Daughter looking a phone and ignoring her mother

ADA ibu bapa tidak tahan melayan kerenah anak meragam dan menangis apabila kemahuan tidak dipenuhi. Akhirnyamereka buat keputusan layankan saja semua kehendak si anak.

Sebenarnya tindakan itu langsung tidak membantu mendidik anak. Sebaliknya meninggalkan kesan buruk terhadap dia. Jika dibiarkan, perangai anak akan jadi semakin melampau hingga sukar dikawal dan berlagak seakan raja.

Berikut perkongsian Dr Taufiq Raziq tentang beberapa tanda yang kita perlahan-lahan sedang membesarkan anak sendiri menjadi raja tanpa disedari.


5 TANDA ANAK SUDAH MULA JADI RAJA KEPADA IBU BAPA

Banyak sangat saya jumpa ibu bapa yang dikawal anaknya tanpa dia sendiri sedar. Ini tanda-tandanya apabila anak sudah mula naik kepala dan jadi raja pada ibu bapanya.

1. MAK AYAH JADI OVER PROTECTIVE

Anaknya tidak boleh disentuh dan tidak mahu anak susah langsung. Sikap melindungi ini bagus sebab itu memang fitrah ibu bapa yang diberikan Tuhan, tetapi kalau sudah melampau sangat, itu namanya helicopter parenting.

Anak yang datang daripada helicopter parents biasanya manja melampau, tidak pandai berdikari dan mudah mengalami masalah cemas (anxiety) apabila dewasa kelak.

2. IBU BAPA TIDAK PERNAH CAKAP ‘TAK BOLEH’ KEPADA ANAK

Semua benda ibu bapa terpaksa tunaikan sebab anak meragam tidak henti-henti apabila permintaan tidak ditunaikan. Padahal sikap meragam itu muncul kerana anak sudah tahu apabila dia meragam, si ibu dan bapa akan kalah dan menunaikan permintaannya.

3. IBU BAPA BERI SAJA SEMUA MAKANAN YANG ANAK MINTA

Ibu bapa sudah tidak boleh membezakan antara makanan sebenar (real food) dan makanan ringan atau jajan (junk food). Segala makanan tidak sihat mula memenuhi peti ais rumah masing-masing kerana ibu bapa tidak mampu menolak kemahuan anak-anak. Padahal jajan memang penuh dengan kalori, tetapi kosong nutrisi.

4. IBU BAPA TIDAK BOLEH DENGAR ANAK MENANGIS

Ibu bapa jadi gelabah dan gelisah kalau anak menangis. Akhirnya ibu bapa pun tunaikan segala kemahuan anak. Padahal tangisan anak itu ialah tangisan manipulatif.

Tangisan manipulatif bukan tangisan yang real. Tangisan manipulatif ialah tangisan yang dibuat-buat kerana anak tahu tangisan itu berjaya membuatkan ibu bapanya tunduk dan patuh kepada segala kemahuannya!

5. TELEFON PINTAR MAK AYAH SELALU BERADA DI TANGAN ANAK

Kalau sekali-sekala tidak mengapa. Apa yang bahaya, sampai 24 jam telefon pintar berada dalam tangan si anak. Akhirnya anak jadi ketagih dan mula tidak dapat mengawal emosi (lack of self control) apabila berjauhan dengan telefon pintar ibu bapa.

Pssst… Benda ini tidak ramai ibu bapa tahu. Tolong sebarkan kepada ibu bapa yang belum tahu ye.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda