SITIkan masih berpantang? Sepatutnya tak boleh bawa anak keluar jalan-jalan. Kat luar sejuk. Nanti kalau anak sakit, awak juga yang susah, kata makcik Bawang.

“Kami nak ambil angin segar. Lagipun saya dah pakaikan anak baju sesuai. Jadi, anak tak sejuk nanti. Kalau ikut doktor, saya boleh bawa anak keluar asalkan jaga kesihatan dia,” balas Siti.

“Awak ni degil betul Siti. Dulu, saya tak berani buat macam ni. Lagipun orang tua-tua pesan. Jangan minum banyak air. Hah, kalau bentan nanti macam mana?” kata makcik Bawang lagi.

“Terima kasih sebab ambil berat. Saya rasa setakat minum lapan gelas sehari tu tak banyak sangat. Insya-Allah, tak ada apa yang buruk akan jadi. Apa yang baik untuk awak, tak semestinya baik untuk saya. Apapun, terima kasihlah ye,” balas Siti.

Anda mungkin pernah berdepan situasi Siti di atas? Mendengar leteran daripada mereka yang kononnya tahu dan arif tentang macam-macam perkara memang rimas. Sampai boleh jadi tertekan. Apa agaknya cara untuk kita mengelak mendengar pandangan geng bawang itu?

Berikut panduan yang boleh dicuba:

1. BERBUDI BAHASA

Secara tidak disedari, sebenarnya makcik bawang itu berniat baik. Cuma, kadangkala pendapat yang diberikan tidak logik. Maklumlah, orang tua dulu-dulu dengan orang muda zaman sekarang sangat berbeza dari segi pemikiran dan pengalaman.

Walaupun lemas dengan pelbagai nasihat, bertenang dan jangan cepat melatah. Sebaliknya, apa yang boleh anda buat ialah dengar, senyum dan mengangguk tanda faham dengan maklumat diberikan.

Sebagai tanda anda seorang yang berbudi bahasa, ucapkan terima kasih. Ini perlu dilakukan sebagai balasan terhadap keprihatinan yang mereka berikan.

2. BANYAK MEMBACA

Tindakan anda yang tidak sewenang-wenangnya mendengar pandangan diberikan orang tidak bertauliah itu sebenarnya baik. Syabas, kerana anda sudah mengambil keputusan bijak.

Daripada menerima bulat-bulat pendapat yang belum tentu betul, rajin-rajinlah merujuk bahan bacaan. Misalnya, anda boleh dapatkan maklumat yang boleh dipercayai sumbernya daripada buku, majalah ataupun laman web keibubapaan. Paling tidak, anda boleh bertanya kepada mereka yang lebih profesional.

3. ABAIKAN

Sekiranya anda beranggapan pandangan yang diberikan mengarut dan tidak masuk akal, biarkan saja maklumat diberikan itu masuk telinga kanan, dan keluar telinga kiri.

Dengarkan kata-kata mereka, tetapi sama ada anda mahu mengikut nasihat itu atau tidak, terpulang kepada diri sendiri. Jadi, anda tidaklah menyakitkan hatinya.

4. SEMAK SEMULA

Setiap kali menerima pendapat, langkah paling bijak boleh dibuat ialah merujuk pandangan tersebut kepada mana-mana orang yang diyakini berpengalaman dan maklumat yang diberikan ialah benar dan tepat.

Sebagai contoh, pakar kanak-kanak, ibu bapa, keluarga ataupun rakan-rakan yang memang boleh dipercayai kredibilitinya.

5. TAHU KEBENARAN

Di sebalik nasihat diberikan, anda seharusnya dengan lembut bertanya, “Adakah cara ini berkesan untuk anak awak?” Dengan itu, anda dapt menilai sejauh mana kebenaran nasihat diberikan.

Melalui jawapannya itu juga, anda dapat mengesan sama ada dia seorang yang berpengetahuan tinggi atau sebaliknya. Walaupun anda mungkin dapat mengesan, dia hanya mahu menyibuk, anda masih perlu mengucapkan terima kasih. šŸ™‚

Selamat melalui masa berpantang dengan penuh kesabaran. Jangan stres atau ambil pusing sangat tentang mereka yang bermulut bawang. MestiĀ sentiasa berfikiran positif supaya fizikal dan mental kekal sihat!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda