PERNAH atau tidak anak kita terjaga tengah malam dan menangis walaupun mata tertutup rapat? Lebih tragis, dia menangis seakan dipukul kuat sambil menjerit, ‘sakit… sakittt…” Bingung juga dibuatnya. Kalau cuba dihentikan, semakin teruk pula jadi!

Lebih risau, kalau anak sering berkelakuan seperti itu setiap malam. Orang tua-tua kata, itu mengigau, tetapi dalam istilah saintifik, gejala itu dipanggil parasomnia.

Mari kita kenali apakah itu parasomnia dan bagaimanakah cara mengatasi masalah anak yang sering terkena gejala tersebut?

APAKAH PARASOMNIA?

Parasomia ialah gangguan tidur yang menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku dalam situasi separa tidur, sedang tidur atau selepas bangun tidur. Kejadian seumpama itu adalah berupa gerakan, perilaku, emosi, persepsi hingga mimpi buruk.

Ketika parasomia berlaku, kita sukar mengejutkan anak supaya bangun daripada tidur dan dia tidak dapat mengingat semula apa yang dimimpikan, termasuk sukar untuk tidur semula.

Namun, jangan bimbang jika anak kita mengalami parasomia kerana gejala itu tiada kaitan dengan penyakit jiwa. Parasomia boleh terjadi kepada sesiapa saja dan kumpulan yang paling kerap mengalami gejala tersebut ialah kanak-kanak. 

BENTUK GANGGUAN

1. TIDUR SAMBIL BERJALAN

Anak yang mengalami gangguan ini boleh tidur sambil berjalan dan mengalami kebingungan selepas sedar tidur. Walaupun tidak berbahaya, tetapi dikhuatiri tercedera akibat terjatuh, terhantuk atau terlanggar sesuatu ketika dia sedang tidur sambil berjalan.

2. CONFUSIONAL AROUSAL

Gejala kebingungan selepas bangun tidur dan mengalami proses berfikir lama untuk mengenali keadaan sekitar. Anak yang mengalami gejalan ini akan lambat berinteraksi terhadap soalan dan arahan diberikan.

3. MIMPI BURUK

Gangguan tidur ini akan menyebabkan anak terjaga tidur. Mimpi buruk ini biasanya akan berulang hingga menyebabkan anak rasa cemas dan sukar tidur (insomnia).

4. NIGHT TERRORS

Gangguan ini yang akan diiringi rasa takut yang membuatkan seseorang berkelakuan tidak normal seperti berteriak, memukul atau menendang. Kebiasaannya, apabila terbangun, mereka tidak dapat mengingati apa sudah berlaku.

5. MENGIGAU

Gejala yang berlaku dalam situasi tidur separa sedar. Walaupun tidak memberi kesan buruk, tetapi dapat menganggu tidur orang lain yang sedang tidur berhampiran. Mengigau boleh disebabkan stres atau demam.

6. SLEEP PARALYSIS

Gejala ini sering dikaitkan dengan situasi badan ‘ditindih’ iaitu sukar menggerakkan badan ketika mahu tidur atau bangun, dan boleh kerap berlaku kerap pada satu masa. Gelaja ini tidak berbahaya, tetapi boleh menyebabkan seseorang dalam ketakutan, dan turut dikaitkan dengan faktor keturunan.

7. BRUKSISME

Gelaja ini dikenali dengan geseran gigi pada rahang atas dan bawah secara berlebihan dalam keadaan tidak sedar. Kesannya boleh menyebabkan kelelahan dan rasa tidak selesa pada otot gigi dan rahang sehingga luka pada gusi.

8. GANGGUAN PERILAKU KETIKA TIDUR

Gelaja mengerakkan anggota badan seperti tangan dan kaki. Berbeza gelaja lain, anak kita yang mengalami situasi ini boleh mengingati apa yang dimimpinya. Keadaan ini juga ialah petanda kepada gangguan saraf yang mesti ditangani.


 PUNCA-PUNCA PARASOMNIA 

1. BADAN TERLAMPAU PENAT DENGAN AKTIVITI FIZIKAL

Ibu selalu berpesan, jangan main terlampau penat sangat dengan anak pada sebelah pagi, nanti tidur dia akan mengigau! Kurangkan bermain dengan anak, takut dia terlalu penat.

2. BANYAK FIKIR

Anak kita sedang dalam proses membesar, jadi mereka akan belajar banyak perkara. Jadi, otak si anak akan bertindak menyerap dan memproseskan maklumat diterima, sebelum digunakan dalam kehidupan seharian. 

3. LUAHAN PERASAAN TERPENDAM

Jangan terlalu memaksa anak tidur hingga menyebabkan dia takut atau sedih akibat dimarahi. Pujuklah cara lembut. Nanti apabila tidur, tidaklah dia terbawa-bawa perasaan kena marah itu hingga ke alam mimpi.

4. KEMAHUAN TIDAK DIPENUHI

Cuba penuhi kehendak anak. Jangan sampai perasaan tersebut terbawa-bawa hingga tidur. Anak yang mahukan sesuatu, tetapi tidak dipenuhi pasti akan memberontak. Cuba bertoleransi dan pujuk mereka.

5. KETURUNAN

Beberapa kes parasomnia menunjukkan gejala ini  boleh diwarisi daripada keturunan.


CARA-CARA ELAK GEJALA PARASOMNIA

1. BUATKAN ANAK RASA TENANG

Sebelum tidur, pastikan anak tenang dengan bercerita sebelum tidur, dan berikan pelukan hangat. Situasi ini boleh mengurangkan anak terlibat dengan aktiviti memenatikan hingga menyebabkan dia mengigau. 

2. JANGAN BIAR ANAK TERLALU PENAT

Bermain memang  penting untuk pertumbuhan anak, tetapi pantau anak sekiranya terlalu penat. Boleh alihkan anak dengan aktiviti lain yang merangsang anak seperti sensori dan motorik.

3. ELAKKAN ANAK RASA CEMAS

Perasaan cemas yang dialami anak boleh dibawa ke dalam mimpi. Mungkin ketika berdepan persekitaran baharu atau sekolah, menonton filem seram dan kerap dimarahi.

4. JUMPA PAKAR

Jika anak masih mengalami gejala parasomnia secara kerap hingga mengganggu perkembangan psikologi, kita disarankan membawa anak berjumpa doktor.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda