LUBANG di hadapan telinga atau Preauricular Sinus ini dikatakan tanda lahir dan mempunyai keistimewaan berbanding kanak-kanak lain kerana tidak semua kanak-kanak mempunyai komplikasi atau jangkitan pada lubang tersebut.

Mari kita baca penerangan Doktor Telinga Hidung dan Tekak Dr Ezairy M Salih tentang Preauricular Sinus yang kita perlu tahu jika anak kita mempunyai lubang di telinga ini.

Status di bawah sudah disunting tanpa menjejaskan maksud kandungan asal penulis. Status sebenar boleh dirujuk pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


“Apa ini lubang-lubang kat depan telinga anak saya ni, doktor? Setiap dua tiga bulan saja mesti bengkak, merah, sakit.. risau saya.”

Jangan risau!

Ia bukan tanda-tanda kanser atau ketumbuhan yang perlu ibu bapa bimbangkan.

Preauricular Sinus atau cyst merupakan salah satu ‘congenital anomaly’ yang berlaku sejak lahir ketika pembentukan embrio lagi. Kajian menunjukkan hampir 1 peratus bayi lahir mengalami masalah ini dan populasi di Afrika lebih ramai berbanding Asia.

Jadi, kenapa ia boleh membengkak, merah dan sakit?

Akibat ada cyst, sinus atau kantung. Apabila berlaku jangkitan di situ, ia akan menyebabkan berlaku gejala seperti kemerahan, sakit dan pengumpulan nanah boleh berlaku!

Jika ini terjadi, ubat antibiotik perlu diberi bagi menghentikan jangkitan dan pembedahan kecil mengeluarkan nanah perlu dilakukan.

Adakah ia akan selesai?

Tidak.

Pembedahan untuk membuang keseluruhan sinus dan kantung tersebut perlu dilakukan sebaik sahaja jangkitan tiada bagi memastikan tiada lagi serangan berulang.

Okey, lepas ni boleh periksa kat anak-anak. Ada tak lubang seperti ini pada telinga mereka?


Berdasarkan maklumat di MyHealth.gov.my, kebanyakan individu yang ada Preauricular Sinus tidak mempunyai apa-apa gejala atau masalah. Justeru, tiada sebarang rawatan diperlukan.

Namun, sesetengah individu yang mengalami jangkitan berulang dan bernanah pada kawasan sinus tersebut, pembedahan perlu dibuat.

Pesakit yang ada Preauricular Sinus boleh mengalami keradangan pada muka atau bisul di hadapan telinga disebabkan jangkitan kuman dalam lubang.

Ada beberapa sindrom kecacatan pada muka secara kongenital seperti sindrom Treacher Collins dan branchio oto renal yang berkaitan Preauricular Sinus.

Antara ciri klinikal lain ialah:

  1. Sakit
  2. Lelehan nanah melalui sinus
  3. Bengkak di sekitar sinus
  4. Radang atau kemerahan kulit
  5. Ulser

KOMPLIKASI 

Kehadiran Preauricular Sinus sahaja tanpa sebarang masalah tidak memerlukan sebarang rawatan dan tidak akan membawa mudarat dan mengancam nyawa.

Diantara komplikasi yang boleh berlaku:

  1. Bengkak muka dengan kulit merah (selulitis muka – Gambar 1)
  2. Bengkak cuping telinga dengan telinga menjadi merah ( Perichondritis – Gambar 2)
  3. Parut besar (keloid – hyperlink : Ear keloid – Gambar 3)
  4. Telinga tidak selesa

RAWATAN

Kebanyakan Preauricular Sinus tidak mendatangkan sebarang masalah dan tiada rawatan spesifik diperlukan. Bagaimanapun, jika Preauricular Sinus mengalami komplikasi berulang kali seperti nanah, pembedahan sinus disyorkan doktor.

Rawatan ketika pesakit mengalami jangkitan sinus seperti keradangan kulit ialah dengan antibiotik. Jika bernanah atau bisul, nanah mesti dikeluarkan dengan cara membuat pembedahan kecil. Nanah perlu dihantar ke makmal untuk kultur bagi memastikan penggunaan antibiotik yang betul dan spesifik ke atas kuman yang dikesan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda