RAMAI ibu bapa suka beri anak makan buah, tetapi tidak kena caranya, terutama buah-buahan kecil yang boleh disumbat masuk kesemuanya ke dalam mulut. Ini boleh mengundang risiko maut akibat tercekik akibat salur pernafasan tersumbat.

Kepada ibu bapa yang masih tidak tahu cara betul berikan anak makan buah, bolehlah baca perkongsian Dr Kamarul Ariffin Sadan yang pernah berhadapan kes kematian anak kecil akibat tercekik biji buah.

* Sudah disunting mengikut standard penulisan BumBumCak. Harap maklum.


Beri anak kecil makan buah-buahan dan sayuran ialah sesuatu yang amat digalakkan. Namun, boleh jadi berbahaya jika tidak berhati-hati.

Semasa saya bertugas di Jabatan Kecemaaan dan Trauma, saya ada terima beberapa kes kematian kanak-kanak kerana tercekik buah-buahan.

Jika kanak-kanak tercekik buah seperti anggur dan tomato ceri yang utuh (whole), ia boleh menyekat salur pernafasan dan boleh membawa maut.

Ada juga kes kematian yang melibatkan tercekik biji buah seperti mata kucing dan laici serta buah berbiji yang agak besar seperti cempedak dan durian.

Jadi, ibu bapa mesti prihatin kepada perkara berikut:

1. Pilih buah-buahan yang sesuai dengan umur anak. Mulakan dengan buah lembut dan tidak terlalu berserat.

2. Jika buah itu mempunyai biji keras, buangkan dulu bijinya. Contoh: mata kucing, laici, cempedak, duku, langsat, dan sebagainya.

3. Buah kecil seperti anggur, hendaklah dibelah dua atau empat secara menegak (atas ke bawah). Jangan di belah melintang. Rujuk gambar.

4. Buah besar, hendaklah dipotong kepada saiz dan bentuk sesuai. Elok dipotong memanjang atau meleper.

5. Ibu bapa disarankan supaya belajar teknik mengeluarkan bendasing yang tercekik di tekak secara teknik Heimlich. Rujuk gambar.

6. Telefon ambulans, atau bawa anak ke hospital dengan segera jika gagal mengeluarkan benda yang menyekat salur pernafasan.

Mohon sebarkan. Informasi ini boleh selamatkan nyawa kanak-kanak.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda