KANAK-kanak memang suka minuman probiotik. Kalau dibawa ke pasar raya, mesti ada yang dibawa balik mereka ke rumah. Iklan di media massa selalu menyebut minuman probiotik ini baik untuk sistem pencernaan kanak-kanak.

Tetapi ada ibu bapa sudah mula gelisah apabila membaca satu artikel tular tentang minuman probiotik yang kononnya jadi punca kepada kanser. Benarkah? Kali ini artikel kami berkongsikan penjelasan daripada Dr Suhazeli Abdullah.

Semoga bermanfaat untuk semua ibu bap. 🙂


PROBIOTIK PUNCA KANSER?

Biasanya isu tular yang melibatkan jenama tertentu atau makanan tertentu memang cepat merebak di kalangan masyarakat kita. Terkini, timbul kembali isu minuman probiotik (seperti Vitagen, Yakult dan lain-lain) sebagai punca kepada penyakit kanser.

Mesej yang ditularkan kembali itu sebenarnya sudah berlegar sejak 2015. Mesej berkenaan memaparkan cerita seorang pelawat hospital yang mengunjungi waris mereka terkejut selepas diberitahu punca penyakit kanser darah (leukimia) akibat minum jus probiotik tertentu. Ada juga tulisan tular dalam versi agak serupa yang menuduh minuman jus probiotik sebagai punca kepada kanser perut.

Mereka menyandarkan kepada kata-kata doktor yang melarang pesakit kanser itu mengambil makanan atau minuman yang mengandungi bakteria baik (makna umum bagi probiotik kerana mengandungi bakteria seperti laktobasilus).

Laktobasilus ini ada khasiat penting dalam membantu pencernaan dan penguraian makanan yang dimakan. [1] Kajian kes kawalan mendapati probiotik boleh mengurangkan tahap teruk cirit-birit akibat kuman.[2]

Isu yang gegar di media maya itu sudah pun dijawab beberapa pakar dan pihak autoriti termasuk Menteri Kesihatan. [3] Apa yang berlaku ialah salah kefahaman tentang konsep pesakit kanser yang tidak dibenarkan mengambil bahan tertentu kerana sistem pertahanan badan mereka ditahap minimum.

Apabila imuniti atau pertahanan badan lemah, jangkitan bakteria yang tidak berbahaya seperti laktobasilus senang merebak berbanding individu normal. Apa saja, termasuk makanan diproses melalui kultur bakteria, vaksin kategori dilemahkan (live attenuated vaccine) adalah dinasihatkan tidak diberikan kepada pesakit yang rendah sistem imun.

Pesakit yang rendah imuniti seperti:

  • Pesakit kanser yang sedang dalam rawatan kimoterapi.
  • Pesakit HIV.
  • Pesakit yang baru lepas pemindahan organ.
  • Pesakit dalam rawatan dialisis (cuci buah pinggang).
  • Pesakit sedang menjalani rawatan steroid berpanjangan seperti pesakit SLE.
  • Bayi pramatang.

Jika pesakit minum juga, kesan yang akan diperoleh ialah tidak serius. Kajian kes menunjukkan terlalu jarang berlaku seperti jangkitan kuman dalam darah (sepsis), jangkitan kuman ke jantung (endocarditis) dan beberapa kesan lagi. [2]

Atas asas inilah doktor memberikan nasihat supaya pesakit yang kurang sistem pertahanan badan tidak mengambil minuman probiotik. Beringat sebelum kena, pilihan minuman lain masih banyak untuk diambil.

Minuman probiotik bukan penyebab berlaku kanser darah atau usus. Ia juga sama sekali tidak menjadi punca sel kanser merebak atau membiak. Kefahaman minuman kultur tersebut sebagai punca kanser ialah tidak benar.

Semoga penerangan ringkas ini boleh memberi pencerahan kepada masyarakat.

Pautan:

[1] SP Borriello, WP Hammes, W Holzapfel, P Marteau, J Schrezenmeir, M Vaara, Ville Valtonen. Safety of probiotics that contain lactobacilli or bifidobacteria. Clinical infectious diseases 36 (6), 775-780, 2003

[2] Robert J Boyle, Roy M Robins-Browne, Mimi LK Tang; Probiotic use in clinical practice: what are the risks?, The American Journal of Clinical Nutrition, Volume 83, Issue 6, 1 June 2006, Pages 1256–1264, https://doi.org/10.1093/ajcn/83.6.1256

[3] Tiada bukti Vitagen Penyebab Kanser. https://english.astroawani.com/…/no-evidence-vitagen-causing…

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda