“PENGALAMAN kali pertama buat suntikan cair darah selepas bersalin secara caesarean setahun lalu sedikit menggerunkan. Saya perlu suntik sendiri selama 3 hari di rumah. Saya pula jenis takutkan jarum. Memang tidak sanggup buat sendiri, tapi demi keselamatan diri, saya buat juga…”

Demikianlah keluhan ibu yang terpaksa mengambil suntikan tersebut selepas bersalin dan tidak dinafikan masih ramai kurang jelas kenapa wajib mengambil suntikan tersebut.

Apa kata kita baca perkongsian Pakar Perunding Maternal dan Fetal Medicine Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Imelda Balchin tentang perkara ini dengan lebih terperinci.


Kematian ibu bersalin

Hari ini saya berbincang dengan pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) dari negeri lain di Malaysia dan juga ustaz di PPUM tentang kematian ibu-ibu bersalin.

Setiap tahun di Malaysia, ada 13 atau 14 ibu bersalin meninggal dunia disebabkan darah beku dalam saluran darah paru-paru (pulmonary embolism). Dalam 100 kematian ibu bersalin di Malaysia, 60 orang disebabkan pulmonary embolism. Risiko kematian ibu Melayu lebih tinggi berbanding ibu lain.

Kadar kematian ibu Melayu disebabkan pulmonary embolism ialah tiga kali ganda lebih tinggi daripada kematian ibu di Eropah.

Kadar kematian ibu Melayu akibat pulmonary embolism juga lebih tinggi daripada kematian ibu kaum lain di Malaysia. Sebanyak 7 daripada 10 (73 peratus) kematian ibu disebabkan pulmonary embolism berlaku selepas bersalin dan hanya 3 daripada 10 kes berlaku sebelum bersalin.

Sebanyak 9 daripada 10 (90 peratus) kematian ibu disebabkan pulmonary embolism ini berlaku selepas pembedahan caesarean, selepas pulang ke rumah. Di Britain, 5 daripada 10 (50 peratus) kematian ibu disebabkan pulmonary embolism berlaku selepas caesarean. Lihatlah perbezaan Britain dan Malaysia.

Kenapa ibu hamil dan baru bersalin mempunyai risiko lebih tinggi daripada wanita tidak hamil?

Pertama sekali, semua ibu patut tahu yang kepekatan darah akan meningkat dalam saluran darah ibu hamil, sebab hormon ibu hamil akan merangsangkan badan menghasilkan lebih protein yang memekatkan darah. Tujuan memekatkan darah ialah untuk melindungi ibu bersalin daripada pertumpahan darah berlebihan selepas bersalin.

Kepekatan darah inilah punca kenapa risiko ibu hamil mendapat darah beku jadi 6 kali ganda lebih tinggi daripada wanita tidak hamil. Selepas bersalin, kepekatan darah masih tinggi pada 6 minggu berpantang.

Masalah mendapat pembekuan darah ini 5 kali ganda lebih tinggi selepas bersalin apabila dibandingkan sebelum bersalin. Terdapat perubahan kandungan air dalam saluran darah selepas bersalin yang menyebabkan darah jadi lebih pekat. Risiko paling tinggi sekali ialah pada tiga minggu pertama selepas bersalin.

Ada beberapa perkara lain yang juga menyebabkan risiko darah beku menjadi lebih tinggi lagi: 

  1. Usia ibu yang semakin tua (35 tahun ke atas)
  2. Berat badan obes
  3. Merokok
  4. Kehamilan kembar
  5. Ada masalah lain (seperti pre-eklampsia, penyakit jantung lemah)
  6. Kekurangan pergerakan badan (seperti selepas pembedahan caesarean)
  7. Kekurangan meminum air (dehidrasi)
  8. Tumpah darah berlebihan ketika bersalin

Apakah tanda apabila ada pembekuan darah dalam saluran darah paru-paru (pulmonary embolism)?

  1. Pernafasan terganggu atau sesak nafas
  2. Nadi denyutan jantung ibu jadi lebih laju daripada biasa
  3. Suhu badan mungkin naik
  4. Batuk darah

Pembekuan darah dalam saluran darah mengganggu pengaliran darah ke paru-paru dan menghalang kemasukan oksigen secukupnya ke dalam darah. Tekanan darah dalam paru-paru jadi tinggi dan meninggikan beban ke atas jantung sebelah kanan. Ini boleh menyebabkan air masuk ke dalam paru-paru dan kematian mengejut.

Bagaimanakah mengelakkan pulmonary embolism?

1. Jaga berat badan. Biasakan diri dengan cara hidup sihat dan turunkan berat badan berlebihan sebelum hamil.
2. Semasa hamil, bersenam 20-30 minit setiap hari untuk mengawal kenaikan berat badan.
3. Berhenti merokok
4. Elakkan pembedahan caesarean jika tidak diperlukan
5. Jika terpaksa menjalani pembedahan caesarean – doktor akan berikan suntikan untuk mencairkan darah sekali sehari selama 7 hari sebagai ubat mencegah mudarat pulmonary embolism.
6. Minum air secukupnya selepas bersalin, terutama ibu yang menyusukan bayi (keperluan ialah 3 liter sehari atau 12-13 gelas sehari) walaupun dalam pantang.
7. Berjalan-jalan selepas bersalin untuk membantu pengaliran darah walaupun dalam pantang.

Kenapa kematian ibu Melayu adalah lebih berbanding kaum lain?

Tidak ada jawapan atau bukti kukuh. Mungkin lebih ramai ibu obes. Mungkin lebih ramai yang mengamalkan pantang yang tidak membenarkan ibu minum secukupnya, atau berjalan-jalan (walaupun dalam rumah).
Mungkin kerana khuatir ubat suntikan pencair darah seperti clexane itu berunsur khinzir dan adakah ibu-ibu tidak mengikut nasihat doktor dan tidak mengambil suntikan clexane?

Saya akan beri penjelasan daripada ustaz, kenapa diharuskan mengambil clexane walaupun ada unsur khinzir

1. Tidak ada ubat lain yang tidak berunsur khinzir yang lebih baik daripada clexane.
2. Ubat suntikan heparin tidak memberi kebersanan setanding dengan clexane terutama untuk ibu yang berat badan lebih 90kg.
3. Ubat fondaparinux pula sangat mahal dan ramai ibu tidak mampu. Ia boleh memasuki susu badan dan bayi yang menyusu boleh mendapat dos yang sedikit.

Saya harap keterangan ini jelas, supaya ibu-ibu tidak lagi khuatir tentang penggunaan ubat suntikan pencair darah clexane untuk cegah penyakit yang boleh menyebabkan kematian ibu bersalin. Jika ibu dapat masalah pembekuan darah ketika hamil, rawatan terbaik ialah clexane atau ubat sejenis low molecular weight heparin seperti deltaparin, enoxaparin dan tinzaparin.

Innalillahiwainnailaihirojiun. Al-Fatihah kepada semua ibu yang meninggalkan kita. Semoga kita sama-sama berusaha mencegah venous thromboembolism dan pulmonary embolism dengan menyampaikan ilmu pengetahuan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda