MASALAH yang sering melanda orang berpuasa ialah bau mulut yang bukan saja boleh mengganggu orang sekeliling, tetapi juga kita hingga membuatkan kita terpaksa berhati-hati membuka mulut.

Malu pula kalau orang terhidu bau mulut busuk kita. Jadi, tidak hairanlah ada kalangan kita yang sentiasa hidu dulu bau mulut sendiri sebelum bercakap. Walaupun sudah berus gigi, tetapi bau masih ada.

Jadi apa kata ikut tip Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan yang berkongsi tentang cara untuk mengelakkan masalah mulut berbau untuk panduan bersama. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.


6 CARA ELAK MULUT BERBAU DI BULAN RAMADAN

1. MINUM AIR SECUKUPNYA

Antara sebab mulut berbau ialah kerana kekeringan pada mukosa dalam mulut akibat kekurangan air ketika berpuasa. Jadi, ketika sahur hendaklah minum air kosong secukupnya, supaya badan sentiasa terhidrat dan mulut tidak kering.

2. ELAK MINUM KOPI ATAU TEH WAKTU SAHUR

Kopi dan teh ialah sejenis diuretik iaitu bahan yang menggalakkan penghasilan air kencing. Jika kita minum teh dan kopi, makan kita akan hilang banyak air melalui air kencing. Ia boleh menyebabkan dehidrasi dan secara tidak langsung menyumbang kepada mulut berbau.

3. KURANGKAN BERCAKAP

Kurangkan makan bawang dan ‘membawang’. Bawang putih dan merah ialah antara makanan yang boleh buat nafas berbau. Terlalu banyak bercakap (membawang) pula boleh menyebabkan kelembapan mulut mudah tersejat lalu menyebabkan mulut jadi kering dan berbau.

4. MAKAN KARBOHIDRAT SECUKUPNYA

Ada sesetengah orang cuba untuk mengurangkan berat badan secara intensif ketika Ramadan. Mereka berpuasa dan tidak mengambil karbohidrat dan gula. Ini memaksa tubuh mendapatkan tenaga secara ketosis. Keadaan ini menghasilkan ketones yang menyebabkan nafas berbau. Jadi, makanlah juga karbohidrat sikit ya!

5. GOSOK GIGI DAN BERSIHKAN LIDAH

Antara penyumbang mulut berbau adalah kehadiran bakteria dalam mulut. Oleh itu, jangan lupa gosok gigi sebelum tidur dan selepas sahur. Gunakan juga floss untuk bersihkan sisa makanan di celahan gigi dan bersihkan lidah dengan memberusnya. Boleh juga guna larutan pembersih mulut.

6. PASTIKAN TIADA MASALAH MULUT DAN HIDUNG

Jika semua cara di atas SUDAH diikhtiar tetapi mulut masih berbau, anda hendaklah berjump doktor. Masalah pada hidung, sinus, gigi, gusi atau tonsil juga boleh menyebabkan mulut berbau. Biar doktor periksa ya!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda