Saya berumur 39 tahun dan baru mendirikan rumah tangga lapan bulan lalu dan masih belum hamil. Saya agak rungsing kerana usia sudah lewat untuk hamil.” Ini antara keluhan ibu yang risau untuk hamil pada usia lewat 30-an.

Memang benar kehamilan pada lewat usia mempunyai risiko kehamilan. Sebab itu, ramai wanita hamil tidak dapat mengelak berasa bimbang tentang risiko kehamilan dan kesihatan bayi dalam kandungan.

Pakar Perunding Maternal & Fetal Medicine, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, Prof Dr Imelda Balchin berkongsi maklumat berhubung kehamilan pada usia 40 tahun sebagai pengetahuan kita.

Status di bawah disunting mengikut skema penulisan kami tanpa menjejaskan maksud sebenar kandungan asal. Status asal boleh dibaca pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


“Prof…. Tak apa ke? Boleh ke? OK ke?”

Ramai ibu hamil yang berumur 40 tahun ke atas tanya saya soalan macam ini.

Prof, tak apa ke? Boleh ke saya hamil? Tak apa ke?”

Apabila anda sudah hamil, sudah terlambat untuk bertanya soalan macam ini. Takkanlah hendak menggugurkan kandungan semata-mata kerana sudah berusia lebih matang daripada ibu lain?

Kami (doktor) tidak akan mencadangkan pengguguran janin, selagi ibu itu sihat dan tiada penyakit yang boleh membahayakan nyawa jika si ibu teruskan kehamilan serta tiada kecacatan janin yang membawa maut.

Undang-undang Malaysia tidak membenarkan pengguguran kehamilan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan atas sebab keselamatan ibu.

Tiada pilihan menggugurkan kandungan sebab sudah ramai anak, tiada pilihan menggugurkan kandungan sebab anak kecil baru berusia 4 bulan, tiada pilihan menggugurkan kandungan sebab ekonomi, tiada pilihan menggugurkan kandungan sebab sudah menjalani tiga pembedahan Caesar, dan tiada pilihan menggugurkan kandungan sebab tidak bersedia menjadi ibu yang lebih tua.

Bagi ibu berusia 40 tahun ke atas, inilah kehamilan berisiko tinggi, dan memerlukan lebih pantauan daripada doktor O&G. Sama juga ibu yang ada obesiti, atau wanita ada penyakit kencing manis, atau kehamilan kembar, ini juga kehamilan berisiko tinggi yang memerlukan lebih pemantauan.

Tetapi, selagi kehamilan berisiko tinggi itu tidak mengancam nyawa anda dan janin tiada kecacatan yang membawa maut, teruskanlah kehamilan tidak kira berapakah usia anda.

Jika terlalu ramai anak, atau masalah ekonomi, pertimbangkan memberikan anak kepada suami isteri yang mahu mengambil anak angkat selepas bersalin. Selepas bersalin, jika tidak bersedia hamil lagi sekali, gunakan kaedah perancang keluarga yang terbukti berkesan.

Kalau sudah hamil, janganlah tanya, “Boleh ke?”

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda