KESIBUKAN bekerja dan menjadi suri rumah membuatkan ramai wanita tidak sempat mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam. Ada pula yang menganggap buat kerja rumah itu juga ialah salah satu senaman.

Kepada anda yang tiada masa bersenam, jangan bimbang. Kita sebenarnya boleh bersenam sambil melakukan kerja rumah, tetapi mesti buat dengan cara yang betul.

Jadi, apa kata kita baca perkongsian Dr Pakar Perunding Perubatan Maternal dan Fetal di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Imelda Balchin yang menjelaskan kenapa kerja rumah itu bukan senaman dan bagaimanakah cara bersenam sambil melakukan kerja rumah.


Kenapa kerja rumah itu bukan senaman?

Jika anda berjoging 1 jam, anda akan membakar kalori yang sama dengan kerja rumah sederhana selama 7 jam, seperti basuh baju menggunakan mesin basuh, lipat baju, seterika baju, memasak, mengemas, kemas katil, sapu habuk, sapu lantai, lap meja, menjirus pokok dan basuh pinggan.

Jika anda berjoging 1 jam, anda akan membakar kalori yang sama dengan kerja rumah yang lebih berat selama 3-4 jam, seperti menggosok, tonyoh atau memberus lantai, mencuci kereta, potong ayam daging mentah, angkat barang naik dan turun tangga.

Apa yang membezakan kerja lain dengan bersenam ialah apabila anda bersenam, anda meningkatkan degupan jantung dan menambahkan pernafasan yang lebih mendalam, hingga kepada tahap anda tidak boleh menyanyi.

Bersenam akan mengeluarkan peluh dengan lebih banyak. Berpeluh banyak akan membantu anda membuang toksin dalam badan dan membuang garam berlebihan. Proses mengeluarkan peluh daripada badan memerlukan pembakaran lemak dan pengaliran darah yang lebih laju.

Jika masih boleh menyanyi ketika sedang menyapu habuk dan cuci pinggan, itu bermakna ia bukan senaman. Jika tidak berpeluh sampai kena tukar pakaian dan baju dalam, maka itu juga bukan senaman.

Buat senaman bukan aerobik seperti yoga dan taich pun akan berpeluh-peluh. Jika anda berpeluh, tetapi masih boleh menyanyi, itu juga tidak cukup kegiatan untuk mengatakan yang anda sedang bersenam.

Paling penting, melalui senaman, metabolisme anda akan meningkat lebih tinggi selama 24-48 jam dan anda akan terus membakar lebih kalori berbanding orang tidak bersenam keseluruhan hari, walaupun anda hanya buat kerja ringan, disebabkan metabolisme badan lebih tinggi.

Sebab itulah, walaupun anda buat kerja rumah setiap hari, anda masih juga digalakkan bersenam selama 150 minit seminggu atau 20-30 minit sehari setiap hari.

Paling tidak sihat, ialah mereka yang amalkan gaya hidup macam ini: tidak buat kerja rumah langsung, tidak bersenam langsung, duduk pejabat 1 hari, kemudian balik rumah telan nasi lemak yang kalorinya bersamaan dengan buat kerja rumah sederhana selama 7 jam atau berjoging 1 jam.

Amalkanlah gaya hidup sihat dan cergas selalu: bersenam, buat kerja rumah dan jangan makan berlebihan.

Selepas ini, saya akan tunjuk anda rahsia bagaimana boleh menjadikan kerja rumah sebagai senaman anda.


Cara buat kerja rumah sebagai senaman yang hebat

Kalau anda boleh tingkatkan kecergasan ketika buat kerja rumah hingga degupan jantung bertambah laju, dan pernafasan lebih mendalam hingga anda tidak boleh menyanyi, selama 20-30 minit sehari, inilah senaman.

  • Semasa mop lantai, sapu sampah atau vakum, boleh buat forward lunges dan backward lunges.
  • Ketika menyapu habuk atas permukaan almari atau menjemur baju atau seterika baju, boleh buat senaman squads.
  • Ketika basuh pinggan atau memasak, boleh buat calf raises.
  • Sambil kutip sampah, atau tunggu masakan masak, atau tunggu mesin basuh baju berhenti, atau sambil lipat baju, boleh buat plank dan jumping jacks.
  • Ketika mengemas katil, boleh buat tricep dips.
  • Sambil lipat baju juga boleh buat senaman kagel dan abdominal twists.

Jadikan kerja rumah senaman anda.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda