SELEPAS bersalin, situasi rahim jatuh atau faraj longgar biasa berlaku dan ramai mengamalkan pengambilan ubat-ubatan dan urutan bagi mengembalikan keremajaan kedua-dua organ dalaman wanita itu.

Bagaimanapun, kita ada pilihan lain yang lebih berkesan dan mudah diamalkan, iaitu senaman kegel. Senaman ini, biasanya akan diajar jururawat selepas bersalin sama ada di hospital swasta atau Kerajaan.

Tetapi ramai kalangan kita malas melakukannya dan mengambil jalan singkat dengan mengamalkan suplemen. Baca ulasan pakar obsteterik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, Prof Dr Imelda Balchin tentang perkara tersebut:

INI PENERANGANNYA…

Semua wanita ada diafragma pelvik (pelvic diaphragm) iaitu otot pelvis. Saya suka panggil otot ini sebagai ‘trampolin manusia’. Tugas otot trampolin ialah menyokong:

* Trampolin – papan anjal yang digunakan untuk melompat

1) Pundi kencing (bladder) bersama saluran kencing (uretra) di bahagian hadapan.
2) Rahim (uterus) bersama faraj di bahagian tengah.
3) Dubur atau saluran najis (rektum) di bahagian belakang.

Otot pelvis kita berfungsi seperti trampolin dan tulang pubis ialah seperti rangka yang memegang trampolin di bahagian depan.

Otot pelvis yang lemah menjadi punca kelonggaran saluran kencing, kelonggaran faraj dan kelonggaran saluran najis dan ini menyebabkan pundi kencing, rahim dan saluran najis yang tidak disokong dan jatuh ke bawah.

Bayangkan trampolin itu lemah dan tidak tegang, jika orang yang berat naik, ia akan melayut ke bawah. Pada permulaannya, trampolin ini kuat dan tegang, tetapi jika kita jadi bertambah berat dan banyak kali melompat di atas, lama kelamaan akan jadi bertambah lemah.

Kelemahan trampolin ini boleh berlaku jika bersalin banyak kali, bersalin bayi besar, dan meneran lama ketika bersalin. Walaupun bersalin secara pembedahan caesar, otot trampolin kita boleh jadi lemah juga kerana menyokong kehamilan janin yang besar.

Apabila otot trampolin lemah, pundi kencing boleh jatuh ke bawah. Kebanyakan wanita susah mengawal air kencing dan akan terkencing apabila ada tekanan di atas pundi kencing dari atas, seperti ketika melompat atau terbatuk. Inilah dinamakan inkontinen stres (stress incontinence).

Urutan sengkak naik hanya membantu menaikkan rahim yang jatuh buat sementara waktu, tetapi tidak menguatkan trampolin yang lemah. Lepas berdiri, rahim itu akan jatuh balik, sebab diafragma pelvik atau trampolin itu masih tidak boleh menyokong rahim dan faraj masih lagi longgar. Tarik naik, lepas tu jatuh balik juga.

Maknanya, urutan sengkak naik itu diibaratkan menarik seluar yang longgar ke atas, padahal jika seluar itu masih longgar, ia akan jatuh ke bawah semula juga.

Untuk menegangkan atau mengetatkan trampolin atau diafragma pelvik kita, cara yang berkesan ialah senaman kegel atau senaman lantai pelvik (pelvic floor exercises). Inilah cara mengetatkan seluar yang longgar. Jika berat badan berlebihan kita juga perlu mengurangkan berat badan.


CARA BUAT SENAMAN KEGEL

  1. Cari otot trampolin kita. Kemutkan atau ketatkan otot yang boleh menghentikan air  kencing daripada keluar ketika buang air kecil. Apabila kita boleh lakukan, kita akan tahu sendiri bagaimana hendak kemutkan atau ketatkan otot ini ketika kita tidak buang air kecil.
  2. Kemutkan seperti ini dalam 3 saat, lepaskan 3 saat, dan ulang 10 kali. Buat macam ni 3 kali sehari (pagi, tengahari, malam).
  3. Bila sudah cekap, panjangkan kemutan kepada 5 saat. Apabila sudah lagi cekap, panjangkan lagi kemutan selama 10 saat. Ulang 10 kali. Buat 3 kali sehari, setiap hari untuk seumur hidup.
  4. Boleh buat sambil duduk dalam kereta, boleh buat sambil berbaring, boleh buat dalam mesyuarat, boleh buat sambil memasak (inilah multitasking yang paling tera sekali).

Kebanyakan wanita akan mula rasa ketat semula selepas 3 hingga 6 bulan, tetapi senaman kegel ini patut diteruskan seumur hidup (regular maintenance).

Wanita yang masih ada masalah tidak boleh tahan kencing juga boleh buat prosedur anduh vagina atau vaginal sling procedure yang mengangkat naik otot diafragma pelvik   trampolinitu dan ditambatkan dengan sling. Jadi pembedahan kecil seperti sengkak naik juga, tapi ditambat ke atas supaya tidak jatuh balik.

Kesimpulan:

Kita hendak tarik naik dan ketatkan seluar yang longgar dengan mengurangkan berat badan dan membuat senaman kegel setiap hari seumur hidup. Urutan sengkak naik itu hanya setakat tarik naik seluar longgar sahaja. Mana la berkesan macam tu. Sat lagi bila berdiri, jatuh la balik.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda