SUDAH lama menantikan zuriat dan tiba-tiba janin yang dikandung dikesan berada luar rahim. Ada pasangan yang mengharapkan keajaiban dengan melakukan rawatan alternatif seperti berurut dengan bidan kampung.

Awas, pasangan suami isteri jangan terpedaya dengan dakwaan itu. Kehamilan luar rahim boleh membawa maut dan tiada rawatan yang mampu memasukkan janin luar rahim ke dalam rahim semula.

Masih tidak percaya, baca peringatan ini tentang amalan berurut yang kononnya mampu memasukkan janinke dalam rahim daripada Pakar Sakit Puan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, dipetik dalam laman Facebook.


KEHAMILAN LUAR RAHIM MEMBUNUH

Wanita yang sedang hamil, tetapi apabila doktor mengesahkan dia hamil luar rahim (ectopic pregnancy), kehamilan jenis ini tidak akan berjaya sampai ke hujung dan melahirkan bayi. wanita perlu terima hakikat ini, bukan berharap sesuatu keajaiban yang mana kehamilannya akan berjaya seperti orang lain.

Kehamilan luar rahim boleh pecah pada bila-bila masa, sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak dalam ruang perut (abdomen). Jika tidak dirawat dan dikenal pasti awal, kesannya boleh membawa maut.

Doktor akan berbincang dengan pesakit tentang pilihan yang ada untuk menyelamatkan nyawa si ibu. Perbincangan ini merangkumi:

  • Umur kandungan
  • Keadaan kesihatan pesakit secara am
  • Paras ujian darah BetaHcg
  • Pilihan rawatan yang boleh diberikan dan terdapat di hospital pesakit menerima rawatan

Lazimnya dalam kebanyakan kes, rawatan secara pembedahan akan diberikan kepada pesakit.

Pembedahan ada 2 jenis – sama ada dilakukan secara laparoskopi (dilakukan melalui bukaan lubang kecil pada perut dengan bantuan kamera ) atau laparotomi (potongan besar pada perut jika pendarahan didapati dalam ruang abdomen. Pesakit perlu tinggal di hospital dalam 2-4 hari, tempoh pemulihan lebih lama).

Perlu diingatkan pembedahan (tidak kira jenis) ialah untuk membuang kehamilan luar rahim. Kesesuaian jenis pembedahan sama ada laparoskopi atau laparotomi akan dibincangkan bersama pesakit dan keputusan dibuat berdasarkan penilaian terbaik doktor yang merawat ketika itu.

Dengan berjumpa bidan, tidak kira bidan NangNak, bidan Melaka, bidan Kelantan atau bidan Siam yang terkenal sekalipun, itu tidak dapat merawat kehamilan luar rahim. Silap haribulan urutan tanpa asas yang diberikan boleh menyebabkan kehamilan luar rahim pecah dan meragut nyawa ibu serta-merta sebelum sempat dikejarkan ke hospital.

Jangan main-main

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda