KAUM ibu pasti mahu lihat buah hati kesayangan memiliki rambut lebat dan bersinar. Bayi berambut tebal nampak lebih sihat dan comel.

Masyarakat Melayu kebiasaannya akan mencukur kepala bayi baru lahir supaya rambut baru akan tumbuh lebih sihat dan tebal. Bagaimanapun, ada juga bayi yang selepas dicukur, rambutnya tidak tumbuh lebat.

Apakah yang perlu kita buat untuk merangsang pertumbuhan rambut anak kita? Jom cuba 6 tip mudah ini yang boleh dibuat untuk melebatkan, merangsang, dan mencantikkan rambut si manja:

1. LIDAH BUAYA

Guna lendir dan isi lidah buaya sebagai gel. Caranya, buang kulit lidah buaya kemudian ambil isinya dan lumatkan. Kemudian, sapu pada kulit kepala dan keseluruhan rambut bayi. Biarkan sehingga kering kemudian bilas dengan air suam dan syampu bayi yang bersesuaian.

2. MADU ASLI

Sapukan madu asli pada rambut bayi dan biar hingga 5 minit. Kemudian, cuci hingga bersih. Lakukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu untuk hasil yang lebih baik.

3. TELUR

Pecahkan sebiji telur dan sapukan pada kulit kepala dan rambut si manja. Biarkan selama sejam dan kemudian bilas hingga bersih. Jika tidak tahan bau hanyir telur, boleh juga campurkan telur dengan minyak pati seperti jasmin, lavender, teh hijau dan lain-lain.

4. MINYAK KELAPA DAN AIR LEMON

Ambil 3-4 sudu makan minyak kelapa asli. Kemudian, campurkan satu sudu air lemon dan gaul hingga sebati. Sapukan atas kepala bayi sebelum tidur pada waktu malam. Biarkan semalaman, dan cuci dengan air suam pada pagi keesokan hari.

5. BADAM

Badam dan minyak badam sangat terkenal untuk merangsang pertumbuhan rambut. Urut atau sapu minyak badam pada kepala bayi.

Selain itu, ibu juga boleh cuba buat pes badam untuk disapu atas rambut bayi. Caranya, perah sebiji lemon dalam mangkuk, kemudian rendamkan badam bersama air lemon tersebut. Kemudian, sapu pada rambut bayi dan biar hingga kering sebelum cuci hingga bersih dengan air sejuk.

6. INAI

Inai juga boleh digunakan untuk membuatkan rambut anak kita jadi lebat dan hitam. Caranya, kisarkan daun inai hingga jadi pes. Sapukan pada kepala si kecil dan biarkan selama sejam. Kemudian, cuci kepala si manja dengan air sejuk. Lakukan sekurang-kurangnya sekali seminggu.


Selamat mencuba. Selain petua di atas, pastikan berikan anak kita makanan sihat yang dapat merangsang pertumbuhan rambut mereka.

SUMBER: AyushVeda

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda