KANAK-KANAK banyak akal pasti akan mencuba sesuatu yang tidak terfikir oleh orang dewasa. Memasukkan benda asing ke dalam lubang hidung memang sering terjadi.

Jika bernasib baik. Ada anak yang akan beritahu kita mereka telah memasukan barang ke dalam hidung. Ada yang tidak tahu bercakap mungkin membiarkan sahaja hingga ibu bapa sedar.

Jadi, bagaimana jika ibu bapa tidak sedar hingga ia sudah memudaratkan kesihatan mereka? Dr Ezairy M.Sallih berkongsi cara mengenalpasti anak sudah memasukkan banda asing ke dalam hidung mereka.


Bateri masuk lubang hidung!

Ini bukan cerita rekaan. Bukan juga suatu bahan gurauan yang kita boleh ambil sambil lewa.

Apa-apa objek yang masuk ke dalam hidung anak-anak kita perlu diambil perhatian serius. Ia amat penting kerana risiko objek tersebut untuk tersedut dan seterusnya masuk ke kawasan saluran pernafasan. Ia boleh masuk ke paru-paru pesakit!

Sebagai ibu bapa yang prihatin, perhatikan keadaan ini:

1. Anak mengadu sukar bernafas pada sebelah hidung sahaja.

2. Gejala dan simptom seperti resdung. Pesakit mengadu mengalami hidung tersumbat dan berair pada sebelah bahagian hidung sahaja.

3. Ada lendir atau cecair busuk yang mengalir keluar daripada salah satu rongga hidung anak. Ia mungkin berwarna kekuningan.

4. Pembengkakan pada kawasan kulit luar hidung disertai dengan rasa sakit apabila disentuh.

5. Pembengkakan mata anak secara tiba-tiba. Ia biasa berlaku beberapa hari selepas anak mengadu mengalami gejala pada hidung.

6. Hasil pemeriksaan anda sendiri dengan bantuan sumber cahaya dan mata kasar, anda mengesyaki sesuatu objek di dalam rongga hidung.

Apabila anak-anak anda mengalami salah satu daripada perkara yang saya sebut di atas, apa yang bermain di fikiran anda?

Ya, ada sesuatu objek yang telah masuk ke rongga hidung. Jangkitan kuman telah menyebabkan lendir busuk keluar daripada hidung terlibat. Apabila ia dibiar dengan lebih lama, jangkitan boleh merebak kawasan sekitar sinus dan boleh merebak ke mata juga!

Keadaan ini akan menjadi lebih kritikal dan berbahaya sekiranya objek mengandungi bahan kimia bersifat mengakis seperti bateri masuk ke rongga hidung anak-anak. Lapisan mukosa rongga hidung boleh terhakis dan bocor!

Sebab itu saya selalu berpesan kepada ibu bapa untuk ambil perhatian beberapa gejala yang saya sebut di atas. Ia penting supaya kita tahu bila dan apa perlu kita lakukan sekiranya perkara seperti ini berlaku.

Jumpa doktor, anda akan dibantu.

Sekiranya anda rasa perkongsian ini amat bermakna, kongsikan dan #share kepada mereka yang anda sayang sebagai tanda prihatin. Saya doa kita semua diberi kesihatan yang berterusan.

Objek seperti ini boleh dilihat daripada luar jika tidak terlalu dalam. Jangan cuba-cuba keluarkan sendiri. Tenangkan anak, bawa ke hospital!
Suatu kes di mana bayi tertelan bateri tanpa pengetahuan ibu bapa. Hanya disedari selepas bayi tidak mahu makan dan minum. Pemeriksaan menunjukkan bateri telah tertelan sehingga bahagian atas esofagus dan mengakibatkan hakisan ke dinding salur makanan tersebut. – kes benar direkodkan dalam satu jurnal di Korea Selatan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda