PERUT yang semakin membuncit ke depan bukan alasan tidak memakai tali keledar ketika berada dalam kenderaan sama ada memandu atau sekadar sebagai penumpang.

Alasan tidak selesa dan sesak nafas sama sekali tidak boleh dijadikan alasan dan bukanlah langkah bijak kerana berisiko mendedahkan diri kepada bahaya yang lebih teruk sekiranya berlaku kemalangan.

Berikut perkongsian doktor Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak tentang cara memasang tali keledar yang betul bagi wanita hamil.

* Sudah disunting mengikut gaya bahasa BumBumCak. Harap maklum.


Siapa cakap ibu mengandung tidak perlu pakai tali keledar? Cara pemakaian tali keledar untuk ibu hamil saya terangkan seperti berikut:

1. Bahagian melintang tali keledar sepatutnya berada di bawah perut ibu hamil, lurus dan tidak terbelit.

Ini untuk memastikan tali pinggang itu memegang pada tulang punggung/pelvis dan tidak kena secara terus kepada perut. Jika berlaku kemalangan dan tali keledar itu berada di atas perut dikhuatiri boleh menyebabkan kecederaan pada organ dalaman seperti hati, limpa, usus dan rahim.

2. SENTIASA pakai tali keledar walaupun anda penumpang yang duduk di belakang.

Semasa hendak laraskan tali keledar, angkat perut sikit dan pastikan dalam keadaan lurus dan berada atas paha, tetapi di bawah perut

3. Ketatkan tali keledar dan pastikan tali melintang di bawah perut cukup ketat.

4. Tali keledar sebelah atas atau bahu sepatutnya berada di celahan payu dara ibu.

5. Jika ibu ialah pemandu, laraskan kedudukan stereng ke atas sedikit.

6. Tegakkan kerusi sebanyak mungkin.

Kerusi yang terlalu rendah akan meninggikan risiko tali keledar mencederakan rahim ketika kemalangan. Kerusi pemandu hendaklah ke belakang sedikit, jauh dari beg udara (airbag).

TIDAK PAYAH beli pelbagai produk atau span untuk pelindung perut kononnya dapat melindungi rahim kalau berlakunya kemalangan. Kajian menunjukan penggunaan tali keledar yang betul dan tepat dapat mengurangkan kecederaan kepada wanita hamil TANPA menggunakan produk tambahan.

Jangan hamil saja baru sibuk hendak pakai tali keledar. Tidak hamil pun kena pakai juga. Jangan pula terkial-kial pasang tali keledar apabila nampak abang polis atau JPJ ?.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda