TIDAK dinafikan ramai ibu bapa memilih menggantikan susu ibu dengan susu formula apabila si ibu sudah tidak dapat lagi berikan susu badan kepada anak.

Tahukah anda anak sudah tidak perlukan susu formula selepas dia berhenti menyusu ibu walaupun selepas usia setahun?

Kepada ibu bapa yang masih tidak tahu, baca perkongsian Dr Rusyainie Ramli dengan terperinci tentang perkara ini. Semoga bermanfaat untuk semua.


SUSU FORMULA – PERLU KE TAK LEPAS ANAK BERHENTI SUSU IBU?

NOTA: Status ni panjang berjela. Ambil masa untuk baca, faham dan hadam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan bayi selepas usia 6 bulan diperkenalkan dengan makanan secara perlahan, bermula dengan jenis bubur dan sehinggalah dia mula menikmati makanan pejal seperti kita.

Ramai ibu bapa yang saya jumpa menyatakan kerisauan apabila anak mereka berhenti susu badan pada usia 1-2 tahun. Rungsing kalau anak mereka tidak dapat nutrisi seperti sepatutnya. Dalam fikiran, mereka akan terus mahu bertukar kepada susu formula.

Sebenarnya, sekiranya anak berusia 1 tahun ke atas, dia tidak perlu pun diberikan susu formula selepas berhenti susu badan.

TERKEJUT KAN?

Benar. Apa yang ibu bapa lupa ialah selama 6 bulan sebelum itu, bukankah kita beria-ria nak perkenalkan makanan kepada anak. Jadi sebenarnya kita sudah buat persediaan untuk dia berubah daripada minuman cecair kepada makanan pepejal.

Sebenarnya, penting sangat kita pelbagaikan jenis makanan untuk anak. Bukan hanya sejenis makanan hanya sebab dia suka makan yang itu saja. Nutrisi sempurna datang dari kepelbagaian jenis makanan.

Untuk anak yang tiada masalah kesihatan tertentu, dan tidak perlukan diet spesifik, kita mesti latih dia makan seperti mana kita makan dengan kuantiti yang sesuai untuk dia.

Untuk anak berusia 1-4 tahun, yang ada berat badan normal, keperluan kalori ialah antara 900-1,000 sehari.

4 sudu susu formula = 150 kalori

Itu sudah sama dengan lebih kurang satu hidangan makanan biasa. Kalau sudah minum susu formula, mana dia nak makan. Sebab susu formula ini mengenyangkan. Untuk 1 hidangan lengkap protein, karbohidrat, sayur dan buah, kandungan kalori ialah lebih kurang 150-200 kalori untuk anak.

Saya selalu guna tangan anak itu sendiri sebagai anggaran makanan yang dia mesti makan dalam satu hidangan.

2 genggam tangan itu untuk nasi atau karbohidrat lain. 1 keping roti.
1 tapak tangan untuk protein.
1 potong kecil buah yang dihiris.
2 tapak tangan yang dikaup tu untuk sayur.

Susu formula ini kandungan gulanya tinggi. Walaupun jumlah kalori hampir sama dengan makan 1 hidangan, kandungan gula lebih tinggi. Boleh reput gigi anak tu. Dan jadi lebih teruk gigi itu kalau anak minum botol.

Kenapa tidak boleh minum susu saja?

Sebab kita nak anak mengunyah. Allah sudah kurniakan manusia dengan gigi, mulut, lelangit, lidah, pipi sekali lengkap dengan sistem penghadaman. Maka, makanan patut dinikmati dengan mengunyah. Dengan mengunyah sebenarnya anak itu kuatkan otot di muka untuk membantu dia bertutur nanti.

Ibu bapa pasti kata, nanti anak dia tidak cukup zat. Itu tidak tepat. Allah sudah bagi macam-macam jenis makanan yang kita boleh makan. Keperluan kalsium seperti yang diperlukan anak kita itu, dengan mudah saja kita boleh bekalkan dengan susu segar penuh krim yang telah dipasteurkan. Dua gelas sehari, 500ml susu segar penuh krim pun sudah cukup. Kalau susu itu berperisa, ia ada tambahan gula. Susu segar itu bukan diminum sebagai hidangan utama pun, sedangkan susu formula itu sudah gantikan 1 hidangan penting anak kita.

Tapi bukan susu saja yang ada kalsium. Makanan macam keju, yogurt, kekacang termasuklah kacang soya, ikan sardin dalam tin dan sayur hijau pun ada kalsium. Bukan itu saja, makanan tu ada zat dan garam mineral yang lain juga.

Susu segar yang tidak dirawat atau mentah, TAK BOLEH diminum kerana mungkin tercemar dengan bakteria bahaya seperti Salmonella, E. Coli atau Listeria. Janganlah nak alami sangat sampai dedahkan diri kepada jangkitan yang boleh bawa maut.

Dalam susu formulakan ada tambahan zat seperti DHA yang digembar-gemburkan, yang dikaitkan dengan pembentukan otak dan saraf yang baik, maka ibu bapa pun rasa yang anak mereka kena minum susu formula sebab dalam itu gerenti ada.

Tapi tahukah anda yang sebenarnya kalau ikut diet betul, DHA ada dalam ikan kecil macam sardin dan kembung, telur, dan ikan bilis. Kita ini bangsa pemakan ikan, maklumlah negara kita dikelilingi laut. Jadi, untuk diet tipikal rakyat Malaysia, tidak ada masalah pun kekurangan DHA.

Ada ibu bapa kata anak mereka cerewet bab makan. Menggantikan makanan dengan susu formula BUKAN JALAN PENYELESAIANNYA. Apa yang mak ayah perlu buat ialah, kena didik anak makan dengan betul.

MEMANG SUSAH dan terlalu ramai yang putus asa sebab nak latih anak dengan konsisten perlukan hati kental dan jiwa tabah. Kalau jenis mengalah, memang gagallah jawabnya. Maka, untuk mengelakkan berdepan segala drama dan nak senangkan kerja, ibu bapa pun pilih susu formula supaya anak cukup nutrisi makronutrien dan mikronutrien. Anak tak nak makan makanan sebenar pun tidak mengapa.

Perasan tak, ada budak boleh makan pedas, ada yang tak? Itu semua hasil latihan di rumah. Sama juga cara nak makan. Kalau anak susah makan, bawa anak itu jumpa doktor. Biar kami bantu ibu bapa.

Ibu bapa tidak ke rasa susu formula mahal?

Bayi kurang setahun kalau tidak dapat minum susu badan, atas apa sebab sekalipun, memang kena diberikan susu formula untuk keperluan nutrisi sepatutnya. Tapi bila sudah umur 1 tahun ke atas, tidak perlu keluarkan duit nak beli susu formula.

Negara kita kaya dengan sumber makanan yang tiada berpenghujung, maka perkenalkan kepada anak tentang makanan seimbang dan berkhasiat serta ikut sukatan betul. Bayangkan, betapa banyak duit boleh dijimatkan daripada beli susu formula dan duit itu digunakan untuk belikan makanan segar dan sebenar.

Ada ibu bapa kata, nanti banyak pula mulut makcik dan pakcik bawang kata mereka kedekut duit atau nanti anak tidak cukup makan. Tapi yang masyarakat tidak sedar ialah 1 dalam 3 kanak-kanak di Malaysia ini gemuk atau obes. Masa kecil memang sedap kita picit pipi dia, kalau sudah besar, penyakit kencing manis, darah tinggi, dan hiperlipidemia menanti. Jangan sebab sayang anak sangat, kita sebenarnya buka pintu untuk dia dapat penyakit kronik. Masa depan dia, ibu bapa sendiri hancurkan apbila sudah berpenyakit.

Yang tidak cukup zat makanan itu, jangan risau, kanak-kanak di negara kita ini ada buku rekod kanak-kanak sampai umur 6 tahun. Setiap kali janji temu di Klinik Kesihatan, misi dan doktor pantau tumbesaran anak. Kalau ada masalah, tindakan sepatutnya akan dibuat. Kepada keluarga tidak mampu, KKM siap ada bakul makanan yang diberikan kepada mereka untuk pastikan anak itu dapat makanan yang baik.

Saya tidak kata jangan minum susu formula terus. Nanti ada pula yang sentap. Tetapi kalau nak dibandingkan makanan yang Allah anugerah kepada kita ini berserta kebaikan yang disebut di atas, dan susu formula, sendiri mahu fikir dan buatlah keputusan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda