TEMPOH berpantang 44 hari sudah jadi kebiasaan dan tradisi bagi kaum ibu Melayu selepas bersalin. Mereka yang betul-betul ikut amalan berpantang secara tradisional percaya akan dapat mengembalikan semula bentuk badan dulu yang ramping, termasuk kesihatan yang baik.

Antara amalan paling dititikberatkan ketika berpantang, ibu mesti jaga pemakanan kerana dikhuatiri memudaratkan kesihatan jika terambil makanan yang tidak elok sepanjang tempoh berpantang.

Apa agaknya makanan yang pantang dimakan itu? Di bawah ini kami senaraikan 7 makanan larangan yang tidak boleh disentuh ibu-ibu yang sedang berpantang. Sebenarnya, dari sudut perubatan dan kesihatan pun ada sebabnya, dan tidak salah pun mengamalkannya. Kalau boleh, terus sampai selepas musim pantang. ūüėÄ

1. MAKANAN BERMINYAK DAN TINGGI KANDUNGAN LEMAK

Makanan berminyak bukan saja menyukarkan proses pencernaan, tetapi menambahkan kuantiti lemak dalam badan. Makanan berminyak dan berlemak juga bukan pilihan tepat sekiranya ibu mahu mendapatkan kembali bentuk badan langsing selepas hamil.

2. KAFEIN

Jumlah pengambilan kafein yang terlalu banyak dapat menjejaskan penghasilan susu badan. Pengambilan kafein berlebihan juga boleh menyebabkan tubuh terhidrasi, sekali gus mengganggu kualiti tidur bayi yang sedang menyusu.

Bagaimanapun, jika bayi tidak terkesan dengan kafein, anda boleh ambil dalam kuantiti sedikit, misalnya secawan untuk sehari.

3. BUAH SITRUS

Elak makan buah-buahan sejuk atau ‘berbisa’ seperti nanas, limau dan lai ketika berpantang. Ibu wajib ambil jumlah serat yang mencukupi untuk elak masalah sembelit.

Jika anak menyusu badan, sila beri perhatian jika mereka mengalami masalah penghadaman, kembung perut, muntah, atau tidak selesa selepas anda makan buah-buahan sitrus. Jika bayi mengidap gejala seperti disebut, berhentilah ambil buah-buahan sitrus.

4. KEKACANG

Alergenik yang terkandung dalam kacang boleh dipindahkan kepada bayi menerusi susu badan. Ada bayi yang alah kacang, jadi anda boleh ambillah dalam jumlah kecil dulu. Sekiranya bayi tidak menunjukkan gejala alahan seperti ruam, bintik merah, atau bengkak, bolehlah makan, tetapi biarlah secara berpada-pada.

5. IKAN KERING

Sesetengah jenis ikan seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang dan parang boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim. Bagi mendapatkan protein baik, ibu disarankan mengambil sumber protein segar. Menurut bidan tradisional, kerap makan ikan kering boleh menyebabkan darah nifas berbau, cepat kering dan melemahkan daya tahan fizikal dan mental.

6. MAKANAN SEGERA DAN MINUMAN RINGAN/KARBONAT

Kandungan gula tinggi dalam makanan segera dan minuman ringan tidak baik untuk ibu yang sedang berpantang. Sebaliknya, ibu perlu lebihkan makan sayur-sayuran.

7. JAMU DAN HERBA

Ada sesetengah jamu dan herba tidak sesuai diambil ketika berpantang. Ada jamu yang boleh menyebabkan bayi mengidap penyakit kuning kerana tidak serasi. Tiada masalah jika mahu amalkan menyapu tapel, param, atau pilis secara luaran untuk menjaga kesihatan badan sepanjang tempoh berpantang.

SUMBER: PantangPlus

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda