RAMAI wanita hamil mengambil peluang berpuasa penuh kerana sepanjang tempoh itu, mereka tidak didatangi haid. Jadi ada peluang merebut keberkatan sepanjang Ramadan.

Bagaimanapun, tidak semua wanita hamil mampu berpuasa penuh dan jangan pula memaksa diri jika tidak larat. Dikhuatiri menjejaskan dan memudaratkan kesihatan ibu dan anak dalam kandungan.

Berikut perkongsian Doktor Sakit Puan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak dalam status laman Facebook tentang bahaya, kesan dan tip berpuasa untuk wanita hamil.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


“Bertuahnya puan saat ini,” kata seorang doktor kepada pesakit wanita yang sedang diperiksanya.

“Kenapa doktor?” balasnya menyoal dengan penuh rasa ingin tahu.

“Sekarang Ramadan. Puan pula hamil pada bulan yang banyak kelebihan ini. Ini kesempatan yang amat baik mendidik anak puan dari dalam kandungan untuk mengenal pencipta-Nya. Puan sangatlah bertuah!,” jelas doktor.

Maka, tidak hairanlah, meskipun sedang hamil atau menyusukan bayi, pada masa sama ibu-ibu tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa.

Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadan untuk membanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, solat tarawih, iktikaf dan memburu malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Justeru, pelbagai alasan diberikan sekalipun mereka diberikan rukhsah (keringanan), diperbolehkan meninggalkan puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Menurut mazhab Syafie, wanita hamil dan menyusui bayi apabila khuatir mengalami bahaya, maka mereka wajib berbuka, tidak perlu berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah menggantikan (Qada’) puasanya kelak.

Rata-rata alasan diberikan ibu-ibu, mereka mampu melaksanakan tuntutan berpuasa. Ada juga menyatakan, mereka enggan menggantikan puasa pada waktu lain, kerana tiada teman berpuasa sama. Pendek kata, mereka ingin mengambil peluang berpuasa penuh tanpa ada halangan haid jika di luar kehamilan.

Namun, ada juga ibu-ibu berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekalipun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia atau kekurangan gula dalam darah seperti pening, loya, gementar dan pitam atau pengsan.

Mereka menangguhkan masa untuk berbuka, “Tunggulah setengah jam lagi”. Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka. Hal ini, sepatutnya tidak berlaku kerana ibu perlu mengambil kira keadaan bayi ketika ini, apabila gejala kekurangan gula berlaku akan menimbulkan mudarat kepada bayi.

Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan janin sendiri. Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan atau nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya. Kasihanilah anak dalam kandungan. Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat.

Di sini ingin saya berkongsi tip mudah kepada ibu hamil mengekalkan kesihatan unggul ketika hamil dan berpuasa.

Jika berpuasa, tentu sekali anda tidak boleh makan sekerap biasa, tetapi masih boleh makan lebih  dua kali antara masa berbuka dan sahur. Hidangan makanan seimbang dan berkhasiat akan membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan masalah seperti sembelit, sakit kepala, ketidakcernaan, lesu dan pedih ulu hati yang semua itu ialah simptom biasa ketika hamil.

APAKAH CARA TERBAIK WANITA HAMIL BERBUKA PUASA?

Tiada pelan makanan khas perlu ikut, tetapi boleh cuba tip berikut sebagai cara terbaik berbuka. Boleh mulakan makanan seperti dibawah:

  • 3 biji kurma dan jus (bagus untuk menormalkan semula tahap gula rendah dalam darah.
  • Susu atau yogurt rendah lemak
  • Sup jernih

Kemudian, makanlah hidangan seimbang yang mengandungi: sepinggan salad atau ulam-ulaman sebagai hidangan pembuka selera seperti:-

  • Protein daripada ayam, daging atau ikan, kacang pis atau kekacang.
  • Karbohidrat kompleks daripada nasi beras perang, roti bijian penuh dan banyak sayur-sayuran.
  • Elakkan hidangan berlemak tinggi untuk mencegah pertambahan berat, pengambilan makanan kurang berkhasiat dan mengalami ketidakcernaan (indigestion).

APAKAH SAYA PERLU MAKAN SAHUR JIKA BERPUASA KETIKA HAMIL?

Bersahur sangat penting jika berpuasa. Ini akan mengekalkan tahap tenaga pada waktu siang. Jangan tinggalkan sahur kerana dapat membekalkan anda nutrien penting dan tenaga diperlukan untuk kekal cergas pada siang. Ini juga mengurangkan simptom kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk.

Hidangan sahur yang sihat mungkin mengandungi:

  • Nasi beras perang dan roti bijian penuh dengan kari.
  • Bijirin berserat tinggi atau bran dengan susu skim rendah lemak dan buah-buahan termasuk buah kurma dan pisang.
  • Elakkan minum teh ketika sahur kerana boleh membuat dehidrasi.

SAYA SUKA MINUM KOPI ATAU TEH KETIKA BERBUKA. APA BOLEH GANTI?

  • Minumlah jus buah-buahan segar dan bukan minuman bergas, kopi atau teh.
  • Minuman smoothie yang ada susu, yogurt, ais dan buah ialah minuman menyegarkan dan membekalkan banyak keperluan buah-buahan harian.
  • Sup sayur-sayuran pula membolehkan anda makan sayur-sayuran berbeza dan memberi vitamin, mineral dan serat tambahan dalam diet.

APAKAH PERLU SAYA ELAK KETIKA BERPUASA?

Bagi mengekalkan kesihatan ketika berpuasa, amalkanlah tip di atas ketika makan, dan selepas berbuka, berehat seketika, kemudian bangun dan berjalan-jalan. Lakukan aktiviti ringan.

Elakkan makan lewat malam sebelum tidur, tetapi pastikan bangun dan makan sahur. Minum banyak air selepas berbuka dan sebelum bersahur untuk mengelakkan dehidrasi.

Kepada ibu hamil yang difikirkan sihat dan boleh berpuasa doktor, selamat berpuasa. Yang tidak boleh itu atau dalam erti kata lain berpuasa boleh memudaratkan, jangan degil juga berpuasa.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda