikan. Mungkin terdapat agenda tertentu yang mereka perjuangkan dan mereka lebih mementingkan diri sendiri dari kemerbahayaan yang boleh melemahkan ummat.

BACA>>> 7 Tip Rawat Selsema Dan Batuk Bayi Semua Ibu Bapa Wajib Tahu!

BAGAIMANA ELAK BATUK KOKOL DARI BERLELUASA?

Pertussis boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi. Ia diberi kepada kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Apabila seseorang kanak-kanak telah mendapat pelalian pertussis yang lengkap dijangkiti kuman ini, mereka hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi.

Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95% pada setiap masa. Liputan imunisasi yang tinggi ini dapat memberikan perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok (herd immunity).

Justeru, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka mendapat pelalian pertussis yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan. Perkhidmatan imunisasi bagi kanak-kanak ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta.

Remaja dan orang dewasa yang bergejala perlu sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin (menutup mulut) serta mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain.

Mereka yang bergejala juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi kerana bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis. Segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala pertussis.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda