LAMAN sosial ialah medan perkongsian petua alaf baru. Ada saja petua dan tip yang dikongsikan, dan mudah pula tular tanpa kita sendiri mengetahui kebenaran fakta dan bahaya yang mungkin berlaku.

Salah satu petua yang sedang tular ialah menggunakan tepung gandum sebagai bahan untuk mengubat luka anak yang terkena air panas. Menurut petua itu, tepung gandum bagus untuk merawat luka terbakar atau terkena air panas dengan mengelakkan kulit melepuh selain mengurangkan kesakitan.

Berikut perkongsian Doktor Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah yang tampil menjelaskan tentang salah faham petua tersebut supaya tidak ramai tersilap mencuba.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


SAPU GANDUM APABILA TERKENA AIR PANAS?

Disebarkan melalui media sosial bahawa tepung gandum boleh digunakan untuk merawat luka terbakar atau terkena air panas bagi elakkan kulit melepuh dan mengurangkan sakit.

Mesejnya seperti berikut (sudah disunting supaya mudah dibaca):

Maaf… hanya untuk berkongsi dengan semua kawan saya. Sila baca dengan betul: Simpan satu beg tepung di dapur dan biarkan semua tahu. * Tolong JANGAN DELETE TANPA MEMBACA HINGGA AKHIR.

*Pengalaman: Seorang wanita telah terbakar. Beberapa ketika dahulu sedang saya memasak jagung dan garpu saya tersekat dalam air mendidih untuk melihat jika jagung sudah bersedia. Saya terlepas dan tangan termasuk dalam air mendidih!

Seorang rakan, yang juga doktor haiwan Vietnam, terkejut kerana saya menjerit dan bertanya jika saya ada tepung gandum lama. Saya ditarik dan dimasukkan ke dalam beg dan dia membenamkan tangan saya dalam tepung itu.

Dia beritahu saya supaya benamkan tangan dalam tepung selama 10 minit. Katanya, di Vietnam, ada seorang lelaki disambar api dan dalam keadaan panik, mereka lemparkan beg tepung ke seluruh tubuh mangsa untuk memadamkan api. Akhirnya, bukan saja memadamkan api, tetapi dia sama sekali tidak melepuh!

Cerita panjang dipendekkan, saya letakkan tangan saya dalam beg tepung selama 10 minit, kemudian saya tarik keluar dan tangan saya langsung tiada tanda merah atau melepuh dan benar-benar TIDAK SAKIT. Sekarang, saya simpan satu beg tepung dalam peti sejuk dan setiap kali saya terbakar, saya buat seperti itu sendiri.

* Tepung yang sejuk lebih baik daripada tepung suhu bilik. Saya guna tepung gandum dan tidak pernah ada tanda merah/terbakar atau melepuh! Saya juga pernah terbakar lidah, saya letakkan tepung di atas selama kira-kira 10 minit dan sakit terus hilang serta tiada kesan terbakar.

Cubalah. Alami keajaiban! Simpan beg tepung dalam peti sejuk anda dan anda akan gembira! Tepung ada ejen penyerap haba dan juga antioksidan kuat. Oleh itu, ia membantu pesakit terbakar jika berlaku dalam tempoh 15 minit.

Apabila seseorang berkongsi sesuatu yang bernilai dengan anda dan anda dapat manfaat, anda ada tanggungjawab moral untuk berkongsi dengan orang lain. Satu tip untuk semua.

ULASAN SAYA

Tip disebutkan itu tidak betul. Sebaran mesej itu berlegar-legar dalam dunia siber dengan menggunakan kaedah testimoni itu adalah direka-reka dan tidak benar.

Ia bercanggahan dengan prinsip asas merawat luka terbakar atau terkena air panas. Kajian mendapati kaedah menggunakan mentega, kicap, ubat gigi, tepung gandum, sos, bawang dan seumpamanya tidak memberi kesan penyembuhan atau mengurangkan kesakitan.

Malah menyebabkan kesulitan bagi rawatan lanjut dan menjadikan jangkitan kuman semakin mudah.

Apabila luka terbakar atau terkena air panas nasihat berikut perlu diambil:

  1. Keluar ke tempat lebih selamat.
  2. Dapatkan bantuan kecemasan jika luka teruk.
  3. Sementara itu, kaedah asas bagi mengurangkan tahap teruk luka adalah dengan menyiram kawasan luka dengan aliran air sejuk atau air paip biasa. Sekurang-kurangnya 20 minit. Boleh juga guna kain bersih basah bagi menutupi kawasan luka. Ais tidak digalakkan kerana tidak membantu proses penyembuhan. Kemudian balut kawasan luka dengan pembalut bersih. Tunggu bantuan pihak mahir.
  4. Jangan sesekali menyapu bahan lain seperti dinyatakan di atas.
  5. Jangan pecahkan gelembung lepuh tersebut kerana kajian menunjukkan risiko jangkitan kuman makin cepat.
  6. Ambil ubat tahan sakit seperti parasetamol bagi mengurangkan kesakitan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda