SEMAKIN lama, semmakin menular penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ke seluruh negara. Situasi ini memang menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat terutama ibu bapa yang ada anak kecil.

Ramai netizen sudah berkongsikan rawatan daripada cara moden hingga rawatan tradisional.

Bagaimanapun, cegah sebelum terkena. Berikut perkongsian Dr Ezairy M Salih daripada laman sosial Facebook tentang tip mengelakkan diri daripada terkena jangkitan penyakit HFMD.


TIP ELAK SERANGAN HFMD

HFMD (penyakit tangan, kaki dan mulut) bukan lagi penyakit ‘rare’ di negara ketika ini, memandangkan serangannya yang semakin rakus terhadap anak-anak kecil di Malaysia.

Jangkitan Enterovirus 71 dan Coxsackie virus A16 amat mudah diperoleh. Oleh itu, langkah membendung dan mengelakkannya mesti segera ditangani!

Virus HFMD boleh dan mudah didapati pada:

1. Air mata, cecair dan lendir daripada hidung dan tekak.

2. Najis pesakit.

3. Cecair daripada lepuh atau vesikel pada kulit mangsa.

4. Mana-mana permukaan yang ada virus HFMD, termasuk alat-alat permainan, perkakas di rumah, sekolah, taska, kemudahan awam dan mana-mana saja!

Nah, begitu banyakkan virus ini mudah diperoleh? Justeru, bagaimana kita harus membendung dan memastikan ia tidak menyerang anak-anak kita?

Saya beri beberapa langkah bijak untuk mengelak jangkitan ini:

1. Basuh tangan dengan pencuci dan sabun dengan bersih. Pastikan setiap permukaan, celah-celah jari dan kuku bersih, sebelum dan selepas makan. Juga selepas keluar tandas.

2. Elakkan bawa anak kecil ke tempat orang ramai. Jangkitan HFMD amat mudah berlaku di tempat-tempat seperti itu.

3. Elakkan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum mencuci tangan.

4. Kurangkan sentuhan rapat atau ‘close contact’ seperti mencium bayi, kanak-kanak, mendukung anak-anak jiran dan orang lain.

5. Elak berkongsi peralatan dengan orang lain, terutama yang disyaki mengalami HFMD. Jangkitan juga mudah berlaku.

6. Lakukan pembersihan sekerap mungkin untuk segala perkakas dan alatan rumah. Ini termasuk perabot rumah, pakaian, katil dan lain-lain.

7. Pastikan anak-anak tidak menyentuh dan bermain dengan peralatan di kawasan orang ramai secara mudah seperti alat permainan di rumah orang, taman permainan, pusat rekreasi dan sebagainya.

Semoga perkongsian ini membantu. #Kongsi dan sebarkan jika ia amat berguna untuk kita dan mereka yang disayangi.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda