JIKA isteri sudah mula stres atau tertekan, tidak kira sama ada urusan di tempat kerja atau rumah tangga, suami sepatutnya rasa susah hati.

Suami mesti ambil berat kalau isteri mula menunjukkan tanda stres. Kenapa bahaya sekiranya isteri mula stres? Ini kerana masalah stres secara tidak langsung akan mempengaruhi tahap kesihatan dan kecantikan isteri. Suami-suami sila baca sampai habis ok.

Jom baca perkongsian ilmu daripada Dr Taufiq Razif ini:

Stres buat kerja rumah ini bukan tekanan direka-reka ataupun sebab isteri kita manja. Bukan! Ia tekanan emosi yang sangat mendera kalau pasangan kita jenis kurang memahami dan tidak membantu.

Saya pernah terduduk rebah apabila terpaksa jadi suri rumah ketika isteri saya berpantang anak pertama dulu. Stres menguruskan rumah tangga ini tidak ramai suami sanggup tahan!

Sampai sekarang saya faham kalau isteri saya mengadu kepenatan menjaga anak sebab saya dah rasa sendiri dulu. Itulah saya kadang-kadang bagi saja peluang isteri ‘me time’ dengan hobi menanam orkid kesayangannya tu.”

BuatLAH apa pun sayang, asalkan kurang stres tu!

KENAPA JANGAN BIAR ISTERI STRES?

Kesan stres ataupun tekanan emosi akan memakan diri pasangan kita secara fizikal dan juga mental. Kalau tidak percaya, cuba tengok kesan stres ataupun tekanan emosi ini terhadap pasangan kita sendiri.


1. KITARAN HAID TIDAK TERATUR

  • Perasan tak kadang-kadang haid dia jadi tak teratur dan kacau bilau? Mungkin isteri kita tengah stres la tu! Ikut kajian, stres yang akut ataupun kronik boleh membuatkan hormon tubuh jadi tak stabil.

2. RAMBUT GUGUR

  • Stres pada emosi dan psikologi boleh membuatkan rambut beransur masuk ke fasa keguguran.
  • Stres tahap tertentu boleh menyebabkan isteri kita mengalami tellogen effluvium!
  • Stres melampau akan menyebabkan folikel rambut masuk kepada fasa berehat. Dalam beberapa bulan kemudian, rambut boleh tiba-tiba gugur ketika disikat dan semasa mandi!

3. JERAWAT

  • Stres ataupun tekanan emosi memang akan meningkatkan hormon cortisol dalam tubuh badan pasangan kita.
  • Hormon ini akan menyebabkan kelenjar minyak pada wajah isteri merembeskan lebih banyak minyak. Tanpa sedar, wajah isteri kita jadi makin berminyak dan penuh jerawat!

4. CEPAT GEMUK

  • Bila isteri gemuk kita salahkan mereka bukan? Padahal mungkin isteri kita naik berat badannya sebab tengah menahan stres melampau!
  • Hormon cortisol yang keluar ketika isteri kita stres menyebabkan metabolisme badan semakin menurun!
  • Bukan itu saja, stres melampau juga boleh menyebabkan selera makan bertambah dan juga isteri ketagihan gula.

5. KURANG SUBUR

  • Kajian terkini mengatakan wanita tinggi enzim alpha-amylase sukar mengandung.
  • Lebih mengejutkan lagi, enzim alpha-amylase dikaitkan dengan stres!
  • Wanita yang ada enzim ini, kitaran haid dalam jumlah tinggi, iaitu 12 peratus kurang peluang untuk hamil dibandingkan wanita lain.

Itulah sebabnya jangan biarkan isteri stres. Jika mahu isteri kekal sihat dan cantik, pastikan kesihatan luaran dan dalamannya berada dalam keadaan terkawal.

Sebagai suami, ringankanlah bebanan tekanan bersama isteri. Inilah orang kata ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing‘ dan bukannya ‘awak yang pikul, awak yang jinjing‘.

SUMBER: DrTaufiqRazif

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda