Fotos familia pag. 19 comparar a los hijos

CEMBURU dengan kehadiran adik baru ialah sesuatu yang sudah dijangka akan berlaku. Kita tidak boleh menganggap si abang atau kakak yang lebih tua akan seronok dengan kehadiran adik baru.

Jarak umur antara anak 2 hingga 4 tahun akan menimbulkan rasa cemburu yang lebih ketara bagi anak lebih tua. Sebaliknya, jarak umur 18 bulan atau 5 tahun ke atas mempunyai risiko lebih rendah.

Bagaimanapun, cemburu bukan satu-satunya perasaan yang timbul dalam diri anak. Suatu masa dia akan mula menyayangi adik barunya itu dan melihat mereka sebagai pelengkap dalam kehidupan seharian.

Tetapi sebelum mereka mula sayangka adik baru, anak ini mungkin akan menunjukkan perangai yang kadangkala memeningkan kepala kita. Apa yang penting, kita perlu bersedia.

Ada masa, anak-anak cemburu dengan kehadiran orang baru, lalu mereka buat salah satu daripada tindakan berikut:


1. TENANG DAN SABAR

Anak akan mula menarik perhatian kita dan ada ketikanya kita rasa beban kerja semakin bertambah. Anak yang besar minta disuapkan makan, dipakaikan baju, banyak bertanya, meragam dan sebagainya.

Anak yang berusia 6 tahun pun ada yang berkelakuan seperti anak berusia 2 tahun semata-mata sebab mahu perhatian ibu. Kita perlu sentiasa tenang dan bersabar.

2. MULA BERKASAR

Abang atau kakak akan mula bermain kasar dengan adik kecil. Bukan niat untuk cederakan adiknya, tapi dia hanya mahu melakukan eksperimen, sejauh mana tindakannya dapat membuat adiknya menangis.

Dalam situasi ini, kita mesti bercakap secara lembut dengan anak, itu bukan caranya dan ia hanya menyakitkan adik kecil.

3. CUBA FAHAMI PERASAAN ANAK

Fahami rasa cemburu dan jangan cepat melenting. Ini membuatkan anak lebih meragam lagi. Kesian juga, kadangkala anak kita memerlukan masa menyesuaikan dirinya dengan kehdiran adik baru.

4. BUAT PERSIAPAN

Sebelum kelahiran anak baru, bawalah anak bermain dengan anak kecil ataupun bayi orang lain dan katakan padanya, satu hari mereka akan dapat adik kecil juga.

Dengan cara ini, anak jadi lebih bersedia menyambut orang baru.

5. LIBATKAN ANAK

Libatkan anak dalam persediaan menyambut bayi seperti membeli baju, lampin, buai, botol susu dan sebagainya. Ini secara tidak langsung, anak kita akan rasa seronok sambil menanti kehadiran adik baru.

6. BERI ANAK PENDEDAHAN

Berikan anak-anak memegang perut apabila bayi bergerak-gerak. Ini menyeronokkan hatinya dan membuatkan dia tidak sabar menantikan kelahiran adiknya.

7. AJAK BERBUAL

Ajak anak bersama berbincang mengenai nama adiknya itu nanti. Minta juga pandangannya dalam memilih fesyen dan warna baju bagi bayi itu nanti.

8. LUANGKAN MASA

Adakan masa peribadi dengan anak lain tanpa gangguan bayi, terutama apabila adik kecilnya ini sudah tidur. Gunakan peluang untuk berikan perhatian kepada anak besar pula.

Manjakan dia, belai dan ciumnya, bermain dengan dia dan sebagainya. Dia pasti menghargainya.

9. MINTA BANTUAN ANAK

Minta anak-anak menolong kita seperti meminta ambilkan air ketika kita sedang menguruskan adiknya yang masih kecil.

Dia pastirasa diperlukan dan dihargai. Sebenarnya anak-anak kita akan rasa bangga jika dapat menolong kita.


Sebenarnya ini masalah normal kepada anak-anak yang baru sahaja menjadi abang atau adik baru. Jangan sesekali marah mereka kerana tindakan itu akan lebih memburukkan keadaan.

Cuba tunjukkan bahawa kasih sayang anda tidak pernah hilang kepadanya. Rasa cemburu ini perlu ditangani sebaik mungkin. Insya-Allah, anak kita akan cepat menerima kehadiran adik baru dan mula sayang kepadanya.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda